Friday, December 27, 2013

BANGKIT

Assalamualaikum, semua! Semoga semuanya baik-baik hendaknya. Amin ya rabbal'alamin.

Setelah sekian lama menempuh alam kehidupan, saya hanyut di bawa arus kerjaya. Kerjaya yang biasa-biasa sahaja, tetapi impaknya memang luas biasa.

Saya belajar memerhati, menahan sabar, meneliti perangai insan-insan yang berada di sekeliling saya.

Si dia yang bekerjaya gah, si dia yang biasa-biasa sahaja kehidupannya tetapi penuh dengan nasihat yang begitu berhemah.

Tarik nafas dalam-dalam, ambil aura positif, hembuskan aura negatif!

Bangkit dalam kepayahan,
Bangkit setelah mengenal erti sakit.

Ketulusan hati: Rakan-rakan sekalian, doakan saya dalam membina kerjaya. Biarlah bermula dari bawah, bangkit dari payah, tetapi nikmatnya tidak goyah. Selamat malam!


Thursday, November 28, 2013

ERTI HIDUP

Assalamualaikum, semua!

Sihat? Penulis di sini mendoakan agar semuanya sihat hendaknya. Amin.

Bukan mudah menginginkan apa yang kita ingini untuk menjadi realiti. Ianya memerlukan pengorbanan yang jitu dan tanpa mengenal erti putus asa.

Saya belajar dan belajar memahami apa itu kehidupan. Kehidupan yang mengajar erti kedewasaan, kematangan dan kecekalan dalam menghadapinya.

Bersabar. Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar.

Bukan senang nak senang!

Bukan susah nak susah!

Saya masih lagi menapak dan merangkak membina kerjaya. Ya, walaupun jauh tersesat dan tersasar dalam bidang yang sepatutnya.

Syukur, Allah masih lagi memberi nafas, menghadiahkan lelah, dan menguapkan rasa kasihnya kepada hambanya ini.

Buat rakan-rakan yang tidak jemu-jemu singgah di sini, ayuh kita kuatkan iman dan dekatkan diri kita kepada Allah supaya kita diberi hidayah di atas landasan agama Islam selamanya. Ini kerana, bumi dan dunia sudah tua.

Semoga sakit hari ini memberi pengajaran yang baik untuk hari esok.

Terima kasih Allah atas pengajaran erti hidup ini. Tiada dalam teori tetapi akan ku kuatkan semangat untuk menempuhi.




Thursday, July 25, 2013

AKU MANUSIA BIASA

Aku manusia biasa, 
Punya dosa, 
Punya noda. 


Aku manusia biasa, 
Yang mahu kau mengerti, 
Akan isi hati. 


Aku manusia biasa, 
Menangis apabila diri diuji, 
Ketawa untuk menyenangkan hati, 
Menyembunyikan lara di hati. 


Aku manusia biasa, 
Punya masalah, 
Punya lelah,
Punya amarah.


Aku manusia biasa, 
Yang inginkan cermin sakti, 
Memantulkan kegusaran, 
Memecahkan kebencian, 
Menyilaukan caci pandangan, 
Meretakkan kesombongan, 
Membogelkan kebenaran. 


Aku manusia biasa, 
Yang mengimpikan kekuatan yang luar biasa.

 "Silalah klik saya," Iklan ini berkata. 

Monday, July 22, 2013

REZEKI YANG TIDAK DIJANGKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga Allah limpahkan rezeki, kesihatan yang baik dan nikmat iman dan Islam yang teguh kepada kita. InsyaAllah.


Hari ini melakar sejarah dalam hidup saya, tepatnya pada pukul 11.44 pagi, saya menerima satu panggilan telefon yang menyatakan saya berjaya mendapat pekerjaan setelah hampir berbelas-belas kali gagal dalam temuduga.


Alhamdulillah, rezeki Allah bagi, usaha jangan sekali berhenti. Yakin pada janji Allah kerana kita adalah makhluknya yang diuji dan pastinya setiap ujian itu mematangkan kita sendiri. Tidak begitu?


Bercerita mengenai temuduga, sudah pasti ada yang pernah melaluinya. Ada yang berjaya setelah melalui satu temuduga, ada yang berkali-kali ditemuduga dan akhirnya dijodohkan Allah dengan rezeki yang tidak dijangka.


Walaubagaimanapun, bersyukurlah. Bersyukur kerana anda dapat melalui proses demi proses sebelum dapat berkhidmat sebagai seorang pekerja.


Mengapa perlu bersyukur demi temuduga?


Jawapan pertama, bukan mudah untuk anda disenaraipendekkan sebagai calon untuk temuduga tersebut. Daripada beratus-ratus calon atau mungkin bilangan yang tidak terhitung, kita menjadi salah seorang yang bakal menatap wajah bakal majikan kita. Maka, bersyukurlah. Melalui pengalaman saya, semasa temuduga tersebut, kita dapat melihat sekali imbas bagaimana ciri luaran sesebuah syarikat tersebut. Apakah ciri luaran yang dimaksudkan? Cara mereka menguruskan temuduga seperti pengambilan masa untuk menemududuga seseorang calon itu samaada cepat atau lambat. Kita sendiri sedar dan tahu bahawa pengurusan masa adalah sangat penting dan penemuduga merupakan pakaian bagi sesebuah syarikat. Mereka membawa imej syarikat dan secara tidak langsung kita boleh mengenali kredibiliti sesebuah syarikat itu. Untuk makluman, saya pernah menghadiri satu temuduga yang mempunyai jarak masa hanya sekitar 5 minit untuk seorang calon yang terlibat dalam temuduga. Dan rata-rata syarikat yang menyenaraipendek saya sebagai calon adalah tidak menepati masa. Ya, manusia tidak sempurna. Tidak salah sekiranya mereka meminta maaf, bukan? Hanya segelintir yang berbuat demikian. Oleh itu, sebagai calon temuduga, saya nasihatkan anda untuk bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa jua temuduga yang bakal anda hadiri untuk mengelakkan perasaan kurang senang terbawa-bawa sehingga ke bilik temuduga.


Kedua, melalui temuduga, kita dapat melihat diri kita yang sebenar. Secara tidak langsung, ia memberi impak yang positif untuk kita mematangkan pemikiran kita. Ada ketikanya si penemuduga akan bertanyakan soalan yang tidak kita jangka. Antara soalannya adalah berbentuk situasi mahupun teka-teki dan kita perlu bijak memberi jawapan yang meyakinkan. Walaupun kita tidak mengetahui jawapannya, adalah lebih elok sekiranya kita cuba untuk memberikan jawapan. Jangan sesekali memberitahu jawapan "Tidak tahu" kerana ia menunjukkan bahawa anda kurang melakukan persiapan. Sekiranya anda langsung tidak mengetahui jawapan untuk sesebuah soalan ataupun fikiran anda secara tiba-tiba kosong, tarik nafas perlahan-lahan dan anda boleh meminta si penemuduga untuk mengulang soalan tersebut. Dan semasa soalan yang sama dilontarkan untuk kali kedua, proses jawapan sebaik mungkin. Salah satu kriteria utama mengapa soalan dilontarkan semasa temuduga adalah untuk melihat sejauh mana kita berfikir. Perlu diingatkan bahawa semasa temuduga tiada jawapan salah ataupun betul. Ini adalah kerana bakal majikan kita mahukan pekerja yang boleh berfikir secara kreatif dan kritis. Hebatkan impak temuduga? Jadi, bersyukurlah kerana anda yang ditemuduga.


Bukan senang nak senang,
Bukan susah nak susah.


Walauapapun jawatan yang anda hadiri untuk temuduga tersebut, lihat dari sudut positif. Jangan negatifkan diri anda. Berusaha sebaik mungkin, dan ingat rezeki manusia Allah yang pegang.


Ketulusan hati: Terima kasih kerana membaca.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.


Friday, July 19, 2013

PEMERHATI SEKELILING

Aku melihat lelaki itu berjalan pantas,
Mengejar masa barangkali.


Aku memerhati wanita yang bersolek itu,
Menghias diri untuk suami barangkali.


Aku merenung langit hitam,
Hujan menanti turun ke bumi barangkali.


Aku,
Pemerhati tegar,
Insan,
Alam,
Menarik untuk diterokai,
Diteliti,
Dilihat dengan mata hati.


Insan seperti aku,
Menjadikan kamu,
Sebagai subjek penulisanku,
Maka,
Untuk kamu, kamu, dan kamu,
Jadilah diri sendiri,
Untuk aku memahami,
Apa yang terlintas di hati,
Ketika aksi yang kamu papari.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

PUJA


Semalam,
Awak tegur saya,
Tak sangka awak ingat lagi saya.


Ya,
Saya puja awak,
Tapi,
Ketika masa itu,
Saya kecil,
Kecil akal,
Kecil memikirkan masa hadapan,
Kecil yang nakal.


Awak,
Saya pernah puja awak,
Enam belas tahun lalu,
Dan awak tak tahu.


Tapi semalam,
Kejadian aneh telah berlaku,
Perasaan puja terhadap awak telah hilang,
Seperti magis,
Dan kita sembang atas dasar kawan,
Walau hakikatnya,
Saya pemuja setia awak,
Suatu ketika dahulu.


Ketulusan hati: Ada kawan-kawan yang pernah alami perkara di atas? Ya, kita manusia biasa. Punya naluri untuk dicinta. Tetapi, setelah dewasa, perasaan itu terpadam dengan tuntutan yang lebih penting. Memilih jodoh bukan mudah, fikir, tenung, dan minta petunjuk dari Allah Ta'ala untuk mendapat keberkatan dan penghayatan yang sebenar-benarnya. Jumpa lagi di lain tampalan. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, July 8, 2013

PECUT

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi! Ceria, bukan?


Pecut! Berlari ke Ramadhan.



*Google*



Ketulusan hati: Semoga kita ceria menyambut Ramadhan. Jom beribadah, banyak-banyak dengan hati yang ikhlas. Senyum!

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

APAKAH DEFINISI BERJAYA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini merupakan hari kerajinan saya untuk menambahkan lagi koleksi tampalan di laman ini.


Apabila menyebut perkataan berjaya, apa yang terlintas di fikiran anda? 


Sekiranya anda pelajar, adakah dengan mendapat A untuk semua subjek peperiksaan merupakan bukti anda berjaya?


Sekiranya anda pekerja, adakah dengan dapat naik pangkat, atau mampu memiliki rumah, kereta, atau aset yang sewajarnya merupakan tanda kejayaan anda?


Lain orang, lain habuan mereka. 


Ada yang tidak berjaya, tetapi kaya dengan pengalaman hidup. Ada yang kaya, tetapi tidak bertindak sewajarnya.


Itulah keadilan dalam menuntut kejayaan untuk berjaya. Amat jarang kita berjumpa dengan insan yang berjaya, yang berjaya akhlak dan aset luarannya. Ada tetapi tidak ramai. 


Saya nak berjaya, jadi bagaimana caranya? Anda ingin berjaya, maka laburlah dalam skim kami. Oh, ini adalah contoh sahaja, saya tidak mempromosikan apa-apa skim, harap maklum. 


Ya. Berjaya seringkali dikaitkan dengan wang ringgit. Mentaliti masyarakat kita. Adakah anda setuju? 


Baiklah, sekiranya anda tidak setuju, kemukakan hujah anda di ruangan komen di bawah. Tuliskan atau taiplah sekiranya anda rajin. Jangan malu, jangan silu. Hehe.


Berjaya menuntut kita supaya menjadi orang yang bersyukur apa adanya. Berjaya merupakan pemangkin untuk kita menolak diri kita ke hadapan untuk mencuba sesuatu yang baru, yang belum pernah kita ceburi sebelum ini. Inilah dia, si berjaya itu! Ya, sekiranya anda statik pada suatu kedudukan yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mengubah posisi anda, sekalipun kecil anjakan yang anda lakukan, itulah kejayaan bagi anda. Setuju atau tidak?


Manusia, kita ada potensi diri. Cuma kadangkala kita tidak sedari. Kerana apa? Kerana kita seringkali sibuk memantau perkembangan insan di sekeliling kita dan membandingkan kejayaan si dia dengan si kita. 


Eh, dia dah berjaya. Aku bila lagi? Bukan kita tidak boleh membandingkan diri kita dengan insan lain, tetapi, ukur baju di badan sendiri. Berjaya dengan ikut kemampuan kita. Biarpun lambat hasilnya, tetapi melalui cara yang betul di sisi Allah Ta'ala. InsyaAllah, anda pasti berjaya.


Ketulusan hati: Jom berjaya di dunia dan di akhirat. Berjaya di dunia, bersyukur apa adanya. Hati lapang, jiwa senang. Hiduplah dengan bersederhana. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

'SPORTING' YANG TIDAK SEPATUTNYA


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Haarap maklum, tampalan ini merupakan tampalan yang telah lama terpendam di dalam draf dan merupakan tampalan saya yang terakhir bergelar pelajar.


Fuh, berhabuk laman ini dibiarkan sepi sendiri. Maafkan saya. Bukan apa, tugasan terakhir sebagai pelajar sebelum melangkah pergi dari kampus masih lagi meniti di bait-bait terakhir. Semoga semuanya dan segala-galanya dipermudahkan oleh Allah Ta'ala. Amin ya rabbal'alamin.


Berbalik kepada topik di atas, secara dasarnya saya tidak menyetujui mengenai perkara yang ternyata salah tetapi masih diberi perhatian yang tidak sewajarnya.


Salah satu topik yang ingin saya sentuh pada hari ini adalah mengenai perhubungan dalam percintaan di antara lelaki dan wanita. Situasinya begini.


"Pak cik, saya ingin meminjam anak pak cik. Boleh?," si lelaki meminta izin dalam lafaz kata berlapik barangkali.


"Baiklah, tetapi jangan balik lambat sangat," balas si ayah itu tadi.


Lihat, betapa 'sporting' nya si ayah membiarkan si anak gadisnya keluar bersama lelaki yang belum tentu menjadi suaminya.


'Sporting' si orang tua membiarkan anak gadis mereka berpeleseran keluar berdua-duaan dan mereka tegar melakukan maksiat.


Sudahlah, sedarlah, berubahlah. Berbaliklah kepada ajaran Islam yang sejati.


Tahu dan fahami tanggungjawab. Tidak kiralah anda si ayah yang 'sporting' itu, mahupun anak yang keluar 'berdating' itu.


Sayang Allah, amalkan apa yang dituntut oleh agama Islam, sayang ayah, jaga maruah diri.


Ketulusan hati: Bila rakan yang disayangi yang berbuat begini, saya pasti anda juga sukar untuk menasihati. Ya Allah, hambamu ini hanya mampu berdoa agar si dia mampu berubah. Sedar khilafnya dan kembali ke jalan yang Engkau rahmati. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalh klik saya," Iklan ini berkata.

SELAMAT DATANG WAHAI RAMADHAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali, mohon maaf kerana saya telah lama membiarkan laman ini bersawang. Seminggu dari sekarang, genaplah setahun saya tidak mengemaskinikan laman ini.


Masa berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, Ramadhan bakal muncul menemani kita untuk mengimarahkan lagi ibadah kita kepadaNya. InsyaAllah. Semoga Allah Taala memanjangkan usia kita untuk menyambut ketibaaan bulan yang paling mulia ini. Amin ya rabbal'alamin. Jom, beribadah banyak-banyak! Kumpul pahala sebagai persiapan ke syurga.


Ketulusan hati: Banyak yang ingin dikongsi untuk diisi di sini. Doakan kerajinan saya ya rakan-rakan. Tampalan pertama pada tahun ini. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.