Monday, July 22, 2013

REZEKI YANG TIDAK DIJANGKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga Allah limpahkan rezeki, kesihatan yang baik dan nikmat iman dan Islam yang teguh kepada kita. InsyaAllah.


Hari ini melakar sejarah dalam hidup saya, tepatnya pada pukul 11.44 pagi, saya menerima satu panggilan telefon yang menyatakan saya berjaya mendapat pekerjaan setelah hampir berbelas-belas kali gagal dalam temuduga.


Alhamdulillah, rezeki Allah bagi, usaha jangan sekali berhenti. Yakin pada janji Allah kerana kita adalah makhluknya yang diuji dan pastinya setiap ujian itu mematangkan kita sendiri. Tidak begitu?


Bercerita mengenai temuduga, sudah pasti ada yang pernah melaluinya. Ada yang berjaya setelah melalui satu temuduga, ada yang berkali-kali ditemuduga dan akhirnya dijodohkan Allah dengan rezeki yang tidak dijangka.


Walaubagaimanapun, bersyukurlah. Bersyukur kerana anda dapat melalui proses demi proses sebelum dapat berkhidmat sebagai seorang pekerja.


Mengapa perlu bersyukur demi temuduga?


Jawapan pertama, bukan mudah untuk anda disenaraipendekkan sebagai calon untuk temuduga tersebut. Daripada beratus-ratus calon atau mungkin bilangan yang tidak terhitung, kita menjadi salah seorang yang bakal menatap wajah bakal majikan kita. Maka, bersyukurlah. Melalui pengalaman saya, semasa temuduga tersebut, kita dapat melihat sekali imbas bagaimana ciri luaran sesebuah syarikat tersebut. Apakah ciri luaran yang dimaksudkan? Cara mereka menguruskan temuduga seperti pengambilan masa untuk menemududuga seseorang calon itu samaada cepat atau lambat. Kita sendiri sedar dan tahu bahawa pengurusan masa adalah sangat penting dan penemuduga merupakan pakaian bagi sesebuah syarikat. Mereka membawa imej syarikat dan secara tidak langsung kita boleh mengenali kredibiliti sesebuah syarikat itu. Untuk makluman, saya pernah menghadiri satu temuduga yang mempunyai jarak masa hanya sekitar 5 minit untuk seorang calon yang terlibat dalam temuduga. Dan rata-rata syarikat yang menyenaraipendek saya sebagai calon adalah tidak menepati masa. Ya, manusia tidak sempurna. Tidak salah sekiranya mereka meminta maaf, bukan? Hanya segelintir yang berbuat demikian. Oleh itu, sebagai calon temuduga, saya nasihatkan anda untuk bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa jua temuduga yang bakal anda hadiri untuk mengelakkan perasaan kurang senang terbawa-bawa sehingga ke bilik temuduga.


Kedua, melalui temuduga, kita dapat melihat diri kita yang sebenar. Secara tidak langsung, ia memberi impak yang positif untuk kita mematangkan pemikiran kita. Ada ketikanya si penemuduga akan bertanyakan soalan yang tidak kita jangka. Antara soalannya adalah berbentuk situasi mahupun teka-teki dan kita perlu bijak memberi jawapan yang meyakinkan. Walaupun kita tidak mengetahui jawapannya, adalah lebih elok sekiranya kita cuba untuk memberikan jawapan. Jangan sesekali memberitahu jawapan "Tidak tahu" kerana ia menunjukkan bahawa anda kurang melakukan persiapan. Sekiranya anda langsung tidak mengetahui jawapan untuk sesebuah soalan ataupun fikiran anda secara tiba-tiba kosong, tarik nafas perlahan-lahan dan anda boleh meminta si penemuduga untuk mengulang soalan tersebut. Dan semasa soalan yang sama dilontarkan untuk kali kedua, proses jawapan sebaik mungkin. Salah satu kriteria utama mengapa soalan dilontarkan semasa temuduga adalah untuk melihat sejauh mana kita berfikir. Perlu diingatkan bahawa semasa temuduga tiada jawapan salah ataupun betul. Ini adalah kerana bakal majikan kita mahukan pekerja yang boleh berfikir secara kreatif dan kritis. Hebatkan impak temuduga? Jadi, bersyukurlah kerana anda yang ditemuduga.


Bukan senang nak senang,
Bukan susah nak susah.


Walauapapun jawatan yang anda hadiri untuk temuduga tersebut, lihat dari sudut positif. Jangan negatifkan diri anda. Berusaha sebaik mungkin, dan ingat rezeki manusia Allah yang pegang.


Ketulusan hati: Terima kasih kerana membaca.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.


No comments: