Saturday, January 14, 2012

DESTINASI DUGAAN PASTINYA HIKMAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan oleh Allah Ta'ala paada hari ini. InsyaAllah.

Medium. Dewasa ini, terdapat lambakan laman sesawang yang menjadi medium untuk menyampaikan.



*Yahoo*
Salah satu medium perantara. Mudah dan ringkas aplikasinya tetapi impaknya terlalu besar. Asasnya, berfikir sebelum mencoret.



Peluang ini sewajarnya digunakan dengan sebaik mungkin untuk berdakwah atau mencoretkan sesuatu perkara yang baik-baik sahaja. Tetapi, terdapat juga laman sesawang yang menjadi medium untuk menyebarkan fitnah, menunding jari atas kesalahan insan lain untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang menjadi isu terutamanya politik.

Entahlah, manusia semakin hilang pedoman. Satu sahaja persoalan untuk menangani isu ini. Meletakkan dari anda sendiri di dalam diri individu yang menjadi mangsa fitnah anda.

Bagaimanakah tindakan anda sekiranya anda yang difitnah? Cerita yang hanya direka-reka untuk menarik perhatian insan lain berkunjung ke laman tersebut.

Tidakkah anda terasa mahu membentak, marah atau cuba bertenang menghadapi perkara yang anda tidak lakukan. Manusia, kita kadangkala kalah dengan ujian yang diberikan oleh Allah Ta'ala. Kalah tidak bermaksud menunduk mengiakan perkara yang ternyata salah.

Saya coretkan sedikit sebanyak pengalamn saya menghadapi ujian yang Allah turunkan kepada saya. Saya tiada hati untuk memperincikan peristiwa yang bagaimana yang saya tempuhi. Cukuplah setakat ini yang menjadi coretan jari-jemari dan yang selebihnya saya jadikan kenangan yang terindah dalam hidup saya.


*Yahoo*
Sesuatu perkara yang disampaikan adalah fitnah sekiranya perkara tersebut adalah jauh dari landasan kebenaran.


Saya pernah difitnah. Pengalaman lampau yang banyak mengajar erti positif dalam diri saya. Biarlah apa orang kata, yang penting Allah berada setiap detik bersama saya. Ini prinsip saya.

Sakitnya hanya Allah yang tahu. Allah yang menjadi medium untuk saya mengadu. Tipulah sekiranya saya menyatakan bahawa saya sedikit pun tidak terasa.

Tetapi, saya tahu Allah turunkan ujian kepada saya kerana Dia tahu saya mampu untuk menghadapi ujian daripadaNya. Bukan mudah untuk bertahan. Bertahan dari fitnah manusia.

Ada ketika sehingga suatu tahap saya merasakan biarlah insan tersebut mencanang cerita. Biarlah. Asalkan Allah bersama saya. Sebagai manusia, sukar untuk kita menutup mulut insan lain dari mencanang, mereka-reka cerita dan paling memualkan adalah menokok tambah cerita yang dibawa-bawa tersebut.

Allah kurniakan saya dengan ujian yang saya kira terlalu berat untuk saya tanggung. Tetapi, pasti ada insan yang lebih berat penderitaan mereka dari saya. Inilah yang dikatakan lumrah kehidupan yang menuntut kesabaran.

Hikmah yang Allah berikan dari peristiwa fitnah tersebut, sangat mendalamkan keyakinan saya terhadap Allah. Ikatan yang lebih erat saya dapat dari insan yang menyanyangi saya. Sesuatu yang di luar jangkaan saya.

Kepada insan tersebut, ingatlah Allah menduga saya dengan dugaan yang hampir saya merasakan sangat-sangat sakit menghadapi ujian Allah ini, tetapi, apa yang paling bermakna, ada insan yang menyokong saya tatkala rasa pedih di hati melanda. Terima kasih kerana mempercayai saya sedangkan sebelum ini ikatan yang terbina di antara kita hanyalah biasa-biasa sahaja. Untuk makluman, ini bukanlah ikatan antara lelaki dan wanita.

Kini, apabila saya rasa sakit, dia pun begitu juga. Kami bergembira dan menjalani kedukaan bersama. Saat yang paling manis dalam hidup saya. Hikmah yang tidak berada di kotak akal jangkaan saya.

Terima kasih Ya Allah atas dugaan yang diberikan. Kepada insan yang sering bertakhta di hati saya tatkala duka lara dan gembira, terima kasih diucapkan. Terima kasih kerana mempercayai diri saya tatkala dugaan itu melanda.


*Yahoo*
Eh, mata masuk habuk pula. Biasalah, ayat tidak mahu mengaku titisan air mata kedukaan dan kegembiraan yang bersatu dalam diri.



Senyum tidak perlu kata apa-apa. Inilah sedikit coretan dari lubuk hati dan yang telah pun menjadi realiti dalam kehidupan saya.

Kepada insan yang menyebarkan perkara tanpa tahu kesahihan kisah tersebut, jauhkanlah diri anda dari mencoretkan perkara tersebut.

Pastikan kesahihan sesuatu isu sebelum mencoretkan apa yang terlintas di fikiran anda. Anda boleh menjadikan laman sesawang ini sebagai sesuatu yang positif sekiranya benda yang positif yang anda coretkan.

Terima kasih kerana membaca.

Ketulusan hati: Tanda-tanda demam telah pun kelihatan semalam. Dan ternyata, hari ini demam melanda. Saya positifkan diri melawan virus ini dan salah satu tanda Allah sayangkan saya dengan menghapuskan dosa-dosa kecil saya melalui medium penyakit ini.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, January 12, 2012

BERAKHIR SUDAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa peperiksaan akhir bagi semester tujuh telah pun tamat.

Mengisytiharkan? Boleh lah.

Di sini, saya kongsikan ketebalan nota yang merangkumi peperiksaan tadi.



Tebal tak nota ni? Tak adalah tebal sangat, satu milimeter sahaja. Ayat mahu sedapkan hati. Motivasi, motivasi, positif, positif.


Apabila dibuat perbandingan dengan sebuah buku, baru terasa membaca sebuah buku.


Konklusinya, membaca jambatan ilmu. Soalan yang ditanya ternyata tersasar jauh dari landasan fikiran. Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis adalah amat diperlukan.

Sekian sahaja untuk kali ini. Ya Allah, hambamu ini telah buat yang terbaik, maka permudahkanlah urusanku. Amin ya rabbal'alamin.

Ketulusan hati: Cuti semester sebulan sahaja. Bermula 16 Januari 2012 sehingga 19 Februari 2012. Maka, sekali lagi saya mengisytiharkan bahawa Projek Ilmiah Tahun Akhir pun bermula. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Wednesday, January 11, 2012

AWAK

Awak,
Ingat lagi kenangan ketika itu,
Saya perasan,
Awak tengok saya,
Dan setiap kali kalau saya perasan situasi itu,
Secara cepat saya akan berpaling dari pandangan mata awak,
Saya tundukkan pandangan saya,
Bukan kerana saya tidak sedar,
Tetapi saya takutkan Allah,
Itu sebablah saya menjaga pandangan saya,
Saya harap awak faham.



*Yahoo*
Jagalah pandangan kerana sesungguhnya pandangan itu dapat mengurangi rasuah hati terhadap kecintaan sesama makhluk yang belum tentu pasti merupakan jodoh kita. Kadangkala, bisikan syaitan yang menghasut supaya tidak mengendahkan pandangan tuntutan Ilahi tetapi mengikut telunjuk pandangan nafsu.



Awak,
Saya sebenarnya sukakan awak,
Suka yang sekadar suka-suka,
Suka yang entah apa-apa,
Suka yang menyulitkan saya,
Tetapi saya meletakkan kesukaan saya terhadap Allah sepenuhnya,
Sebab saya takut suka saya boleh menjadi lagha,
Jadi biarlah suka itu hanya di dalam hati saya,
Tanpa ketahuan daripada mana-mana makhluk,
Biarlah Allah yang menjadi peneman kesukaan ini,
Yang tahu sedalam mana kesukaan saya terhadap awak.



*Yahoo*
Luahkanlah rasa suka itu kepada Allah, biarlah Dia yang pegang rasa itu.



Awak,
Empat tahun kita berpisah,
Berpisah berjihad di jalan Allah,
Berjuang menuntut ilmu kerana Allah,
Tapi kadangkala saya nakal,
Saya mencari nama awak di alam maya,
Pencarian yang bakal melenyapkan rasa suka di hati sanubari.


Awak,
Akhirnya,
Pencarian saya berhasil,
Saya ketemu awak,
Tetapi saya takutkan Allah,
Saya takut melakukan maksiat hati,
Berbunga-bunga cinta tetapi awak bukan milik saya yang halal,
Untuk diletakkan cinta yang sedemikian rupa amat sukar bagi saya.


Awak,
Setiap coretan tulisan awak,
Saya baca,
Tersenyum dibuatnya,
Bukan kerana kelakar atau apa,
Kerana ilmu coretan awak tidak daya disamatarafkan dengan saya.


Awak,
Secara tidak sengaja,
Saya mencari nama awak dalam Buku Wajah,
Ternyata itu adalah awak,
Majlis undangan perkahwinan?
Oh, hati saya mengucapkan rasa syukur,
Awak telah ketemu cinta hati awak,
Awak bukan jodoh saya.


Awak,
Selamat menempuh alam rumahtangga,
Si dia adalah jodoh awak,
Jaga si dia dengan penuh ketertiban,
Penuhi pandangan mata awak dengan cahaya cinta si dia,
Tidak lupa,
Semoga mendapat cahaya mata yang soleh dan solehah,
Dambaan setiap pasangan yang bergelar suami isteri.



*Yahoo*
Awak, selamat menempuh alam bahagia.



Awak,
Selamat bercinta sehingga ke syurga,
Hanya itu sahaja doa ikhlas dari saya.


Ketulusan hati: Esok saya ada peperiksaan. Kertas akhir. Idea ini tiba-tiba menyerang. Jadi, saya pun tidak melepaskan peluang mencoretkannya di sini. Doakan saya, ya rakan-rakan. Terima kasih kerana membaca. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

TINGGAL SATU LAGI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik dan dilimpahkan ketenangan hati. InsyaAllah.

Sudah selesai satu kertas peperiksaan. Alhamdulillah.

Esok, kertas akhir. Ya Allah, tenangkanlah diriku ketika menjawab peperiiksaan.

Bukan senang nak senang,
Bukan susah nak susah.

Belajar memang sukar. Oleh itu, mendakilah perlahan-lahan.

Walaupun perih jerih yang terpaksa kita lalui, tetapi manisnya pasti menusuk sanubari.

Sampai di sini sahaja, perkhabaran saya. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, January 10, 2012

AKU MAAFKAN KAMU OLEH MALIQUE DAN JAMAL ABDILLAH





Aku minta maaf di atas segala perbuatanku
Ternyata kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan

Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Atur sepuluh daktil batal yang batil
Detik dua usul ditutup satu lagi tampil
Dari halaman rusuk kiri satu susuk ganjil
Minta diisolasi dari dalil busuk jahil
Aspirasi tak serasi dengan suara bunyi
Inkarserasi dari penghuni dan keluarga bumi
Surat wasiatnya atas paksi dalam rumi
Minta dikebumikan hidup-hidup dalam guni
Mana cepat terbang atau warna gelang tangan
Buah fikiran aneh tergantung di persimpangan
Halusinasi susuli ketandusan ihsan
Ubat parut auditori kesan artileri insan
Gagal dikesan

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

Timbul tenggelam, timbul tenggelam
Acapkali terpendam, acapkali tersergam
Cermin muka kopak penuh bintik hitam silam
Ini bukan lagu rindu ini madah dendam
Kutimbang tanpa neraca di awal usia
Ku dihukum masuk neraka oleh manusia
Minta tunjuk lubang atau pintu tak dapat jawapan jitu
Jadi aku tak berganjak biarkan saja begitu
Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu
Mereka tidak fasih malah fasik guna kata
Kita kongsi nama bangsa tapi tidak kasta bahasa
Maafkan mereka, mereka tiada nilai
Ibu bapa lalai dari kecil dah diabai
Tanpa kasih sayang, mereka suka menyakiti
Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati

Atas kepala murai sekawan
Baling kurambit kucup lehernya
Terlalu rahi dendam di angan
Sampai terkacip mulut mahirnya

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

Jangan ahli sihir seru nama maharaja
Nanti segerombolan hantu bisu yang menjelma
Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara
Kalau terpelajar sila guna hak miranda
Pura-pura dengar, telan tapi tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham
Mereka mula kiri, aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi, mari tafsir alif ba ta

(Alif)
Ada teratak di hujung kampung
(Ba)
Bawah cermin kopak ada kotak
(Ta)
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

(Alif)
Ada teratak di hujung kampung
(Ba)
Bawah cermin kopak ada kotak
(Ta)
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

(Alif)
Ada teratak di hujung kampung
(Ba)
Bawah cermin kopak ada kotak
(Ta)
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Ternyata kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, January 9, 2012

KOMBINASI DUA NADA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat malam dan selamat berehat.

Indah, apabila dua nada bersatu. Cuba dengar dan hayati. Tetapi, nada hujan itu lebih panjang durasinya.

Sekiranya nada instrumentasi itu sudah tamat, boleh ulangi lagi kerana durasi yang panjang bagi nada hujan tersebut.

Untuk mendapat nada yang lebih indah, sila kawal nada hujan itu agar menjadi nada latar belakang nada instrumentasi itu.

Selamat mencuba.


Nada instrumentasi.



Nada hujan.



Ketulusan hati: Indahnya nada. Muzik itu tidak haram, tetapi kawallah ia selayaknya jangan sampai lagha. Itu sahaja dari saya. Selamat malam.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

HUBUNGKAIT DAN PERKAITAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menunaikan panggilan Ilahi. Solat Isya' ertinya. Selamat datang kepada pembaca yang baru singgah terdampar di laman ini. Dan tidak lupa, kepada sahabat selamanya juga. Senyum, tidak perlu kata apa-apa. Dapat pahala, mudah sahaja. Oh, petua awet muda juga.

Satu lagi kertas peperiksaan telah pun saya jawab akhirnya. Masih tinggal dua kertas lagi. Semoga berjaya, perahsia hati. Motivasi diri sendiri. Motivasi penting. Cubalah untuk memotivasikan diri sendiri. Bersemangat jua menghadapi hidup ini.

Apa kaitan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Peraturan-Peraturan  (Occupational Safety and Health Act -OSHA) dengan jurusan saya?

Itulah yang bermain di fikiran saya tatkala pertama kali saya melangkah ke semester baru. Kursus wajib yang wajar dipelajari.

Setelah mendalami ilmu OSHA ini, saya sedar bahawa peri pentingnya keselamatan dalam bidang pekerjaan. Tugas sebagai majikan, pekerja, pembekal, dan sebagainya saling lengkap-melengkapi sekiranya anda belajar atau cuba mencari pengetahuan dalam bidang ini.

Selain itu, menurut poensyarah saya gaji yang dikenakan terhadap pegawai Safety Health Officer (SHO) adalah tinggi. Kepada sesiapa yang berminat, boleh lah melayari laman sesawang ini.

Yang paling menarik adalah, anda tidak perlukan kelulusan dalam bidang akedemik. Cukuplah sekadar SPM sahaja. Peluang cerah menanti anda dalam bidang ini. Anda perlu menjalani peperiksaan dalam bidang ini. Itu sahaja. Tiada jalan pintas untuk mencari kesenangan kehidupan. Tetapi, anda mestilah minat untuk menyimpan rekod. Sekurang-kurangnya sepuluh tahun bagi setiap kes yang anda kendalikan.

Keselamatan. Menurut buku OSHA tersebut, sesebuah kilang yang mempunyai seratus atau kurang daripada itu, perlulah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pegawai SHO. Jika kilang anda mempunyai pekerja seramai lebih daripada seratus orang, sekurang-kurangnya empat pegawai SHO diperlukan.

Majikan dan pekerja dan sesiapa sahaja dinyatakan dalam hak mereka dalam buku OSHA asalkan mereka adalah pekerja. Pegawai perubatan juga merupakan salah satu pegawai SHO.Pekerja, majikan, insan yang bekerja sendiri, pengeluar, perekacipta, dan pembekal juga merupakan pegawai SHC atau Safety Health Committee asalkan anda mengambil peperiksaan dan mengikuti kursus di bawah National Institute of Safety and Health (NIOSH). Untuk peringatan, NIOSH Malaysia. Sebab setiap negara berlainan peraturan. Itupun, sekiranya anda berminat untuk bekerja di Malaysia.

Sebenarnya, masih banyak ilmu OSHA yang perlu dipelajari. Kerjaya ini lebih sesuai sekiranya anda berminat menjadi seperti setiausaha yang memerlukan anda untuk bekerjasama dengan dokuman dalam kuantiti yang banyak. Sekiranya nada berjiwa setiausaha, tahniah dioucapkan. Apa tunggu lagi, kepada adik-adik yang masih lagi tidak tahu untuk melakukan apa-apa aktiviti selepas SPM, mungkin ini ruang dan peluang untuk anda. Kerjaya ini besar nilainya dari segi pendapatan dan tanggungjawab juga.

Ya, tiada pendapatan yang besar tanpa tanggungjawab yang besar juga. Maka, ayuh, rebut peluang ini. Masa depan anda pasti cerah sekiranya anda memilih bidang ini. Menurut pensyarah saya, budak SPM pun ada yang mengambil peperiksaan dan pandapatan yang lumayan.


Buku panduan wajib yang anda perlu ada sekiranya berminat memilih kerjaya ini sebagai kerjaya pada masa hadapan. Oh, ini buku saya. Maklumlah, hanya buku dibenarkan untuk di bawa masuk ke dewan peperiksaan tadi. Tetapi, tidak perlulah anda untuk membeli buku yang sama seperti saya kerana sekarang sudah pun tahun 2012. Silalah beli buku yang telah mengikut peredaran zaman ya, rakan-rakan.


Bagi adik-adik yang berminat atau kepada sesiapa sahaja yang berminat, layarilah laman NIOSH (MALAYSIA). Semoga anda berjaya dalam bidang apa sahaja yang anda ceburi. Setiap pekerjaan itu, semuanya ada kesinambungan. Besar kerjaya anda dari segi pendapatan, maka besarlah tanggungjawab anda. Tidak perlu bermegah dengan kerjaya, kerana kita saling memerlukan dalam membangunkan ekonomi negara.

Walaupun, saya belum bekerjaya, tetapi peluang dan ruang itu perlu disampaikan. Sekali lagi, kepada sesiapa yang berminat, cubalah kerjaya sebagai OSH mahupun OSC ini. Belum cuba, belum tahu.

Ketulusan hati: Teruja sebenarnya untuk memberitahu akan kerjaya ini. Negara kita masih kekurangan pegawai dalam bidang ini. Terima kasih kerana membaca. Perahsia hati, dua kertas peperiksaan sahaja lagi. Kuatkan semangat dan cekalkan hati. Anda pasti boleh. Malaysia pun boleh, apatah lagi anda seorang rakyat Malaysia. Ini sekadar selingan untuk diri sendiri. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, January 8, 2012

SEMPURNA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menikmati hidangan tengahari anda. Alhamdulillah, perut telah diisi dan moga persiapan esok hari dapat diteruskan pada hari ini. Oh, peperiksaan yang menanti.

Sempurna.


*Yahoo*
Terlalu banyak perihal kisah yang yang dapat dibayangkan dengan gambar ini.


Saya tidak sempurna. Sekadar insan biasa yang hidup menumpang di atas bumi Allah.

Kadangkala, saya bayangkan, hakikat hidup yang dihubungkan dengan kesempurnaan.

Sempurna, mengajar manusia erti berjaga-jaga.

Sempurna, mengajar kita lakonan di pentas dunia. Selama mana kita mampu bertahan menjadi pelakon yang dalamnya entah apa-apa? Berlakon sekadar melembutkan nada suara, luaran yang tidak seperti ombak dalaman yang memecah kepingan hati bertaburan. Bersepai menjadi pasiran halus yang akhirnya menumpang sisi daratan.

Sempurna, kadangkala menyebabkan kita terlalu mengongkong diri kita dari landasan diri yang sebenarnya.

Sempurna, di kaca mata insan sukar di jaga.

Sempurna, kadangakala tewas untuk mempertahankannya.

Sempurna, afdhalnya bermula dari dalam. Hati itu kuncinya akal itu mangganya.

Sempurna, wajarnya selari dengan luaran dan dalaman. Seia dan serasi bersama. Tanpa ragu, menjadi sahabat akrab yang sering membetulkan apa yang khilaf. Bersama mencari penyelesaian, bukan bersama menunding jari di jalanan.

Sempurna, tidak perlukan berbandingan sesama kita. Sekadar kita yang rasa apa itu sempurna.

Sempurna, madahnya sukar untuk dibicara. Gembira dan dukanya, sukar dinyahdaya.

Sempurna, melemaskan kadangkala.


*Yahoo*
Sempurna? Entah. Luarannya mungkin. Tetapi, dalamnya, bagaimana? Bil-bil yang perlu diselesaikan dan duit yang perlu dijadikan pendapatan dan nafkah harian perlu wajar nilainya untuk memenuhi tuntutan kesempurnaan. Sempurna itu berbeda di kaca mata kita semua. Percayalah.



Kini bermulalah kisah sempurna seadanya.

Sewaktu saya masih kecil, ketika akal masih lagi tidak mampu menjadi pemandu diri, saya seringkali membuat perbandingan. Perbandingan sesama manusia. Rakan-rakan, yang berada di sekeliling saya.

Mengapa apa yang dia ada, saya tiada? Mengapa saya yang perlu menjalani kehidupan yang sebegini?

Begitulah minda saya. Dipenuhi dengan persoalan tetapi tidak berani diluahkan, sekadar perhiasan tanpa penyelesaian.

Negatif, tentang segala-galanya. Entah. Itulah saya sewaktu kecil. Bodoh dan hodoh akal pemikiran saya. Tetapi, itulah saya. Sewaktu tidak tahu apa-apa mengenai kehidupan.

Itulah yang terjadi tatkala fantasi di penuhi dalam ruang lingkup realiti.

Tetapi, persoalan dan perbandingan itu tersemat di lubuk hati. Sahaja. Ya, sahaja. Saya seorang yang lebih gemar berfikir tanpa meluahkan. Bagi saya, diam itu lebih baik dari berkata-kata.

Selain itu, saya seorang yang pasif. Ya, pasif. Saya tidak akan melawan kata-kata walaupun saya tahu itu bukan kesalahan saya.

Bodoh. Mungkin itu yang tergambar di fikiran anda. Mungkin. Kerana saya pun berfikiran sebegini rupa.

Apabila masalah menimpa, saya lebih mudah memendam rasa. Dan lama-kelamaan, saya tahu rasa itu pergi. Dan saya tidak perlu mengungkit lagi.

Dibesarkan dengan cara kehidupan masyarakat Melayu, saya sedar Melayu berkait rapat dengan budaya dan adat.

Tidak boleh melawan kata orang yang lebih besar dari kita. Bukan besar dari segi saiz. Harap maklum. Besar di sini merujuk kepada orang yang lebih tua daripada kita.

Lebih tua, tidak melambangkan bahawa anda sahaja yang betul. Itu sekadar perlambangan bahawa anda telah ditakdirkan untuk lahir ke dunia terlebih dahulu. Itu sahaja.

Terlebih makan garam. Terlebih pengalaman hidup.

Tetapi, itu tidak bermakna pengalaman anda dapat di samakan dengan pengalaman saya. Pengalaman kita berbeza-beza mengikut situasi dan keadaan, yang baik dijadikan pedoman dan yang buruk dijadikan sempadan.

Tampalan yang tidak merujuk emosi marah saya. Emosi saya setakat ini, Alhamdulillah, masih stabil.


*Yahoo*
Marah-marah lekas tua. Mahu lekas tua, mahu terlebih makan garam? Maka, marahlah selalu. Oh, ini hanya gurauan. Senyum tidak perlu kata apa-apa. Baiklah, otot muka awet muda telah diaktifkan kembali. Terima kasih.



Bersambung lagi dengan kisah kesempurnaan sebentar tadi.

Setelah dewasa, saya sedar bahawa kesempurnaan itu adalah ciptaan kita.

Sempurna itu adalah di bawah imaginasi kita. Kita yang kawal, bukan orang lain. Mereka sekadar pemerhati yang duduk memerhati.

Kehidupan sempurna saya, cukuplah sekadar mempunyai keluarga yang menerima saya apa adanya. Menerima saya tatkala saya ada apa-apa dan tidak punya apa-apa.

Terima kasih Ya Allah, di atas kurniaan keluarga yang sebegini rupa. Berfikiran positif juga adalah lambang kesempurnaan. Walaupun orang lain tidak nampak, biarlah.

Asalkan kita tahu menjaga batas pergaulan kita dan batasan yang ditetapkan oleh agama. Itulah yang dinamakan kesempurnaan.

Teringat kembali pengalaman saya bertanyakan adik bongsu saya mengenai cita-cita.

Adik saya bercita-cita mahu menjadi pemandu lori sampah. Disebabkan lori sampah itu adalah kenderaan yang dirasakan smart olehnya.

Terfikir saya, kembali. Siapa yang mahu memungut sampah sekiranya tiada insan yang bekerja sebegitu rupa?

Setiap pekerjaan itu, pasti ada kepentingannya. Oleh itu, jangan pandang rendah pada pekerjaan seseorang. Kadangkala senyuman yang dilemparkan kepada golongan sebegini lebih ikhlas dari golongan atasan.

Saya terpaksa akui perkara ini kerana kini, golongan warga asing terutamanya Indonesia yang memonopoli pekerjaan di sektor industri pembersihan di kampus saya. Senyuman mereka, ternyata ikhlas. Semoga Allah memudahkan urusan mereka.

Begitulah kisah sempurna. Pengalaman saya, yang saya garap agar menjadi ikhtibar untuk saya sendiri dan anda semua.

Semua orang inginkan kesempurnaan. Tetapi, adakah sewaktu kita punya apa-apa atau sewaktu kita tiada apa-apa? Renung dan fikirkan.

Ikhlas dari saya, sempurna itu kita yang cipta melalui bersyukur dengan apa yang ada dan tambahbaik dengan apa yang ada sekarang. Kesempurnaan itu milik Allah Ta'ala. Tiada kesempurnaan yang kekal tetapi sempurnakan akhlak itu adalah kekal kerana ia berada di sisi kita dan tiada siapa yang layak untuk mencurinya dari kita.

Sempurna itu janganlah dipandang dari harta benda mahupun rupa paras, tetapi pandanglah dengan hati yang suci. Maka, pasti kita akan merasai nikmat sempurna dengan lebih ketenangan dan kelapangan dada.


*Yahoo*
Setiap perkara yang berlaku, hikmah itu pasti ada. Jadi, wajarlah kita tahu bahawa Allah menduga kita kerana Dia tahu kekuatan kita menghadapi ujian dariNya.



*Yahoo*
Jangan terlalu mencari kesempurnann, sebaliknya berubahlah akhlak kita secara perlahan-lahan ke arah itu.


Ketulusan hati: Peperiksaan pada hari esok. Doakan saya, ya rakan-rakan. Ya Allah permudahkanlah urusanku. Terima kasih kerana membaca. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

PERIHAL BUDAK KESAYANGAN

Assalamualaikum dan selamat pagi. Selamat berehat diucapkan dan selamat berhujung minggu.

Masih ingat akan tampalan saya beberapa hari lalu?

Ya. Niat saya untuk mencoretkan pengalaman adik bongsu saya pada hari pertama persekolahan.

Budak lelaki. Nakalnya berlainan dengan kanak-kanak perempuan (merujuk kepada adik kedua bongsu). Aktif juga sebegitu rupa. Tetapi, saya sayang mereka.

Hari pertama persekolahan. Pertama kali menjejakkan kaki ke persekitaran persekolahan yang sebenar.

Kisah ini diceritakan kepada saya oleh adik saya yang lain. Al-kisahnya, pergi ke sekolah,ayah saya yang hantar dan balik pun berjemput.

Bekal sudah disediakan, maka tiada apa yang perlu dikhuatiri dari segi makanan dan minuman.

Hari pertama persekolahan? Apa yang anda jangkakan dari kanak-kanak yang tidak mempunyai pengalaman ke tadika?

Menangis?

Sudah semestinya, tidak. Sila baca sambil menggeleng kepala anda. Bukan kepala saya.



*Yahoo*
Comel kan menggeleng kepala sebegini rupa?


Berbalik kepada kisah tadi, antara pengetahuan yang adik saya dapat semasa di sekolah adalah menulis namanya sendiri. Hebat, bukan mudah untuk mengajar pelajar yang bermula dari tidak tahu.

Terima kasih cikgu. Oh, adik saya apabila di rumah, hanya rajin bermain dengan kereta mainan dan kenderaan mainan yang lain.


*Yahoo*
Smart lah. Inilah perkataan yang sering disebutnya apabila melihat atau ketika bermain kereta mainannya dan kenderaan mainan yang lain. Semuanya mainan kerana masih kecil. Sekian.


Pensil hanya dipegang sementara dan diletakkan kembali ke tempat asal dalam masa yang sangat singkat. Jadi, kemahiran menulis amatlah memerlukan kesabaran yang tinggi apabila mengajarnya.

Selain itu, dia sudah tahu mengekspretasikan luahan pengetahuannya. Terkejut juga dibuatnya.

"Cikgu dalam Bahasa Melayu, dalam Bahasa Inggeris dipanggil teacher," kata adik saya.

Kagum. Bagi saya, cukuplah sekadar adik saya merasakan bahawa ilmu itu adalah menarik untuk dipelajari.

Duhai adikku, sungguh indah sebenarnya, nilai ilmu itu.

Sukar digambarkan dengan kata-kata. Sesedap rasa nasi goreng pattaya, mungkin.


*Yahoo*
Nasi goreng pattaya yang seringkali menjadi kegemaran adik saya. Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.


Sukar diterjemah keindahan ilmu itu. Mengertilah wahai adikku, menuntut ilmu itu tergolong di dalam lembah salah satu jihad. Menuntut ilmu, tidak akan pernah tamat. Sehingga ke akhir nafas terakhir.

Begitulah kisah, perihal budak tujuh tahun. Hampir empat bulan tidak ketemu. Rindu juga menjamu hati.

Hari pertama persekolahan, adik saya mendapat hadiah. Benjol di kepala. Entah apa yang berlaku di antara kanak-kanak sesama mereka.

Adikku, ranjau hidup masih panjang. Masih banyak lagi rahsia kehidupan yang sukar kita jangkakan. Apa yang penting? Bersedia untuk menerima dengan hati yang lapang setiap dugaan yang menimpa.


Ketulusan hati: Saya berdoa agar adik saya mampu untuk menyelusuri ranjau tersebut dengan pegangan iman dan Islam. InsyaAllah. Hidup berlandaskan restu Ilahi pasti ada ganjaran yang menanti. Terima kasih kerana sudi menjengah ke laman ini. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.