Friday, February 3, 2012

MENCORET VERSI DIARI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat petang.

Sesore ini, saya ingin menulis secara diari di sini.

Boleh. Tapi, perkataan sesore itu adakah? Entah. Senyum, tak perlu kata apa-apa.




*Yahoo*
Ini adalah diari secara atas talian yang diadaptasi daripada diari manual. Amaran membaca: Risiko adalah atas tanggungan anda sendiri.



Duhai diari,

Sebentar tadi, kira-kira pada pukul 11.00 pagi saya selamat sampai ke The Mines. Ke mana lagi tempat yang ingin dituju selain tempat ini yang dekat dari kolej dan juga percuma tambangnya. huahua. Oh, ini ketawa versi baru.

Seusai sampai di The Mines, empat sekawan ini mengisi perut di Kentucky Fried Chicken (KFC). Hidangan yang dipesan, tidak lain tidak bukan adalah snack plate. Hidangan yang lengkap dengan nutrisi dan tidak lupa kalori yang menanti untuk menari-nari di dalam saluran kapilari. Oh, enaknya hidangan di temani kalori. Memang bukan selalu makan, tetapi kalori tetap kalori. Oh, terasa seriau pula menulis sebegini. Tetapi, hidangan tersebut telah pun selamat sampai ke ruang perut untuk proses yang seterusnya.

Duhai diari,

Seusai makan, maka dengan niat membakar kalori, saya pun tidak tahu mengapa kalori itu perlu dibakar. Tidak digoreng mahupun di kukus. Kukus kalori? huahua.

Maka, berjalan empat sekawan itu tadi. Hanya berjalan-jalan melihat pemandangan yang hampir boleh di hafal oleh saya kerana tempat ini sering menjadi kunjungan peribadi. Tempat dekat lagikan diingati lagi pula tempat yang berada di hati sanubari. Eh?

Berjalan-jalan melihat kerenah manusia, banyak yang boleh di pelajari. Ada yang berseorangan dan ada yang berjalan-jalan sambil berpegangan tangan sehingga boleh dikatakan tidak mahu melepaskan ikatan. Oh, macam-macam, kan?

Duhai diari,

Setelah berjalan-jalan, maka kaki yang penat berjalan haruslah direhatkan. Lutut yang lemah dan bukannya lemah dari semangat, haruslah disegarkan. Tempat yang menjadi pilihan begitu strategik. Teringat pula saya ketika belajar sejarah dahulu, Melaka merupakan pelabuhan yang strategik. Memang tiada kaitan dari segi lokasi, tetapi strategik itu ada, bukan? huahua. Ketawa versi atas talian tidak perlulah dinyatakan di alam nyata. Nanti di katakan kurang waras pula. Tidak mengapa sekiranya apabila anada ketawa tetapi rakan anda buat tidak tahu. Pastinya, rakan anda memakai pelindung telinga.

Sedang asyik menikmati pemandangan manusia dan sekeliling secara aman dan damai, dikejutkan dengan kehadiran seorang kanak-kanak yang berlari-lari mengelilingi kami sambil ibunya berbual menerusi alat komunikasi terkini. Kanak-kanak tersebut batuk pula apabila berdekatan dengan kami. Batuk di muka tahu? Oh, sangat kurang sopan.

Ikut kata hati, kami pun berjalan menuju ke surau. Oh, baru pukul 1.00 petang. Hampir masuk waktu Zohor. Rehatlah. Selepas mengerjakan solat Zohor, maka kami memasuki fasa yang seterusnya.

Fasa yang hampir setiap insan suka. Membeli-belah di Giant. Ya, Giant. Bukan Sizuka. Jauh sekali Nobita. Membeli barang keperlaun sebagai bekalan sehingga hari Selasa. Terasa malas untuk keluar membeli barang lagi, maka, beli dan bayar secara pukallah jawabnya. Jikalau membeli-belah, selepas beli, teruslah belah dan tiada fasa bayar pula. huahua.

Duhai diari,

Hampir pukul 4.00 petang, kami pun sampai ke kolej tercinta. Susun barang dan mencoretkan cerita pada hari ini di sini. Di dalam diari hati. Oh, terasa jiwa berbunga-bunga apabila mengungkapkan, eh, mencoretkan diari hati. huahua.

Bukan kerana apa, terasa semangat berkobar-kobar ingin melakukan aktiviti memasak pula.

Ya, benar, duhai diari hati. Saya gemar memasak.

Gemar tidak semestinya masakan itu menjadi. huahua.

Gemar merujuk kepada hobi, tahu?

Contohnya, hobi saya adalah membaca buku. Maka, tidak semestinya buku yang di baca itu menarik. Mungkin apabila di baca isi di dalamnya, terasa bosan.

Oleh itu, jangan memilih buku berdasarkan kulit luarannya sahaja. Atau perkataan novel yang paling laris.

Laris tidak semestinya best, tahu?




*Yahoo*
Insan yang ulat buku tidak semestinya pintar. Orang pintar tidak semestinya ulat buku. Tetapi, buku yang berulat itu tidak pasti masih boleh di baca lagi mahupun tidak kerana tulisannya telah pun di makan oleh ulat.



Duhai diari hati,

Sebelum saya mengarut dengan lebih mendalam lagi, sampai di sini percubaan diari secara atas talian ini.

Maafkan jika terdapat kekasaran bahasa ataupun penggunaan tatabahasa yang tidak sesuai digunakan di dalam peperiksaan kerana saya bukanlah guru Bahasa Melayu.

Terima kasih kepada anda yang membaca dan terima kasih kepada saya kerana mencoretkan di sini. Eh?

Benarlah, tiada coretan, maka, tiada bacaan untuk anda.

Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, February 2, 2012

INDAHNYA HIKMAH ITU

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat sekalian. Selamat malam diucapkan dan semoga anda mendapat rehat yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan dengan penuh warna-warni pada hari esok.



*Yahoo*
Warna-warni kehidupan yang banyak mematangkan kita. Bukan hanya satu warna sahaja yang menemani tetapi campuran warna itu yang menjadikan diri ini begitu menghargai dengan apa yang ada di sisi.



Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah Ta'ala. Kegembiraan yang bukan sengaja di buat-buat ataupun jauh sekali niat di hati untuk menunjuk-nunjuk kebolehan diri.

Kerana apa yang saya miliki kini adalah milik Allah Ta'ala Yang Hakiki.

Tiada apa yang saya boleh banggakan dengan anugerah Allah Ta'ala yang bukan milik saya yang abadi.

Kegembiraan yang hanya sekadar pinjaman di dunia ini.

Kegembiraan yang bagi saya hadir tatkala pelbagai rintangan dan dugaan yang muncul  untuk mematangkan diri.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, dan Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

Sebentar tadi keputusan peperiksaan semester tujuh baru saya periksa secara dalam talian.

Walaupun bukanlah sehebat insan yang lain, tetapi bagi saya inilah hikmah di sebalik segala yang berlaku ke atas diri saya.

Kisah yang berlaku agak sukar untuk saya luahkan di sini.

Peristiwa yang mengajar saya untuk bangun dari mimpi yang panjang dan usaha itu hanya saya yang percaya diri saya boleh lakukan.

Tidak lupa, doa dari kalian turut menggembirakan saya. Terima kasih diucapkan.

Saya percaya, setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya.

Hikmah dan anugerah yang terindah dalam hidup saya.

Keputusan yang bagi saya adalah wajar dengan usaha yang tidak seberapa. Syukur Ya Allah.

Terharu. Terlalu terharu.

Sehingga kelu lidah untuk meluahkan dan luahan yang diluahkan dengan jari-jemari yang menari-nari di atas papan huruf komputer riba ini.

Terima kasih Ya Allah di atas kurniaan ini.

Jauh sekali anugerah dekan yang saya impikan, tetapi itu tidak penting.

Berbekalkan dengan semangat untuk membakar dan memadamkan apa yang insan lain katakan, saya cabar diri.

Saya boleh lakukan! Itu tekad saya.



*Yahoo*
Frasa yang menguatkan diri saya menghadapi ujian Ilahi.


Kepada insan yang berada di sisi saya tanpa jemu dan sering menguatkan hati saya yang rapuh, terima kasih diucapkan.

Terima kasih kerana mempercayai saya tatkala insan lain tidak berbuat sebegitu.

Terima kasih kerana sudi mendampingi saya tatkala saya jatuh dan lutut langsung tidak mampu berdiri sewajarnya tanpa bantuan kalian.

Syukur Ya Allah kerana mempereratkan ikatan kami.

Ikatan di dunia yang InsyaAllah bakal membawa ke ikatan akhirat. Ikatan sesama muslim.

Izinkan saya pada malam ini meluahkan apa yang terbuku di hati.

Tersimpan di suatu sudut yang paling dalam yang sukar dimengerti.


*Yahoo*
Syukur. Allah Ta'ala menganugerahkan saya dengan warna-warni cabaran kehidupan di waktu saya belum cukup dewasa menempuh ujian itu. Tetapi, hikmah yang tersemat di sebalik tabir ujian itu meguatkan semangat saya menempuhi cabaran yang tidak terduga pada masa akan datang.



Usah ditanya apakah dugaan itu.

Usah dipertikai mengapa kita yang terpilih untuk menghadapi ujian dan cabaran tatkala insan lain bersenang-lenang dengan kehidupan mereka.

Usah bertanya dan pertikai.

Sebaliknya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memilih kita untuk mengharungi ujian itu.

Ya, saya akui diri ini masih tidak sempurna.

Banyak cacat celanya.

Terlalu banyak.

Kisah yang dahulu usah dikenang.

Saya agak kurang bersetuju dengan pernyataan itu.

Bagi saya, perkara yang sudah berlaku wajar dikenang tetapi tidaklah perlu untuk mengenangnya terlalu lama.

Sedikit dan sekejap sahaja sudah mencukupi.

Bukti kita pernah kuat dari insan lain.

Walaupun bukan kuat dari segi fizikal, tetapi secara mental kekuatan itu kita yang punya.

Meriah idea pada malam ini.

Terasa mahu berkongsi segala-galanya di sini. Tetapi, biarlah rahsia itu tersimpan di sudut hati.

Tatkala ujian hadir, hanya insan yang Allah Ta'ala pilih sahaja kuat untuk menempuhinya.

Jangan sesekali berputus asa dengan ujian Allah Ta'ala.

Masih segar dalam ingatan saya, tatkala ujian itu datang, saya terasa begitu takut.

Terlalu takut. Sehingga air mata saya tidak mahu lagi berdamping dengan saya. Terasa ingin ketawa tetapi ketawa itu tidak bermaya. Hilang auranya bersama air mata.

Secara berterus-terang, hati saya langsung tidak terasa tenang dalam waktu pembelajaran.

Semester tujuh merupakan semester yang pasti tidak akan saya lupakan dari ingatan sampai bila-bila.

Semester yang banyak mengajar saya erti kepura-puraan. Senyum dan ketawa saya, ianya bukan saya.

Perasaan yang terzahir hanyalah untuk mengaburi mata insan sekeliling untuk tidak mempertikaikan masalah saya. Terasa saya lah pelakon yang paling hebat di dunia.

Masalah saya biarlah saya yang simpan. Itu prinsip saya.

Mengapa saya tidak berkongsi? Berkongsi dengan siapa?

Sudah semestinya, tiada teman rapat di sisi. Teman yang boleh menzipkan mulut mereka dari adegan sampai-menyampaikan. Sehingga kini, tidak saya jumpai. Jodoh tiada atau lambat barangkali untuk berjumpa dengan insan yang sudi menyimpan rahsia diri.

Satu persoalan yang bermain-main di fikiran saya, bolehkah saya kecapi kejayaan dengan ujian yang mendampingi diri?

Sampai satu masa, saya merasakan bahawa saya ingin lari. Tetapi saya tidak tahu tempat yang perlu dituju.

Dan disebabkan itu, selalunya pengepala laman ini saya hiaskan dengan pemandangan supaya akal dan minda saya bisa lari menari jauh dari masalah yang membelenggu.

Saya mampu kuat, maka saya juga mengharapkan agar anda juga begitu.

Untuk anda yang pernah kecewa, bangunlah dan sedarlah Allah Ta'ala sentiasa berada di sisi kita.

Bersyukurlah, kerana kita ada Allah yang selalu memerhatikan tingkah laku kita.

Bersyukur juga kerana Islam itu agama kita. Lakukan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sebaik mungkin.




*Yahoo*
Nikmati setiap inci kehidupan dengan bersyukur dengan apa yang ada.



Lega. Terasa sangat lega kerana saya telah sampaikan apa yang membelenggu diri ini.

Sedikit sebanyak, terima kasih kepada anda kerana sudi membaca luahan hati yang tidak seberapa.

Allah Ta'ala turunkan ujian untuk umatNya kerana Dia tahu insan yang diturunkan ujian itu, mampu menempuhinya.

Kisah hidup kita berbeza, maka ambillah ikhtibar atas setiap kejadian yang berlaku.

Tidak lupa, setiap ujian itu, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Cepat atau lambat itu bukan persolannya.

Tetapi, cara kita menenangkan diri tatkala ujian itu diturunkan ke atas kita.

Ketulusan hati: Menjalani kehidupan dengan cara menyimpan segala-galanya di hati memang terlalu sukar. Tetapi Allah Ta'ala itu pendamping kita. Luahkan dengan Allah jika tiada manusia yang boleh anda percayai untuk berkongsi masalah kita. Terima kasih kerana membaca. Selamat malam. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Wednesday, February 1, 2012

JOM LINDUNGI KAKI !

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah hampir petang rupanya. Terasa sekejap sahaja masa berlalu.

Apa khabar iman kita pada hari ini? Semoga bertambah berseri dari hari ke hari seumpama senyuman yang manis yang melingkari bibir anda.



*Yahoo*
Ceriakan harimu dengan senyuman. Nescaya kemuraman berjaya dikurangkan.



Merujuk kepada tajuk tampalan di atas, seolah-olah tajuk kempen kesedaran pula. he...he..

Tidak mengapalah, kan?

Jom lindungi kaki? Lindungi dari bakteria kah atau kulat?

Bukan. Lindungi kaki tidak merujuk kepada cara menjaga kebersihan kaki.

Kempen jom lindungi kaki merujuk kepada kempen kesedaran untuk melindungi aurat wanita yang terdiri daripada seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan.

Oleh itu, kaki juga termasuk dalam pakej yang perlu dilindungi oleh wanita.

Ada faham?

Bagus anak-anak sekalian. Mama bangga dengan kamu? Eh?

Orang putih cakap, "Practice make perfect"

Orang Melayu cakap, "Sesuatu yang diamalkan selalu akan menjadi sempurna"

Terjemahan *Google* cakap, "Amalkan membuat sempurna"

Macam-macam orang cakap. Macam-macam gaya bahasa yang ditonjolkan.

Tetapi, saya berharap agar anda dapat memahami apa yang disampaikan.

Faham apa?

Kefahaman mengenai penggunaan stoking untuk menutup kaki.




*Yahoo*
Stoking untuk si penggemar kasut tumit tinggi juga ada. Jadi, tiada sebab untuk mengelakkan kaki daripada dilindungi seperti bahagian anggota aurah yang lain.




*Yahoo*
Mahu lindungi kaki dengan stoking sebegini? Tiada masalah.




*Yahoo*
Anda penggemar stoking seperti ini? Juga tiada masalah. Menarik dan terasa bersemangat untuk memakai stoking setiap hari. Tetapi, rasa segan sekiranya usia sudah lanjut untuk memakai stoking yang sebegini rupa. he...he... 



Kaki juga merupakan salah satu aurah wanita.

Dewasa kini, terdapat ramai wanita yang sering saya perhatikan tidak memberi kesedaran kepada diri sendiri untuk melindungi kaki mereka.

Sekiranya kaki bisa berbicara, pasti dia akan mempertikaikan mengapa kita abaikan dia sedangkan semua aurah telah berjaya kita lindungi dengan sebaik mungkin melalui pemakaian yang longgar dan tudung yang menutup dada.

Tepuk dada, tanya iman.

Perlukah seorang wanita memakai stoking?

Perlu sekiranya wanita itu memakai pakaian yang tidak melindungi kakinya.

Tidak perlu sekiranya wanita itu berjaya melindungi kakinya dengan jubahnya ataupun kasut yang berjaya menutup kakinya.



*Yahoo*
Anda penggemar kasut yang sebegini rekaannya? Oleh itu, perlulah memakai stoking. Bukan apa, sekiranya memakai jubah ataupun kain yang labuh pula, dikhuatiri bakal mengundang risiko terpijak kain dan terjadilah adegan memegang kain sambil berjalan.



Jom lindungi kaki!

Kesedaran yang ada wajarlah diubah perlahan-lahan.

Pakaian itu melambangkan diri.

Jaga pakaian dan jaga peribadi.

Indahnya wanita di sisi Islam kerana aurahnya sentiasa terjaga.

Saya bukan menyatakan saya seorang yang baik dari pakaian, tetapi tidak salah sekiranya kita sama-sama berubah ke arah kebaikan.

Berdasarkan pengalaman saya, terasa tidak lengkap sekiranya saya berjalan-jalan tanpa memakai stoking.

Sudah menjadi tabiat.

Sudah menjadi amalan yang sukar ditinggalkan.

Tetapi, tidaklah sampai di dalam rumah pun perlu memakai stoking.

Oleh itu, kepada anda yang tidak biasa dengan pemakaian stoking kaki, berubahlah secara perlahan-lahan.

Berubah yang bagaimana?

Terasa rimas memakai stoking?

Cubalah labuhkan kain, jubah ataupun seluar panjang yang labuh sehingga menutup kaki.

InsyaAllah, lama-kelamaan, anda pasti biasa.

Atau, anggap sahaja anda seperti mahu pergi ke sekolah.

Wajib memakai stoking ke sekolah, bukan? Jadi tidak lah janggal untuk memakai stoking.



*Yahoo*
Perubahan secara perlahan-lahan pasti memberi impak yang berkesan. Pastikan anda ikhlas melakukannya kerana Allah Ta'ala.


Saya kongsikan anda dengan video daripada Ustaz Azhar Idrus mengenai isu menutup aurah.

Pakai stoking, baju, dan pakaian lain itu tidak wajib.

Tetapi, menutup aurah itu wajib.

Sila tonton dengan mata hati.







Ketulusan hati: Menutup aurah itu wajib. Tiada pilihan untuk kita kerana kita adalah hambaNya. Wanita itu indah seandainya keindahan itu ditutupi dengan sebaik-baiknya. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, January 31, 2012

LUAHAN SEORANG SUAMI

Assalamulaikum dan salam sejahtera. Semoga kita dilimpahkan kesihatan yang baik dan keceriaan di samping keluarga tercinta hendaknya. InsyaAllah.

Pada tampalan kali ini, saya kongsikan bersama sebuah kisah benar yang diambil dari sini.

Semoga kisah ini menjadi ikhtibar untuk semua. InsyaAllah.

Assalamualaikum....

Ke hadapan ustaz yg saya hormati…saya tidak tahu..di mana ingin saya mulakan bicara ini… tetapi saya mesti menceritakn kisah ini pada ustaz supaya hati saya tenang dan mungkin dapat meredakan rasa berdosa saya selama ini…ustaz mungkin tidak kenal saya namun saya mengenali ustaz..tak mengapalah kalau ustaz tak kenal saya pun….

Ustaz saya merupakan seorang lelaki yang mempunyai memori kehidupan lampau yg cukup menyedihkan.harap ustaz tidak bosan mendengarnya..

Saya merupakan seorang suami kepada seorang isteri yg amat baik dan setia.namun ustaz..,saya tidak pernah menghargai kasih dan sayangnya yang dicurahkan kepada saya kerana pada waktu itu mata hati saya terlalu buta untuk membezakan yang mana kaca dan permata.

Ustaz saya telah berkahwin dengan seorang wanita yang pada asalnya tidak saya cintai.dia seorang yang sederhana pada segi paras rupanya.,seorang yang tidak pandai bergaya.,tetapi kuat pegangan agamanya..,bertudung labuh,bersopan santun..,baik budi bahasanya.,Untuk pengetahuan ustaz perkahwinan kami ini segala-galanya diaturkan oleh keluarga dalam keadaan saya masih belum bersedia.

Ustaz terus terang saya katakan yang saya sudahpun mempunyai teman wanita yg jauh lebih cantik daripada isteri saya dan kami amat menyintai antara satu sama lain..cumanya saya akui teman wanita saya ini agak sosial sedikit dan tidak menutup aurat.Ustaz, selepas berkahwin dengan isteri saya itu jiwa saya menjadi kacau dan keliru.saya amat marah kepada isteri saya.kerana pada anggapan saya kerana dialah saya tidak dapat bersama kekasih saya yg amat saya cintai itu.

Ustaz sepanjang kehidupan kami.,saya selalu sahaja mencari jalan untuk menyakitkan hatinya.dengan harapan kami akan bercerai setelah dia tak tahan dengan kerenah saya.,namun rupanya ustaz…isteri saya ini adalah wanita yang penyabar.pernah saya tidak balik ke rumah..dengan tujuan isteri saya akan membenci saya.tetapi selama mana lambat sekalipun saya balik.,dia akan tunggu saya dan bila saya masuk ke dalam rumah.dia menyambutnya dengan mesra dan bertanya:“Abang dah makan…? Nak saya panaskan lauk dan hidangkan makanan?”

Ustaz…pernah suatu hari saya menampar mukanya.apabila dia bertanya pada saya…”Abang dah solat?...abang tak pernah solat ke? Paannggg..!!satu tamparan kuat saya berikan di pipinya.perasaan geram.,marah., dan rasa terhina bercampur ego yg menggila…Bengkak pipinya., dia menangis terisak-isak.saya ingatkan mungkin dia akan membenci saya..tetapi rupa-rupanya…..dia bersabar dan melayan saya sebagai suaminya.

Ustaz pernah suatu hari.,dia ingin bermanja dengan saya,membawa sepinggan nasi goreng yang digoreng untuk saya.pada masa itu saya sedang berbual mesra dengan kekasih saya di dalam handphone..ketika dia ingin menyuapkan nasi kemulut saya,saya tolak pinggan sehingga jatuh berkecai bersama nasi goreng yang digoreng khas untuk saya., dengan linangan air mata dia mengutip setiap butiran nasi goreng yang berhamburan ke lantai…

Ustaz saya bertambah lupa daratan…saya habiskan masa berhibur dan berlibur dengan kawan-kawan di luar dengan harapan isteri saya akan lebih sakit hati dan meninggalkan saya rupanya dia tetap tabah dan bersabar..pernah juga saya menendang badannya kerana dia menasihati saya supaya tidak mencari hiburan dengan jalan yang dimurkai Allah.

Ustaz….pernah suatu ketika apabila keluarganya datang bertanyakan khabar dia kata dia amat bahagia bersama saya…tapi sebenarnya hanya saya yang tahu dia berbohong.

Ustaz suatu hari saya telah diberikan balasan oleh Allah.dan saya kira itu adalah balasan apabila saya terlibat dengan kemalangan…tulang paha saya patah dan dan sememangnya saya tidak berdaya utk bangun.hampir lima bulan saya terbaring tidak berdaya..,ketika itulah isteri saya menjaga saya dengan setia sekali.berak kencing saya dia tadahkan dia basuhkan tanpa ada rungutan atau perasaan genyi mahupun geli.

Dialah yang memandikan saya…menggosok badan saya dan memakaikan pakaian utk saya..bila saya mengerang sakit kerana kaki yang bengkak di tengah malam berdenyut-denyut sakitnya dialah yang bangun dalam keadaan mengantuk dan terhoyong hayang kerana tidak cukup tidur..dia datang kepada saya dan menyapukan ubat krim dan memberi saya ubat penahan sakit sehingga saya rasa lega dan tertidur..tetapi isteri saya tidak tidur hingga ke pagi.., risau saya mengerang kesakitan lagi.

Ustaz isteri sayalah yang menyuapkan saya makan., dia sendiri tidak akan makan melainkan setelah saya kenyang.dia akan membuatkan makanan dan minuman mengikut kehendak dan selera saya. Bila saya kenangkan kembali.,sewaktu saya terlantar sakit tiada siapa pun dari teman-teman yang setia berjoli dengan saya dahulu datang menghulurkan bantuan apatah lagi melawat.kekasih saya..lagi lah..apabila dapat tahu saya kemalangan dan tidak boleh bangun dia tidak mahu lagi menghubungi saya malah meminta hubungan kami diputuskan..kononnya saya suami orang..huhu..

Sekarang baru dia kata saya suami orang.dulu.,dialah yang menghasut dan memberikan harapan pada saya untuk membenci isteri saya..ketika itu barulah saya sedar betapa besarnya kesilapan dan dosa yang telah saya lakukan.Ustaz…..saya…kasar..kejam dan zalim kepada isteri yg menyayangi saya.besarnya dosa saya.,amat menyesal rasanya.

Ustaz….ketika saya boleh berjalan sedikit demi sedikit dan saya beransur pulih.,isteri saya jatuh sakit.badannya menjadi kurus kering.,tiada selera makan..,terbaring..tak bermaya..kata doktor yang merawatnya isteri saya jadi begitu kerana terlalu letih dan susah hati….hati saya menjadi sebak kerana saya tahu sayalah puncanya.

Ustaz kesihatan isteri saya makin teruk..mukanya makin pucat…tetapi dia tetap senyum.saya menangis sepuas-puasnya memohon ampun dan maaf di atas kejahatan yg pernah saya lakukan terhadapnya.dia hanya tenang dan menjawab dia telah lama maafkan saya….”Abang saya dah lama maafkan abang…saya sayangkan abang”.berderai airmata saya hancur hati saya.,pilu bercampur sebak yang amat sangat diikuti dengan perasaan menyesal.

Ustaz selepas itu isteri saya di masukkan ke dalam wad kecemasan.,saya menjaganya setiap hari.saya belai rambutnya saya kucup dahinya…sambil airmata ini tidak berhenti—henti mengalir.

”Jangan menangis bang….bukan salah abang…..mungkin saya ni yang tidak pandai mengambil hati abang…” Berdentum….seolah-olah hati saya disambar halilintar…saya menangis lagi sehingga keluarga yang datang melawat terpaksa menenangkan saya..malah ada yang memuji saya kerana beranggapan saya suami yang amat menyayangi isteri…ternyata pujian itu bagaikan sumpahan utk saya.

Ustaz…..isteri saya ada berkata.,dia meminta maaf kerana tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya kerana masanya utk menghadap ilahi semakin hampir.saya meraung..merayu kepadanya agar tidak meninggalkan saya.tapi katanya.,setiap yang hidup pasti akan mati dan dia meminta saya menjaga diri baik-baik kerana dia tidak boleh lagi menjaga saya.ustaz..saya menangis …sehingga saya menjadi lemah apabila dia mengucapkan kata kata terakhir itu.

Ustaz…tepat jam 3.00 ptg setelah dua minggu berada di hospital…isteri saya telah pergi meninggalkan saya selama-lamanya..dengan bebanan dosa dan jutaan kesalan yang menerjah hati ini saya meraung semahu-mahunya….menyesal di atas kekasaran yg pernah saya lakukan.

Ustaz jiwa saya tak tenteram…apakah Allah akan mengampunkan dosa saya ini...? apakah kekasaran dan kejahatan serta layanan buruk saya kepada isteri akan diampunkan Allah….tolonglah ustaz saya amat menderita…..jiwa saya terseksa…..

Mungkin ini hukuman yang patut saya terima.Masih terngiang di telinga saya pesanan akhir isteri saya..”abang…jagalah diri baik-baik….jangan lupa tunaikan solat..,berbuat baik..,takutlah kepada Allah….dan jika bertemu dengan insan bernama isteri….jangan berkasar dengannya sayangilah dirinya.”

Ustaz sebelum isteri saya menghembuskan nafas terakhir…dia ada meninggalkan satu nota dan sebuah lagu untuk saya dengar dan hayati.lagu itu adalah harapan yang dia impikan dari saya tetapi tidak sempat dia nikmati..kasih sayang yang terkandung dalam lagu itu dia harapkan dari saya….

Di dalam nota itu dia menulis “Abang..dengarlah lagu ini dan ingatlah saya selalu…Dahulu...saya senantiasa menanti abang pulang ke rumah…Saya teringin sangat nak makan bersama abang…..mendengar cerita abang….menyambut abang pulang dari kerja….bergurau dan bermanja dengan abang…..memeluk abang ketika tidur…..tetapi semuanya mungkin tidak sempat bagi saya…jaga diri…sayang abang….selamanya."

Ustaz..saya harap ustaz tak marah saya meluahkan perasaan begini panjang pada ustaz….kerana inilah pesan isteri saya sekiranya saya merasa terlalu sedih…ceritakanlah pada ustaz dia tahulah apa nak buat utk tenangkan abang…

Ustaz….saya harap cerita saya ini dijadikan teladan bagi mereka yg bergelar suami….sayangilah isteri anda….selama mana anda berpeluang utk berbuat begitu…janganlah terjerumus dengan kesilapan yg saya lakukan…pasti anda akan menyesal tak sudah….

Terima kasih ustaz….doakan saya…….



Doa buat suami.




*Yahoo*
Duhai suami, hargailah isteri anda. Kerana mereka terlalu berharga.



Ketulusan hati: Kisah insan lain wajar diambil ikhtibar kerana setiap peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

KATAKAN TIDAK KEPADA BUDAYA 'BERCOUPLE' !

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari anda pada hari ini ceria hendaknya.

Pada tampalan kali ini, saya ingin mengupas mengenai budaya bercouple yang sering menjadi isu hangat di kalangan anak muda ataupun muda-mudi.

Bercouple itu tidak salah, tetapi pembawakan watak dan perangai yang dibawakan untuk menjayakan budaya bercouple ini yang bakal menimbulkan permasalahan.

Untuk makluman, isu bercouple ini merujuk kepada pasangan yang tidak mempunyai ikatan sah sebelum mendirikan rumahtangga.


*Yahoo*
Membudayakan budaya yang tidak elok dijadikan budaya semakin menjadi ikutan remaja pada hari ini.



Topik bercouple yang tidak akan pernah menjadi titik noktah.

Kerana apa?

Kerana budaya ini telah menjadi ikutan remaja kini.

Sememangnya sukar untuk mengekang masalah ini. Sukar tetapi tidaklah bererti tiada jalan penyelesaian.

Mengambil masa itu pasti adanya.

Mengapa budaya bercouple ini sukar ditangani?

Salahkah bercouple?

Tidak semua insan yang bercouple itu jahat. Ini pandangan rakan saya. Bukan apa, beliau juga termasuk dalam budaya ini.

Apa? Tidak semua pasangan bercouple itu jahat? Maksudnya, hanya segelintir sahaja yang baik? Begitu? Oh, ini coretan hati saya.



*Yahoo*
"Kami bercouple," kata patung beruang di atas.



Si dia penat untuk menjawab isu bercouple ini. Gambar beliau dan pasangan telah selamat dikongsikan dengan rakan-rakan di Buku Wajah.

Kebanyakan insan bertanyakan soalan bilakah majlis perkahwinan bakal dilangsungkan.

Menurutnya, si dia hanya bergambar sebelah-menyebelah sahaja. Itu pun mahu dijadikan isu?

Inilah risiko bercouple yang tidak mengikut syariat Islam. Melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan tetapi natijahnya si rakan telah pun berasa bosan dengan persoalan yang berlegar-legar di komen gambar yang telah dikongsikan.

Inilah manusia, kita tahu sesuatu itu adalah salah di sisi agama tetapi masih kita lakukan lagi. Lagi dan lagi.

Pendapat rakan saya turut disokong oleh seorang lagi rakan yang turut terjerumus ke dalam budaya tanpa sempadan ini.

"Aku dah biasa kena. Biasalah," kata rakan yang menyokong budaya bercouple ini.

Biasa. Ya, biasa.

Perkara mungkar yang menjadi biasa sangatlah tidak biasa sebenarnya.

Tidak biasa apabila tidak bercouple? Begitu?

Nasihat saya, insaflah.

Ya, walaupun anda tahu batas seorang wanita dan lelaki, lebih molek sekiranya batas itu dibatasi dengan syariat Allah Ta'ala.

Takutlah Allah, bukan takutkan manusia yang mengata.

Jodoh itu urusan Allah. Baik kita, baiklah pasangan kita kelak. InsyaAllah. Itu janji Allah Ta'ala.

Biarlah kita tiada jodoh di pandangan manusia, tetapi hati kita tenang dan damai dalam lingkungan kasih sayang Allah Ta'ala.



*Yahoo*
Cintailah manusia itu kerana Allah. Kerana syariat yang terpelihara menjamin kebahagiaan hati yang tenang dan lapang dalam limpahan rahmat Allah Yang Esa.


Manusia, rambut sama hitam, hati lain-lain.

Manusia, darah sama merah, hati lain-lain.

Manusia, kita berbeza tetapi sebenarnya kita adalah sama kerana kita satu Malaysia.

Eh, bukan.

Kita adalah sama kerana kita adalah makhluk Allah Ta'ala yang wajib menurut segala perintah Allah Ta'ala walau di mana kita berada.

Saya sudah bercouple, tetapi bagaimana mahu berundur semula?

Perlukah diteruskan?

Jawapannya mudah sahaja.

Katakan tidak pada budaya bercouple.

Terangkan sebaik-baiknya kepada pasangan anda mengenai batasan syariat Islam.

Bagaimana sekiranya si dia tidak mahu?

Lagi mudah. Nikah sahaja.

Tetapi, kami masih muda.

Lagi mudah. Sayanglah Allah Ta'ala melebihi sayang kita sesama makhluk.

Katakan padanya, "Awak, saya sayang Allah melebihi sayang saya kepada awak. Jom kita berhijrah ke budaya yang lebih baik untuk mendapat kenikmatan dan keredhaan dari Allah Ta'ala"



*Yahoo*
Bercouple itu tidak salah. Tetapi, ikutilah syariat yang Allah Ta'ala tetapkan, itu lebih indah.


Ketulusan hati: Budaya yang tidak perlu dibudayakan, buanglah. Nikmati hidup dengan batas syariat Islam. InsyaAllah, kita bakal menjadi insan berjaya di dunia dan di akhirat. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, January 29, 2012

JODOH ITU RAHSIA ALLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat malam.

Saya baru sahaja berpeluang untuk menonton ceramah oleh Ustaz Azhar Idrus. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat di ambil untuk menguruskan dunia sebagai bekalan di akhirat kelak.

Jodoh itu urusan Allah. Tiada siapa yang dapat menyangkal pernyataan ini.

Sebagai manusia, kita perlu berusaha untuk mencari jodoh yang baik untuk kita.




Perkahwinan merupakan titik permulaan untuk belajar dan memahami erti tanggungjawab dengan lebih mendalam. 



Dan untuk mendapatkan jodoh yang baik, kita perlulah menjadi seorang insan yang baik.

Baik dari segi akhlak. Baik dari segala segi.

Jodoh, perlu berusaha untuk mendapatkannnya.

Jodoh, perlu berusaha untuk menjaganya.

Jodoh, perlu berusaha untuk mengekalkannya.

Jodoh sinonim dengan berusaha.

Kenapa perlu berusaha?

Kerana kita tidak tahu tempoh masa kita bersama jodoh kita.

Ada yang mempunyai jodoh sehingga empat orang, ada yang berjodoh hanya seorang, dan ada tidak mempunyai jodoh di dunia ini.

Walaubagaimanapun, jodoh itu perlu sedaya upaya menjaganya.

Apabila terdapat pasangan yang mendirikan masjid, adalah lebih afdhal untuk kita mengucapkan barakallah.

Barakallah. Keberkatan dari Allah Ta'ala.

Ubahlah.

Dari, selamat pengantin baru. Semoga bahagia sehingga ke anak cucu.

Ucaplah. Barakallah.

Ucapan yang pendek tetapi bermakna.

Tidak terlambat untuk kita memperbaiki ucapan kita.

Bersama-sama memperbaiki diri dari semasa ke semasa. InsyaAllah.

Terima kasih kerana membaca.

Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.