Friday, April 20, 2012

LANGIT SEPI

Memandang langit sepi.
Mendongak ke awan.
Mengapa hatiku ini?
Bertemankan tidak keruan.


Suram dan muram.
Tolong nyah dari sisiku!
Tinggalkan rasa yang membelenggu.
Biarkan ia terpotret di awan yang berlalu.


Petang Serdang yang syahdu.
Menemaniku.
Entah, sampai bila ianya berliku.
Membuatkanku berserah pada Allah Yang Maha Satu.


Luahan angin berbisik padaku.
Kicauan burung mewarnai pendengaranku.
Indahnya ciptaan Ilahi.
Kini, kurang sedikit rasa lelah yang merapati.


Terpelosok di sudut hitam dan kelam.
Menyesakkan lafaz yang tersimpan.
Biarkan ia singgah berlalu.
Kerana ku tahu ianya tidak akan kekal di situ.


Mentari petang terasa indah.
Wahai hati, yang sudah itu, sudah!

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, April 19, 2012

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar kesihatan iman dan Islam pada hari ini? Semoga Allah Ta'ala memberkati kehidupan, kesihatan, dan kemurahan rezeki untuk kita semua. InsyaAllah.




*Yahoo*
Dalam menempuh kehidupan, kita perlu sedar bahawa jatuh bangun kita adalah takdir hidup kita yang Allah Ta'ala anugerahkan untuk kita harungi dengan penuh jayanya. Setiap dari kita ujian yang Allah Ta'ala berikan adalah berbeza. Oleh itu, bersyukurlah kerana musibah itu tanda Allah Ta'ala sayang kita.




Musibah. Satu perkataan yang seringkali kita elak dari terjadi kepada diri kita. Tetapi, dalam takdir kehidupan, musibah itu adalah sesuatu yang sudah pastinya tidak dapat dielakkan apabila Allah Ta'ala menetapkan itulah takdir hidup kita!

Saya memerhatikan diri saya sendiri. Setiap kali saya di landa musibah, membuatkan saya terfikir mengenai kaitan musibah dan diri saya. Bagaimana saya menerima anugerah Allah Ta'ala ini dan apabila ia hadir pula, bagaimana layanan saya terhadap insan di sekeliling saya.

Walaubagaimanapun, perasaan tertekan dengan musibah itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkannya kepada insan lain! Cuba elakkan untuk berbuat demikian kerana Allah Ta'ala ingin menguji sekuat mana kesabaran kita dalam menempuhi ujian Allah itu.

Siapa saya untuk menyalahkan perkara di sekitar saya? Saya hanya insan biasa yang diciptakan oleh Allah Ta'ala untuk beribadah kepadaNya. Insan di sekeliling saya, mereka juga punyai musibah mereka sendiri. Maka, adalah tidak adil untuk melempiaskan perasaan yang membelenggu kepada insan lain.




*Yahoo*
Kadangkala kita ingat kita mampu untuk menempuhi ujian yang Allah Ta'ala berikan kerana kita sudah pun bersiap sedia mental dan fizikal kita. Tetapi, ternyata kita silap. Kesilapan itulah yang mematangkan diri kita untuk menempuhi hari-hari yang mendatang supaya kita tidak terleka dengan kenikmatan dunia. 




Suka saya untuk mengingatkan diri saya sendiri, sekiranya saya tidak suka insan lain melayan saya sebegitu, jangan berbuat perkara yang saya sendiri tidak suka kepada insan lain.

Di sini, saya mengingatkan diri saya sendiri sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah Ad-Dhariyat Surah ke lima puluh satu di dalam Al-Quran merujuk kepada ayat lima puluh enam:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu".

Tujuan utama kita melayari bahtera kehidupan adalah untuk beribadah kepada Allah Ta'ala.

Jatuh dan bangun kita dalam kehidupan, kita tempuhi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan kerana Allah Ta'ala. Maka, musibah yang kita lalui bakal memberi kita ketenangan dalam kehidupan.

Kehidupan kita bukan hanya satu arus sahaja. Bahkan, kadangakala kehidupan kita menentang arus. Akal yang Allah Ta'ala berikan, memberikan kekuatan kepada kita untuk berfikir, menganalisis, dan mencerna solusi kepada setiap musibah itu.

Oleh itu, rajin-rajinlah kita menggunakan akal kita untuk mencari solusi kepada musibah itu. Solusi yang paling utama adalah tanamkan dalam fikiran kita bahawa Allah Ta'ala sayangkan kita dan membuatkan kita menjadi insan yang lebih kuat untuk mengharungi musibah lain di waktu yang akan datang. InsyaAllah, perkataan putus asa tidak akan menjengah ke dalam lubuk fikiran kita dengan hadirnya musibah yang tidak di jangka.

Akhirnya, untuk menjadi insan hebat, ianya ada di dalam diri kita. Setiap insan di dunia ini adalah manusia yang hebat. Maka, perhebatkan ilmu pengetahuan kita dan tidak lupa akhlak kita.

Terima kasih kerana membaca. Jaga diri, jaga peribadi. Assalamualaikum.

Ketulusan hati: Tinggal dua minggu lagi untuk saya siapkan kajian PITA saya. Allah menguji saya. Eksperimen perlu diulangi lagi kerana bacaan yang tidak menepati piawaian. Doakan saya ya, kawan-kawan. Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu yang lemah ini. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, April 15, 2012

CINTA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada malam ini, saya berkesempatan untuk melayan kerenah jari-jemari untuk mencoret serba-sedikit mengenai cinta. Saya bukan pakar dalam bidang yang sangat luas ini tetapi keadaan rakan-rakan dan pengalaman mereka menjadikan saya agak memahami. Agak. Bukan seratus-peratus memahami. Eh?

Teori sebelum praktikal. Boleh?




*Yahoo*
Ilmu cinta ternyata luas. Bukan untuk dikhianati, malah untuk menyenangkan hati.



Apabila membicarakan tentang cinta, saya terkenang kembali mengenai persoalan dari guru sekolah rendah dahulu. Ketika saya berada di dalam darjah empat ketika itu. Mungkin. Oh, umur meningkat, maka ingatan kurang mengingat!

Di dalam kelas muzik ketika itu, cikgu tersebut menyoal kami, begini soalannya, "Siapa pernah jatuh cinta?"

Lihat, soalan yang ringkas, bukan?

Ingin sahaja saya mengangkat tangan!

Soalan yang bakal merubah perspektif diri dalam usia yang muda. Darjah empat bersamaan sebelas tahun, sudah jatuh cinta? He...he...

Selepas berapa lama menunggu, ternyata tiada seorang pun yang mengangkat tangan!

Saya? Saya berasa ingin sahaja. Ternyata saya juga tidak begitu berani untuk berbuat demikian.

Dalam hati, saya merasakan bahawa ya!

Saya bercinta dengan keluarga saya, rakan-rakan dan juga Allah Ta'ala yang berada di sisi setiap masa.

Cinta bukan satu masalah tetapi merupakan kekuatan untuk sentiasa positif. Cinta untuk membangkitkan semangat dalam diri. Cinta yang ikhlas adalah cinta kerana Ilahi. Bukan nafsu!

Adegan mengangkat tangan itu hanya wujud dalam hati sahaja!

"Cinta itu bukan untuk lelaki dan wanita sahaja. Insan di sekeliling kita pun kita boleh bercinta. Cinta itu bersifat segala-galanya! Jangan terlalu mengecilkan skop percintaan itu!"

Demikianlah sedikit nasihat dari cikgu tersebut. Semua tertunduk tersipu malu, tetapi saya hanya melihat cikgu tersebut. Kerana saya yakin, jawapan saya adalah sama dengan cikgu tersebut!
 
Oh, mengapa saya tidak mengangkat tangan ketika itu. Rugi...rugi....

Secara konklusinya, minda kita jangan kita sempitkan dengan ya atau tidak. Cuba cari jawapan mengapa ya atau tidak kepada jawapan kita! Kerana akal kita begitu berharga!

InsyaAllah, dengan cara ini secara tidak langsung, kita mengajar otak kita untuk berfikir.

Jangan manjakannya dengan cinta yang memberi maksiat tetapi hargai cinta insan di sekeliling kita.

Ketulusan hati: Ibubapa saya sudah beri 'hint' dalam bab cinta ini. Jodoh tidak dianugerahkan kepada saya lagi. InsyaAllah, saya juga menanti saat tersebut. Tetapi, biarlah dalam keadaan saya sudah menyediakan apa yang perlu untuk kedua ibubapa saya dan adik-adik saya. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah Ta'ala.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

SECALIT TITIPAN

*Yahoo*
Sinar yang terpelusuk rapi di kelilingi mendung hitam yang tidak memahami naluri hati. Semoga segala-galanya baik-baik sahaja dengan ketentuan Allah Yang Esa.




Saya masih lagi di sini.
Di sudut terpingggir sepi.
Walau di kelilingi rakan di sisi.
Biarkan mereka menemani.
Menceriakan hari-hari yang bakal diakhiri dengan gelaran pelajar.
Oh, pasti saya akan rindu saat itu.


Bukan mudah ingin menggali kejayaan.
Tetapi, jangan mudah rebah.
Inilah pengorbanan untuk keluarga, agama, dan negara.
Semoga segala jerih dan perih di bumi Serdang ini terbayar dengan penuh kepuasan.
InsyaAllah.


Rajin itu hakikat dalam diri yang kadangkala tenggelam sepi.
Otak sudah tidak mampu melayan kerenah letih diri.
Bangkit untuk memulakan sesuatu yang sudah tentu pahala di beri oleh Ilahi.
Semoga Allah Ta'ala merahmati perjuangan ini.


Duhai hati bertabahlah!
Duhai diri bersemangatlah!


Perjuangan menuntut ilmu itu jihad.
Kuatkan semangat dan ikhlaskan hati.
InsyaAllah, berjaya.
Dengan kehadiran Ilahi yang sering menemani di sisi.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.