Saturday, May 19, 2012

PUNYA JIWA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Petang hari sudah pun melabuhkan tirai, saya kini menulis sambil memandang keindahan alam ciptaan Ilahi dari tingkat lima kolej pengajian. Subhanallah! Indah ciptaan Allah Ta'ala. Setiap petang yang menjengah malam, saya menikmati keindahan langit jingga di kanvas langit dan awan biru.




Indah, bukan? Subhanallah.





Nampak jelas matahari tersebut.





Terharu sebenarnya kerana perjalanan hidup masih jauh. Rintangan di hadapan yang tidak pasti apa ianya untuk kita lalui. Mengenangkan hakikat kehidupan, membuatkan akal berkocak lagu untuk mentafsir setiap kejadian yang telah berlaku dalam hidup.


Ya. Bukan mudah untuk menghadapi ujian dari Allah Ta'ala untuk hambanya yang terpilih. Jauh di sudut hati sampai bila ianya akan berada hanya di takuk itu sahaja tanpa berginjak pergi. Entahlah. Itu frasa orang yang pasrah dengan ketentuan Ilahi. InsyaAllah, selagi mampu saya menolak ke tepi rasa itu, akan saya lakukan. Bak kata abah saya,"Belajar elok-elok, jangan terlalu fikirkan sangat". Terima kasih abah atas nasihat yang berguna.


Saya akui sejak kebelakangan ini, penulisan saya tidak punya jiwa. Saya ngalit memikirkan apa yang berlaku. Ya Allah, tabahkanlah hatiku! Sukar memujuk hati sememangnya. Oh, ini bukan masalah perihal percintaan. Harap maklum.


Prinsip professional masih lagi saya pegang. Buang masalah, lontarkan jauh-jauh ketika melakukan sesuatu yang memerlukan akal untuk fokus. Harus diingatkan, bukan kita seorang sahaja yang mempunyai masalah!


Untung juga mempunyai laman peribadi. Bukan apa, apabila tiada bahan bacaan nanati, boleh lah membaca kembali kenangan lalu yang dicoretkan di sini. Senang, bukan?


InsyaAllah, kelapangan yang penuh masih lagi tidak diperoleh! Cerpen bersiri masih lagi tiada pengisian. Masih banyak lagi yang ingin dicoretkan. InsyaAllah, jika punya kelapangan.


Terima kasih wahai pembaca sekalian yang masih sudi singgah di laman ini. Syukur, Alhamdulillah! Saya bukanlah soerang yang baik, tetapi saya berjuang untuk menjadi yang lebih baik dari masa ke masa. Menjadi manusia hebat bukan untuk ditunjukkan kepada alam semester, tetapi inilah cabaran buat diri sendiri.


Semoga Allah Ta'ala lapangkan urusan kita dan lapangkan hati-hati kita untuk lebih menyayangi sesama makhluk. Amin ya rabbal'alamin.


Ketulusan hati: Adik saya sudah pun mula bekerja sambilan, siap minta saya bekerja bersamanya selepas bergraduat nanti! Rezeki Allah kita tidak tahu, mungkin itu jodoh rezeki saya. Tetapi, ianya bukan bidang hati saya. Bagaimana? Tidak mengapa, kini saya wajib fokus belajar dan selepas ini, boleh lah buat pilihan apa yang patut buat diri. Wahai diri, kuatkan semangat! Selamat datang dunia pekerjaan enam minggu dari sekarang! Oh, teruja sebenarnya.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Friday, May 18, 2012

BELUM KU TEMU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari Jumaat ini memberi keberkatan dalam kehidupan kita dan dilanjutkan oleh Allah Ta'ala sehingga ke hari-hari yang seterusnya. Amin ya rabbal'alamin.



*Yahoo*
Cinta itu fitrah. Maksiat itu barah.

 

Apabila berbicara mengenai bakal pasangan yang halal pada masa hadapan, ternyata ciri-ciri ataupun kriteria yang diingini pasti menjadi topik hangat yang menarik untuk dibincangkan. Sudah pastinya, bukan?


Si dia,
Jejaka pilihan Ilahi untukku,
Belum ku temu,
Tetapi InsyaAllah masanya pasti tiba,
Tak usah ku ragu.


Si dia,
Tercipta untukku,
Tak perlu ku tunggu,
Cuma masanya belum ku temu.


Si dia,
Hakikat pemilik cintaku,
Biarlah ianya menjadi halal dahulu,
Sebelum ku temu,
Cinta yang tidak merosakkan hatiku,
Hadiah teragung dari Ilahi Yang Agung itu.



Si dia,
Usah bercanda wahai hati,
Menafikan yang kau tak perlu akan cinta,
Kerana itu fitrah manusia,
Cuma belum ku temu pemilik sah hatiku.


Si dia,
Semoga cinta kita kekal berlandaskan restu Ilahi,
Yang berhak menentukan cinta yang abadi,
Semoga Allah merestui,
Halal cinta tujuan yang diredhai.


Si dia,
Belum ku temu,
Ayuh sabar duhai hati.


Ya, laman ini bukan hakikat laman cinta sebenarnya. Apa yang dicoretkan itulah yang terbuku di hati. Menjadi cinta hakiki bersulamkan rahmat dari Ilahi.


Topik cinta tidak akan habis dibicarkan. Kerana apa? Cinta itu fitrah manusia.




*Yahoo*
Bercinta tidak salah selagi mengikut landasan syariat yang ditetapkan.




Saya berbicara dengan seorang rakan, mengenai rahsia Allah yang kita tidak tahu. Jodoh antaranya. Ya, sahabat saya merupakan seorang yang muslimah yang baik dan InsyaAllah, semoga Allah Ta'ala jodohkan si dia dengan pasangan yang baik juga. Tidak lupa buat penulis laman ini juga. Oh, serta pembaca kalian. Amin ya rabbal'alamin.


Terdapat juga beberapa sahabat saya yang sedang hangat bercinta. Pesan salah seorang rakan saya untuk mendapatkan pasangan, layan sahaja apa yang ada di hadapan mata. Boleh kah begitu?


Tidak tepat sebenarnya, membiarkan cinta itu dipermainkan. Mahu kepada insan ini, teruskan. Apabila sudah bertemu yang lain yang dirasakan lebih sesuai, tinggalkan yang tadi. Tidak elok, bukan?


Terpulang. Kita sudah besar, tahu mana yang bak dan yang buruk. Agak aneh sebenarnya, kita memerlukan cinta pasangan yang baik untuk kita, sedangkan kita? Adakah kita pelihara hati dan nafsu kita semasa bercinta? Senang cerita, adakah kita tergolong dalam landasan insan yang bercinta mengikut syariat Islam? Oh, tidak perlu tepuk dada bagai. Tepuk akal tanya diri. Tanya seikhlas hati.


Kita tahu istilah cinta halal itu adalah hubungan suami isteri. Tidak ada istilah yang lain. Tidak lebih tidak kurang. Benar, bukan?




*Yahoo*
Percintaan yang indah bersulamkan ketenangan hati dan kebahagian menempuh kehidupan. Selamat datang alam rumahtangga.




Ada juga yang menyatakan bahawa cinta jarak jauh itu dapat mengurangkan maksiat. Benarkah? Cuba kita selidiki dahulu. Cinta jarak jauh. Jauhnya hanya jarak. Tetapi cinta kita masih utuh. Dengan adanya pelbagai jenis jaringan maklumat untuk sentiasa menyuburkan cinta, saya tidak rasa perhubungan jarak jauh itu mampu mengekang diri dari maksiat. Menulis status rindu, sayang dan sebagainya, di dalam Buku Wajah, akan kurangkah maksiat? Tidak lupa jaringan Skype juga bisa mengeratkan dua hati yang di dalam perasaan yang rindu mereka terpendam. Kurangkah maksiat? Tidak bukan? Realitinya, adalah mereka sering bertemu tetapi secara langsung hanya di alam maya. Tidak perlu memakai minyak wangi, berdandan, itulah realitinya cinta jarak jauh. Mata sembap pun masih boleh lagi berbalas-balas pertanyaan melalui video kerana jarak jauh dan tempoh masa yang tidak sama waktunya. Inilah realiti percintaan remaja kini.


Banyak yang ingin dicoret, tetapi terlalu banyak perkara mengenai cinta yang kita sendiri boleh fikir yang mana baik dan yang buruk.


Untuk rakan-rakan yang hangat bercinta yang juga masih menunggu hadiah dari Allah Ta'ala, saya kongsikan video di bawah untuk tatapan anda. Ambil manfaat daripadanya. Selamat menonton.









Semoga dengan perkongsian ini memberi manfaat seadanya buat rakan-rakan menempuhi alam percintaan. Bukan mudah untuk keluar dari hubungan cinta yang tidak halal tetapi nikmat ketenangan yang Allah Ta'ala akan gantikan untuk kita. InsyaAllah.


Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.


Ketulusan hati: Sebelas Mei yang lalu, saya berjaya menghantar laporan PITA yang pertama. Walaupun tidaklah banyak halamannya, Alhamdulillah. Hari ini, laporan itu telah pun ditanda oleh 'supervisor' yang berkenaan. Pukul tiga petang ini, saya sudah boleh mengambil semula laporan tersebut untuk menambah dan memperbaiki apa yang patut. Semoga Allah Ta'ala permudahkan. InsyaAllah.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

PERKASANYA LELAKI ITU

Perkasanya lelaki itu,
Bukan terletak pada otot yang terbina di badannya,
Jauh sekali mampu mengangkat beban yang banyak untuk membuktikan keperkasaannya.


Perkasanya lelaki itu,
Apabila mampu menyediakan apa yang termampu untuk isteri dan anak-anak,
Memerah keringat di tengah panas,
Membanting tulang,
Mengangkat batu bata,
Memanjat bangunan tinggi,
Tanpa mengeluh.


Perkasanya lelaki itu,
Terletak pada asas solatnya cukup lima waktu,
Memelihara batas pergaulan,
Peramahnya menyenangkan hati insan,
Tanpa lawak yang mengguris perasaan.


Perkasanya lelaki itu,
Menerbitkan rasa cinta yang mendalam,
Di suatu sudut yang sukar digambarkan,
Ternyata keperkasaannya mengagumiku.


Perkasanya lelaki itu,
Wajahnya di mamah waktu,
Tetapi perkasanya tidak di pudar di mataku,
Masih meniti titian rezeki,
Semoga Allah Ta'ala sentiasa memberkati.


Perkasanya lelaki itu,
Sukar dicari ganti,
Amarahnya bertempat,
Apabila lelah tidur menjadi temannya,
Apabila kami meminta sesuatu diberi tanpa soalnya,
Sesungguhnya aku terlalu mencintainya.


Perkasanya lelaki itu,
Terletak pada peribadinya,
Bukan pada barangan yang dia punya.


Perkasanya lelaki itu,
Dia adalah dia,
Abah yang akan ku sanjung sampai bila-bila.


Ketlusan hati: Ya Allah, permudahkanlah urusan kami, perluaskanlah rezeki kami, perhalusilah akhlak kami, terimalah ibadah dan taubat kami, lapangkanlah hati-hati kami dengan kasih sayang sesama kami dan berkatilah kehidupan kami. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.