Saturday, January 21, 2012

JIKALAU HARI INI SEBUAH KISAH, MAKA HARI ESOK SEBUAH KENANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar anda pada hari ini? Apa? Ceria? Sedih? Tidak tahu apa rasa?

Tidak mengapa, yang penting kita masih lagi dikurniakan oleh Allah Ta'ala untuk menikmati perasaan kita pada hari ini.



*Yahoo*
Jadikan kisah pada hari ini kenangan untuk hari esok dan sampai bila-bila.



Jikalau hari ini sebuah kisah,

Maka hari esok sebuah kenangan.

Kisah, perkara, berita ataupun apa sahaja yang berlaku ke atas kita semuanya dengan kehendak Allah Ta'ala.

Setiap kisah yang dirancang rapi oleh Allah Ta'ala pastinya itu merupakan salah satu kisah dalam hidup kita.

Ada orang dari kecil sehinggalah dewasa, kisahnya gembira sentiasa.

Ada insan dari kecil sehinggalah dewasa, kisahnya duka nestapa.

Ada insan dari kecil sehinggalah dewasa, kisahnya bercampur gaul antara gembira dan duka.

Dan kebanyakan dari kita, kisah kita adalah tergolong dari kisah yang bercampur baur itu.

Tidak mengapa, kerana kisah hidup kita pasti berbeza-beza untuk kita saling lengkap-melengkapi, dan mengambil ikhtibar setiap perkara yang berlaku.

Jatuh, bangun semula.

Jatuh lagi, bangun lagi.




*Yahoo*
Terjatuh pula. Cepat bangun. Jatuh pun comel.



Jangan sesekali berasa penat untuk bangkit kembali kerana kita tidak tahu bila Allah akan memberi kita kemenangan atas kejatuhan kita.

Setiap manusia, ujian dan rintangan hidup yang kita lalui adalah berlainan.

Tidak perlu berasa cemburu dengan hidup insan lain. Tidak perlu pun sebenarnya.

Dengan menjadikan sebuah kisah pada hari ini sebagai kenangan untuk hari esok, kita perlu mengambil ikhtibar dan pedoman hidup untuk menempuh kisah yang sama pada masa hadapan.

Banyak yang dapat saya pelajari semasa saya di alam kampus ini. Kebanyakan hidup saya sendiri. Tidak mengapa. Allah Ta'ala sentiasa berada di sisi saya ketika susah dan senang.

Kepada Allah jua tempat saya mengadu perasaan saya. Tidak perlu insan lain untuk mengetahui isi hati saya. Kerana apa? Saya meletakkan kepercayaan saya sepenuhnya kepada Allah Ta'ala.

Bukan mudah untuk saya menyimpan sendiri duka lara. Bukan mudah untuk saya melindungi diri dari rasa gembira dunia.

Bagi saya, diam lebih baik. Saya kini dapat sesuatu yang berharga.

Menyampaikan.

Bukan mudah untuk berkongsi kisah hidup dengan insan lain. Kepercayaan perlu dipupuk. Itu pun perlu mengambil masa.

Apabila diceritakan kisah hidup pula, mungkin akan ada kemungkinan kisah kita diceritakan kepada insan lain.

Manusia yang menyampaikan inilah yang membuatkan saya lebih gemar bercakap apa yang perlu sahaja.

Kini dengan adanya laman ini, saya boleh coretkan kisah saya tanpa ada yang mengambil tahu siapa saya.




*Yahoo*
Ibarat sepohon pokok yang tidak berteman. Khasiat dari tanah hanya sang pokok yang nikmati kesepohonan (tatabahasa yang tidak ada tetapi diada-adakan untuk menambah perisa) bersama rumput-rampai yang berada di sekelilingnya.



Kisah yang terdapat dalam hidup saya akan menjadi kenangan sampai bila-bila.

Kenangan yang mungkin tidak luput sekiranya pada masa saya tua nanti, fikiran saya tidak dipengaruhi Alzheimer's. he...he...

Kisah saya akan menjadi kenangan saya.

Kisah anda pun sebegitu jua.

Tetapi, kisah yang disampaikan, pasti akan menjadi satu perkongsian dalam hidup untuk diambil ikhtibar oleh kita semua.

Terima kasih kerana membaca.



*Yahoo*
Nah, hadiah. Tanda terima kasih kerana anda berjaya menamatkan pembacaan anda. he...he... Terima kasih sekali lagi.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

SEPI ITU INDAH

*Yahoo*
Sepi yang menyepi.



Sepi itu indah.

Seindah fikiran yang lapang dan tenang.

Bertiup lembut menyapa redup renungan hati.

Berfikir mengenai hidup yang telah dilalui.

Merencana masa hadapan yang entah bila pasti.



*Yahoo*
Sepi sunyi. Sunyi sepi yang tidak bertepi.



Biarkan sepi itu menemani.

Tanpa perlu bunyi sintetik dari ilham manusia.

Aslinya hadir dari alam semesta.

Sepi itu menyapa lagi.

Luaran nampak kecoh.

Dalamannya sunyi, sepi, kaku, beku, entah siapa tahu.




*Yahoo*
Andai diberi alatan sebegini rupa untuk menemani kesunyian yang melanda, belum tentu cukup hadnya. Kesunyian dalam diri bukan mudah diubati dengan kebisingan yang tidak diundang dengan sendiri.




Biarkan sepi itu menjamah diri.

Sepi yang menemani diri ini.

Sepi yang sukar dimengerti.

Terlalu asing dalam diri.

Datangnya tidak dijemput.

Perginya tidak bersahut.

Bagai sahabat akrab yang menyintai ikatan suci persahabatan tanpa batas dan sempadan.

Sukar diungkap sepinya yang bagaimana yang merajai jiwa lara tatkala detik ini.




*Yahoo*
Sepi itu indah.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, January 19, 2012

PERNAH ATAU TIDAK

*Yahoo*
Pernah atau tidak?



Pernah atau tidak,
Kita rasa marah tidak kena tempat?

Pernah atau tidak,
Kita tahu sesuatu perkara itu salah tetapi masih lakukannya?

Pernah atau tidak,
Kita rasa ada yang tidak kena pada diri sendiri padahal semuanya biasa-biasa sahaja?

Pernah atau tidak,
Kita rasa sesuatu perkara itu baik untuk kita tetapi Allah beri sebaliknya?

Pernah atau tidak,
Kita rasa kurang yakin dengan keyakinan diri?

Pernah atau tidak,
Kita rasa letih melayan kerenah insan yang perlu banyak kali kita ulang percakapan?

Pernah atau tidak,
Kita yang tentukan, tidak begitu?

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

MEDIUM HALANGAN

Assalamulaikum dan salam satu Malaysia. Sudah tukar ka? Salam sejahtera kepada salam satu Malaysia. Biasalah, tukar angin. Selamat pagi dan menguruskan hari anda dengan senyuman.

Maafkan saya, sekiranya ada yang menunggu tampalan yang seterusnya dari saya. Saya akui, walaupun saya bukanlah seorang pencoret yang matang dari segi idea dan semestinya bukannya pencopet (pencuri), pasti ada yang akan merindui karya saya iaitu diri saya sendiri.

Bukan tiada idea, tetapi rakan-rakan yang berkunjung ke bilik saya tanpa masa, waktu, dan ketika membataskan saya untuk menaip di laman ini.

Mereka medium itu. Bukan untuk meletakkan mereka sebagai halangan sebenarnya, tetapi, tiada perkataan yang dapat difikirkan buat detik ini.

Biarlah laman ini menjadi laman perahsia hati.

Biarkanlah saya mencoretkan segala-galanya di sini tanpa perlu erti perkenalan inidividu tersebut dalam dunia realiti.

Biarkanlan apa sahaja yang bersarang di lubuk minda anda menjadi tanda tanya yang comel bagi diri saya.

Biarkanlah masa yang merubah penepatan perkenalan ini.



*Yahoo*
Biarkanlah medium itu menjadi salah satu halangan dalam saya berkarya. Akal yang dianugerahkan Allah Ta'ala masih lagi mempunyai kapasiti untuk memikirkan apa yang perlu dikreatifkan untuk menghasilkan karya sendiri. InsyaAllah.



*Yahoo*
Biarkanlah saya menjadi pohon yang tidak sihat di sisi pandangan manusia (ibarat templat laman ini) , asalkan saya masih lagi berjuang untuk meneruskan kehidupan (ibarat catatan saya).



Ketulusan hati: Esok merupakan hari saya perlu menghantar laporan untuk (Projek Ilmiah Tahun Akhir) PITA saya untuk bab satu-pengenalan, bab dua-kajian kesusteraan (literature review), dan bab tiga-kaedah kajian. Ya Allah, permudahkanlah urusan hambamu ini. Perasaan sekarang: Berdebar tiada tetapi tenang (cool) ada. Banyaknya perkara yang ingin dikongsi di sini, tetapi buat masa ini, saya perlu tahu bezakan mana yang perlu didahulu dan mana yang perlu dikemudiankan. InsyaAllah, jika ada masa, saya mahu perbaharui pengepala laman ini. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, January 17, 2012

BERSANTAI DI MCDONALD


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat pagi diucapkan. Semoga anda telah pun berada di atas katil ditemani angin kipas yang bertiup dingin malam anda.

Selamat tidur dan rehatkan tubuh badan dengan serehat-rehatnya. Tidur juga tergolong dalam salah satu ibadah.

Maaf, sekiranya ada yang menunggu tampalan yang baru dari saya. Kesihatan yang kurang baik membataskan saya untuk tidak terlalu lama mengadap komputer riba ini.

Hari Jumaat juga merupakan tanda-tanda awal demam terjadi. Bermula dengan badan rasa tidak best (mestilah tidak best sekiranya demam), tekak rasa kering, diikuti selesema, demam dan kini batuk. Oh, alangkah indahnya sekiranya diri ini dirawat oleh pasangan hidup sekiranya beliau adalah doktor. Oh, ini untuk lawak sahaja. Tetapi, doktor dan jurutera boleh bergabung fikiran, bukan? Baiklah, ini tidak lawak.

Sila abaikan. Kita teruskan dengan segmen memasukkan makanan ke dalam perut melalui mulut dan sebelum sampai ke perut, makanan tersebut melalui esofagus.




*Google*
Untuk memahami ayat yang saya coretkan sebentar tadi, sila kaitkan dengan gambar di atas. Oh, ini baru merupakan salah satu langkah mendalami ilmu perubatan secara asas sebelum mendapat jodoh seorang doktor. Saya tahu, tiada mengena. Maafkan manusia demam ini. he...he...




Pada hari Jumaat yang lalu, buat pertama kali, saya telah pun mencuba Prosperity Burger di McDonald. Saya gagahkan diri untuk mencuba walaupun tekak agak terasa tidak best.



*Yahoo*
Inilah burger yang disebutkan tadi. Saya suka air oren tersebut. Rasa segar sahaja apabila diteguk melalui tekak. Oh, manusia demam ini perlu berpantang dengan ais. Wajib. Oh, ais.



*Google*
Disebabkan badan rasa tidak best, maka apabila sajian telah pun berada di hadapan mata, maka dengan rasa yakin, terlupa untuk memotretkan gambar. *Google* kan ada? Tidak begitu? he...he...



Tetapi, rasanya adalah agak pedas dan dilimpahi dengan sos lada hitam yang banyak. nyum...nyum...

Kepada sesiapa yang tidak tahan dengan rasa pedas, saya syorkan supaya anda tetap mencuba kerana bukan selalu burger sebegini berada di pasaran kecuali musim-musim yang tertentu sahaja. Jadi, jangan lepaskan peluang anda. Manusia demam ini menjadi jurupromosi secara tidak langsung pula.

Gegelang bawang (onion ring) tersebut pun agak menarik rasanya. Menarik? Walaupun deria rasa berkurangan tetapi makanan jangan ditolak. Sedapnya.

Maka, dengan ini berakhirlah segmen yang terlalu panjang untuk dicoretkan kembali. Sila rujuk segmen yang telah dicoretkan di atas.

Ya, itulah segmen tersebut.

Segmen memasukkan makanan ke dalam perut melalui mulut dan sebelum sampai ke perut, makanan tersebut melalui esofagus.

Bukan susah, hanya perlu salin (copy) dan tampal (paste) sahaja. he..he...

Panjangkan nama segmen ini? Jangan tahu makan sahaja, sebaliknya, kita juga perlu berkenalan dengan organ badan kita yang selama ini menemani kita ke mana sahaja. Tidak begitu?
Terima kasih kerana membaca. Walaupun saya demam, tetapi, apabila saya melakukan sesuatu perkara yang saya minat, dengan restu Ilahi, saya siapkan juga tampalan ini untuk anda.

Ketulusan hati: Doakan saya ya, rakan-rakan supaya saya sembuh dari demam ini. Penat batuk. he...he... Selamat tidur. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, January 15, 2012

FILEM THE DARKEST HOUR: APABILA MANUSIA MENJADI DEBU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebenarnya, sejak bermulanya tanda-tanda awal virus demam dan selesema menumpang dalam diri pada hari Jumaat yang lalu, saya telah pun mengisi waktu terluang dengan menonton filem "The Darkest Hour" di The Mines.

Dengan menggunakan khidmat terjemahan google, yang diambil dari sini, saya bawakan sinopsis filem ini.


*Google*
Inilah poster filem tersebut. Berdasarkan tajuk, ramalan awal saya adalah pasti kebanyakan situasi adalah gelap. Tetapi, ternyata, ramalan saya tersasar jauh. Tidak rugi sekiranya anda berminat dengan filem aksi yang sebegini. Tidak lupa kepada pelajar, sila bawa kad matrik anda untuk tujuan diskaun. Ini sekadar ingatan dari penulis yang masih bergelar pelajar.


Dua lelaki muda dari Amerika yang merupakan jurutera perisian meneruskan perjalanan ke Moscow untuk menjual rangkaian sosial mereka, tetapi sebaik sampai ke syarikat tersebut, perisian mereka telah dijual oleh orang-orang Rusia yang telah memplagiat perisian mereka mereka dan dijual di Moscow.

Untuk melepaskan rasa kecewa, mereka ke kelab dan telah berkenalan dengan dua orang wanita yang kebetulan juga dari Amerika. Secara tiba-tiba bekalan elektik terputus. 

Mereka berlari keluar dari kelab tersebut dan kelihatan muncul seperti aurora di langit. Sebahagian cahaya ini pecah dan apabila seorang polis mendekati cahaya tersebut, polis tersebut hancur menjadi abu.

Maka, bermulalah peperangan antara manusia dan cahaya asing yang mempunyai  medan kuasa yang kuat.

Empat orang Amerika, dan seorang lelaki Rusia menyembunyikan selama beberapa hari. Apabila mereka meninggalkan tempat persembunyian mereka, mereka mendapati anjing menyalak pada sesuatu yang mereka tidak dapat melihat dan mereka merasakan bahawa cahaya itu muncul. Mereka kemudian dapat perhatikan bahawa alat-alat elektrik diaktifkan apabila cahaya asing yang tidak dapat dilihat itu muncul.

Kumpulan tersebut mendapat tahu bahawa seluruh dunia nampaknya telah diceroboh. Lelaki Rusia tersebut terbunuh. Cahaya itu datang dari sebuah bangunan di mana terdapat seorang wanita dan seorang lelaki, yang terakhir yang telah membina sebuah sangkar Faraday yang menyimpan makhluk asing serta peranti gelombang mikro bahawa dia menjangka akan membantu melawan makhluk asing.

Walaupun mangsa menderita, mereka bertemu dengan pihak polis Rusia yang berjaya membunuh makhluk asing dengan senjata konvensional. Pihak polis memeriksa senjata gelombang mikro dan merancang untuk membina model yang lebih baik. Pihak polis percaya bahawa cahaya asing itu muncul di bumi kerana terdapat kepelbagaian logam di dalamnya.


Amerika membuat kapal selam dan rancangan untuk menyebarkan pengetahuan asing mereka kepada dunia. Mereka belajar yang Parisians telah berjaya memusnahkan menara perlombongan asing dan filem itu berakhir dengan harapan untuk memusnahkan cahaya asing itu.

Sinopsis sahaja sudah terlalu panjang. Tahniah kepada anda yang telah membaca dengan sepenuh hati.


*Google*
Apabila manusia menjadi debu, debu mahu jadi apa?



Menurut pandangan saya, filem ini agak meleret. Tidak dinafikan bahawa pengarah ingin menonjolkan cahaya asing tersebut sebagai subjek utama.

Agak aneh juga kerana hanya mereka berlima sahaja yang tidak dapat dikesan oleh cahaya tersebut apabila mereka menyorok di suatu kawasan selama beberapa hari.

Apabila manusia ataupun haiwan yang terbunuh ketika cahaya tersebut menyerang, mereka akan menjadi abu. Terdapat sekumpulan Rusia juga yang mempertahankan negara mereka dari serangan cahaya asing tersebut. Kumpulan ini telah pun mendapat salah satu bahagian cahaya asing tersebut dan ianya kelihatan seperti arang.

Baguslah, antara debu dan arang, mereka berlawan.

Selain itu, pengakhiran cerita ini memaparkan bahawa mereka akan mencipta teknologi untuk menghapuskan cahaya asing tersebut.

Yang paling penting, banyak persoalan yang tidak terjawab, dan berkemungkinan terdapat sambungan untuk filem ini.

Antara persoalannya adalah: Dari mana munculnya cahaya asing tersebut, Mengapa mereka tetap ingin pergi kedutaan untuk pertolongan sedangkan cahaya asing tersebut berada di mana-mana?, Dalam masa yang singkat, teknologi membanteras cahaya asing tersebut berjaya dilakukan?.

Sekadar perkongsian dari saya. Manusia mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan. Mungkin saya merasakan filem ini meleret tetapi tidak anda.

Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

SEUSAI MENGEMAS

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar anda pada hari ini? Semoga ceria hendaknya.

Saya baru sahaja selesai mengemas. Berpindah ke bilik baru yang menempatkan pelajar yang tidak pulang ke rumah sempena cuti semester. Oh, sayunya hati.



*Yahoo*
La la la la la la la... Mari mengemas bilik lah. Menyapu sampah (lebih tepatnya habuk), mengelap lantai, mengemas kain baju, dan akhirnya mengemaskini laman ini.


Habuk, tak usah cakaplah. "Memang lah habuk tidak boleh bercakap, apalah penulis ni?". Maaf sekiranya lawak yang ingin dicipta tidak berjaya.

Keadaan bilik baru ini seolah-olah bilik tinggal yang sekian lama ditinggalkan. Sawang memenuhi setiap penjuru bilik.

Islam mengajurkan umatnya menjaga kebersihan. Kebersihan yang dijaga rapi dapat mengurangkan kadar penyakit serta dapat menenangkan akal fikiran.

Aneh, bagaimana insan yang sebelum ini boleh bernafas di bilik yang dipenuhi oleh habuk yang sangat banyak. Sudahlah saya selesema. Tidak sihat.

Alhamdulillah, dengan kehendak Allah, saya berjaya mengemas. Syukur.

Seusai mengemas, saya meneruskan agenda mengemaskini laman ini dan saya tidak tahu apa yang perlu dicoretkan lagi.

Akal buntu di kala waktu panas petang menyapa dengan bahang haba. Panas badan terasa kurang dari semalam. Syukur.

Terima kasih kerana membaca,
Hanya ini yang ingin dicoretkan sahaja.

Ketulusan hati: Jaga kebersihan tempat tinggal anda sebagaimana anda menjaga kebersihan diri anda. Dahulu, sewaktu saya kecil, saya gemar memandang wanita yang cantik. Wanita itu sememangnya cantik sekiranya dia cantik di mata kaum yang sejenisnya. Tetapi, setelah dewasa, persepsi cantik tersebut turut berubah. Cantik tidak hanya sekadar fizikal semata-mata. Itu cantik yang sia-sia. Cantiknya seseorang wanita itu sekiranya dia menghiasi dirinya dengan pakaian yang menutup aurah, ketika berkata-kata tidak melunakkan suara untuk menarik perhatian, dan yang paling penting kebersihan tempat tinggal yang dijaga rapi. Inilah kecantikan yang sempurna. Kebersihan dan kecantikan yang diadun lama-kelamaan akan menjadikan wanita itu lebih mudah untuk beradaptasi dengan sekelilingnya. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.