Sunday, May 27, 2012

ADAPTASI


Assalamualakium dan salam sejahtera. Wahai pembaca yang ceria selamat petang diucapkan.


Minggu ini merupakan minggu ke empat belas. Ini bermakna minggu terakhir kuliah. Terasa cepat masa berlalu dan saya kini bakal bergelar pekerja setelah saya mendapat kerja kelak. InsyaAllah. Ketika insan lain sibuk mencari pekerjaan, saya masih lagi bergelumang dengan projek PITA saya dan satu tugasan berkumpulan yang memerlukan pengorbanan yang tingggi.


Masih terasa lagi semangat yang berkobar-kobar apabila baru pertama kali sampai di bumi Serdang ini. Ya lah, ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Biologi di Matrikulasi Perak. Tidak sangka percaturan Allah Ta'ala untuk saya adalah yang terbaik. Alhamdulillah.


Saya bukanlah seorang yang mempunyai rancangan yang sspesifik dalam hidup saya. Lepas UPSR, PMR, SPM, matrikulasi, segala-galanya saya letakkan percaturan hidup saya sepenuhnya kepada Allah Ta'ala. Apa yang saya tahu, saya akan lakukan yang terbaik untuk abah dan mak serta adik-adik untuk meletakkan usaha saya di peringkat yang seterusnya. Dan maksud melakukan yang terbaik bukanlah bermaksud saya merupakan pelajar cemerlang, terlalu cemerlang, tetapi InsyaAllah, bakal pekerja cemerlang barangkali. InsyaAllah.


Berbalik kepada latar pendidikan saya, melihat rakan-rakan yang dapat memasuki asrama penuh setelah UPSR mahupun PMR, membuatkan saya berasa ingin seperti mereka. Nalurinya begitu lah. Tetapi, takdir Allah Ta'ala siapa yang boleh menolak bukan? Jauh di sudut hati saya, ya, belajar berhampiran dengan rumah itulah impian saya. Impian untuk sentiasa berada di samping keluarga tercinta. Walaupun ada ketikanya berjalan kaki itulah lumrah untuk saya sampai ke rumah. Alhamdulillah, Allah Ta'ala menjadi peneman dan penjaga keselamatan ketika saya pulang menyusuri kiri dan kanan kawasan hutan untuk sampai ke rumah. Syukur, Alhamdulillah.


Setelah menamatkan SPM, saya baru dapat merasai pengalaman tinggal di asrama. Tawaran PLKN ke Kem Jiwa Murni, Gunung Semanggol, banyak mengajar saya erti sebenar disiplin. Walaupun hakikatnya saya tidak gemar aktiviti lasak melainkan Taekwondo sahaja, entahlah pengakhiran kem itu saya berasa sedih. Sedih kerana saya berpisah dengan rakan-rakan yang amat baik kepada saya. Ya, kami menangis berpelukan dan sayangnya sehingga kini kami hilang cara untuk menghubungi satu sama lain. Itulah takdir Allah menganugerahkan pengalaman kepada saya menjadi pelajar asrama buat pertama kalinya.


Setelah tamat latihan di PLKN, saya tidak sangka Allah Ta'ala berterusan menghadiahkan saya dengan program matrikulasi. Selain itu, saya turut mendapat tawaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan di UiTM Melaka. Saya menjadi serba salah pada mulanya kerana saya amat meminati bidang perniagaan. Saya tidak pasti dari mana datangnya minat tersebut. haha. Saya pergi semula ke sekolah dengan rakan-rakan untuk berjumpa guru-guru yang selama ini mendidik kami untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah banyak menabur jasa dan ilmu. Terima kasih cikgu SMK Simpang! Dan saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat dari kaunselor mengenai perkara ini. Ya, akhirnya matrikulasi menjadi pilihan hati. Abah dan mak tidak kisah di mana saya ingin melanjutkan pelajaran. Tetapi bagi saya, matrikulasi merupakan pilihan yang terbaik kerana saya dapat meringankan kewangan kerana setiap semester pelajar di bekalkan dengan ringgit Malaysia satu ribu dan saya merupakan pelajar PDT. Alhamdulillah, Allah Ta'ala masih menganugerahkan saya dengan rakan-rakan sebilik yang baik sepanjang empat semester itu.


Bachelor Kejuruteraan Proses dan Makanan merupakan pilihan yang keenam dalam senarai pilihan saya. Yang pertama dan yang kedua adalah bidang perubatan. Biasalah, adat pelajar jurusan Biologi! hehe. Oh, cita-cita kedua saya adalah ingin menjadi jurutera. Pertama kali melihat senarai jurusan yang ditawarkan oleh UPM, terasa minat berbunga-bunga. Makanan! Saya gemar makan dan inilah peluang saya untuk menabur bakti sebagai jurutera dalam bidang ini. hehe. Walaupun hakikatnya, tidaklah 'deal' dengan makanan sebenarnya, tetapi setiap proses am dalam bidang makanan. Saya tertipu! haha.


Dari bidang Biologi saya beralih arah dalam bidang Fizik pula. Seronok sebenarnya apabila mengetahui serba satu ilmu Allah Ta'ala. Dalam bidang perubatan misalnya, tidaklah saya tercengang apabila rakan-rakan menceritakan penyakit am dan punca dasarnya kerana saya gemar membaca perkara yang berkaitan dengan perubatan. Teori adalah, praktikalnya tidak kerana saya pelajar bidang kejuruteraan. Agak bertuah juga kerana aliran kejuruteraan mengetahui mengenai bidang perubatan, bukan? Tetapi ada di kalangan rakan-rakan saya yang bertuah memasuki bidang kedoktoran berasa agak lega kerana mereka tidak tidak meminati subjek Matematik. Ya, bidang kedoktoran tidak menawarkan subjek matematik untuk kos tersebut. Maka, beruntunglah bagi pelajar kejuruteraan kerana setiap masalah penyelesaiannya adalah dalam cabang Matematik. Dan adalah 'cool' sekiranya pelajar bidang kejuruteraan mengetahui sedikit sebnayak mengenai ilmu perubatan. Sayalah! haha. Lawak sahaja, kerana di luar sana pasti ada insan yang tidak berpendidikan tinggi tetapi tahu mengenai bidang ilmu ini.


Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Jika ada insan yang tiba-tiba mencari perihal sesuatu dan tersesat ke laman ini, sekiranya mempunyai persoalan mengenai bidang yang tertulis di atas, tanpa segan silu, silalah tampilkan persoalan anda di ruangan komen.


Industri makanan di negara kita kebanyakan adalah secara kecil-kecilan dan jangan terkejut sekiranya makanan yang pada dasarnya kita lihat adalah bersih, tetapi hakikatnya ia tidak begitu. Maksud saya kebersihan makanan itu sendiri tidak dijaga rapi oleh pihak pengurusan sesebuah kilang. Dan jangan bertanya soalan kepada saya antara kilang yang tidak menjaga kebersihan itu. haha. Kejam, bukan? Bukan apa, saya tidak mahu mengaibkan mereka. Pasti mereka tahu perihal kebersihan, tetapi tidak mengamalkannya sahaja.


Terima kasih kerana membaca. 


Ketulusan hati: Tinggal sebulan dari hari ini saya akan meletakkan jawatan sebagai pelajar secara rasminya. Pensyarah saya ada mengatakan "Find your interest!". Lebih mudah ceburkan diri dalam industri dahulu. Rebut pengalaman kerana sambung belajar bila-bila masa pun boleh. Tidak begitu? Selamat datang alam pekerjaan! Walaupun satu kerja pun tidak saya 'apply' lagi, tetapi kalau rezeki tidak ke mana. Saya ingin berkhidmat di negeri saya sendiri. haha. Padahal ingin berada di samping keluarga tercinta.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.