Friday, January 6, 2012

BERSANTAI BERSAMA MAKANAN DI SISI PANDANGAN MATA

Assalamualaikum dan selamat malam. Semoga anda bergembira menikmati hidangan makan malam yang disediakan tidak kira sama ada makanan tersebut segar dari dapur rumah anda kerana anda yang memasak mahupun ibu anda ataupun sesiapa sahaja asalkan lazat dan menyelerakan tekak anda. Tidak dilupakan kepada anda yang menikmati hidangan segar dari restoran atau di mana jua anda berada, asalkan makanan tersebut datang dari sumber yang halal dan selamat menjamu selera diucapkan.

Untuk tampalan kali ini, saya ingin berkongsi bersama anda makanan yang sering menjadi pilihan hati saya. Mungkin kerana lazat atau sesuai dengan selera saya. Oh, malam ini saya tidak pun ditemani dengan makanan di sisi. Cukuplah sekadar air masak yang menjadi peneman tatkala ini.

Semoga anda dapat merasakan terliur apabila melihat gambar ini. Saya sengaja mengujakan anda, padahal saya yang teruja. Malam ini perut kosong, tetapi saya hanya mahu menaip sahaja dan mengujakan mata dengan pemandangan makanan yang menyelerakan.

Sila, sila, dan sila. Bukan sila makan, tetapi sila lihat. Boleh? Senyum tidak perlu kata apa-apa.


*Yahoo*
Apabila saya keluar makan di luar bersama keluarga, pasti hidangan nasi goreng daging merah yang menjadi hidangan pilihan hati. Sedapnya.


Di kawasan rumah saya, Restoran Mini Resto merupakan restoran yang terbaik setakat ini yang memenuhi citarasa tekak saya. Memang terbaik. Oh, mengapakah sedap sangat? Terliur melihat gambar ini.



*Yahoo*
Nasi goreng ayam. Seperti yang dicoretkan tadi, Restoran Mini Resto memang terbaik. Senang cerita, semuanya lazatlah.


Eh, ada rambut kah dalam makanan di atas? Oh, itu bukan rambut, tetapi cop mohor pemilik gambar tersebut. Sila jauhkan spekulasi sebelum membaca coretan ini.



*Yahoo*
Nasi goreng daging. Sang penulis ni, semuanya nasi sahaja? Tidak adakah makanan berkuah yang menjadi pilihan kalbu? Oh, nanti saya jelaskan. Sila baca lagi coretan di bawah.



*Yahoo*
Mee kari. Hidangan yang lengkap dengan nutrisi. Disebabkan perut belum diisi pada malam ini, hanya mampu menelan air liur berkali-kali. Glup...glup... Siap dengan kesan bunyi lagi.



*Yahoo*
Laksa juga begitu. Sarat dengan nutrisi yang lengkap untuk tubuh badan. Nutrisi lengkap, perut kenyang, dan jangan sendawa. Erk... Alhamdulillah. Kesan bunyi lagi. Boleh?



*Yahoo*
Bihun sup juga begitu. Hidangan yang lengkap untuk tubuh badan. Kini, semasa saya sedang menaip ayat ini, secara tiba-tiba terbau bihun sup di deria bau. Aneh dan pelik? Oh, perkara biasa kerana perut kosong dan tiada peneman. Itulah, imaginasi itu tiada batasan walaupun sedang kelaparan. Eh, tiba-tiba pula.



*Yahoo*
Nasi goreng pattaya seringkali menjadi pilihan hati adik-adik saya terutama adik bongsu dan yang kedua bongsu. Apabila ditanya mahu makan apa, secara automatik inilah dia yang menjadi jawapan.


Oh, mereka seperti saya juga rupanya. Sukar menukar makanan yang menjadi kebiasaan. Adik-beradik lah katakan. Oh, rindunya saya dengan mereka. Semester ini merupakan semester yang benar-benar menuntut kesabaran dalam menempuhi kerinduan di jiwa kepada keluarga. Semoga pengorbanan ini menjadi titik permulaan dalam kejayaan hidup saya.



*Yahoo*
Milo ais pula sering menjadi minuman pilihan saya untuk menjadi peneman makanan yang dipilih tadi. Tidak best lah sekiranya makanan tiada peneman. Kesian dia keseorangan. Tidak begitu?



*Yahoo*
Adik bongsu saya lebih menggemari air oren.


"Adik nak minum apa," kata si tukang ambil pesanan. "Fresh orange satu," pandai beliau merojakkan bahasa. Tahun ini sudah pun masuk tahun satu. Mungkin saya akan ulaskan perangainya ketika hari pertama persekolahan. Nantikan ya, rakan-rakan.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang memilih makanan. Setakat saya bernafas di bumi Allah ini, semua makanan yang boleh dimakan dan halal mengikut hukum syarak, semua saya makan. Minuman juga begitu.

Saya sukar menolak rezeki. Tetapi, nasi lebih menjadi keutamaan saya. Ibu saya pula lebih menggemari makanan berkuah dan sebenarnya kami sekeluarga tidaklah memilih makanan pun.

Luahan tersebut sekadar mengisi rasa hati yang dilanda kerinduan. Biasalah, mereka pun tidak tahu akan kewujudan laman ini. Maka, saya tidaklah berasa segan untuk meluahakn apa yang terpendam.

Terima kasih kerana membaca. Bukan lagi makan malam rasanya, makan pagi, mungkin?

Ketulusan hati: Makan perlu berpada-pada untuk mengelakkan serangan di dada (jantung). Macam pantun sudah. Selamat pagi dan selamat rehat. Assalamualaikum.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

KARYA LAGI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Jangan terkejut dan jangan membesarkan mata mahu buat reaksi terkejut juga. Dan jangan marahkan saya. he..he..

Ya, anda sekarang berada di laman yang betul. Laman perahsia hati. Oh, ini telah diterjemah ke dalam bahasa ibunda.

Tatkala bosan melanda dan menyucuk-nyucuk pangkal hati, maka terhasillah karya terbaru. Biasanya, gambar pemandangan tersebut adalah dari Yahoo. Semoga saya mampu merealisasikan impian mahu mempunyai kamera canggih satu masa nanti.

Biar mimpi sampai ke bintang. Tetapi, alangkah indah seandainya biar mimpi jadi realiti. tidak begitu?


Karya terbaru untuk pengepala. Sebenarnya, saya rindu untuk menggunakan perisian Adobe Photoshop. Perisian yang dipelajari semasa di matrikulasi dahulu. Masa tetap mencemburui. Jikalau ada masa lapang mahupun tatkala hati sebu dan minda berjerebu, mungkin saya gagahkan diri untuk mengaplikasikan ilmu di dada. Oh, otak saya sudah berkarat. Nanti saya kilatkan kembali. he...he...

Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

MUKA BARU BLOGGER'S

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda diberi kesihatan yang baik pada hari ini dan semoga ceria selalu.

Alhamdulillah, satu lagi kertas peperiksaan berjaya dijawab. Tenang rasa hati.

Minggu hadapan, lagi tiga kertas menanti. Doakan saya ya, rakan-rakan.

Mengimbas tajuk tampalan pada kali, saya agak terkejut sebentar dengan muka baru templat blogger's. Ini bermakna, saya perlu belajar membiasakan diri dengan muka baru ini.

Belajar, belajar, dan belajar. Setiap perkara yang baru, saya agak kurang gemar pada mulanya. Bukan apa, mahu memulakan langkah yang baru untuk mendalami sesuatu perkara yang biasa itu perlu memakan masa.

Saya berharap agar saya dapat membiasakan diri dengan templat baru ini. Saya perlu. Kalau tidak, sukarlah untuk saya meneruskan agenda berblogging ini.

Seronok sebenarnya menulis, satu hilang bosan.

Kedua, dapat kenalan. Saya tahu walaupun laman saya ini tidak sebegitu canggih dan cantik seperti insan lain, tetapi saya minat menulis. Eh, menaip.

Semoga dengan berblogging, saya dapat mengurangkan tekanan yang membelenggu diri dengan meluahkan perasaan saya (harap yang positif hendaknya) di sini. Dan anda pun membaca dan bertambahlah tekanan dalam diri anda. Eh, nakal tak saya?



*Yahoo*
Aiskrim pun boleh cair sekiranya dibiarkan dalam suhu yang tinggi. Apatah lagi akal yang sering digunakan untuk berfikir. Saya sendiri pun tidak tahu apakah hubungan aiskrim dan akal. Anda pula bagaimana?


Ketulusan hati: Pasti anda tertanya-tanya mengapa saya menggunakan url dengan nama secretissecret11. Untuk makluman, saya sebenarnya ingin merahsiakan identiti saya pada mulanya. Secret kan rahsia. Maka, rahsia adalah rahsia. Sebenarnya, pada awal waktu saya berblogging, saya langsung tidak menjangkakan bahawa laman peribadi saya ini akan mempunyai sahabat yang mengikuti perkembangan saya. Ternyata, jangkaan saya silap. Masih ada yang sudi berkunjung ke sini. Terima kasih diucapkan. Oh, 11 itu bermaksud tahun saya mula berblogging. Terima kasih kerana membaca. Senyum tidak perlu kata apa-apa. Memudahkan, itu merupakan salah satu kebaikan templat baru Blogger's ini. Oh, ini hanya perkongsian sahaja pada pertama kali penggunaan templat Blogger's yang baru. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, January 5, 2012

SUDAH TERIMA, KAGUM !

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menjamu hidangan makanan tengahari. Alhamdulillah, saya dapat mengisi perut dengan hidangan ikan keli masak cili api dan sambal ubi kentang. Syukur Ya Allah.

Untuk tampalan pada kali ini, saya ingin berkongsi dua kisah. Ya, berdasarkan tajuk di atas, terdapat dua perihal yang ingin dikongsikan bersama anda.

Perihal pertama, menyemak kembali tampalan rezeki tahun baru, saya telah pun mengambil baucer tersebut. Syukur. Semoga dengan pemberian ini, saya dapat menggunakan baucer tersebut untuk tujuan pembelian buku. Sudah namanya baucer buku, bukan? he...he...


Inilah baucer yang diceritakan tadi. Soalan matematik asas. Jika satu keping baucer bernilai RM50, berapakah nilai RM bagi empat keping baucer? Mudah bukan. Tarikh luput nilai baucer ini adalah 31 Mac 2012. Masih ada dua bulan setengah lagi untuk memikirkan apa yang ingin dibeli menggunakan baucer ini. Minta maaf, saya terpaksa menutup atau melindungi nombor siri baucer tersebut.


Perihal kedua pula adalah kagum.


*Yahoo*
Tampalan kagum ini adalah berkaitan dengan jejaka.


Kejadian ini berlaku ketika saya berada di kafeteria sebentar tadi. Saya telah menamatkan peperiksaan pada pukul 10.30 minit pagi. Selepas itu, berjalan pula untuk mengambil baucer tersebut dan selepas hampir 45 minit, acara itu pun selesai.

Perut berkeroncong, saya terus bergerak ke kafeteria. Biasalah, ramai pelajar. Minggu belajar yang diadakan untuk pelajar mengulangkaji pelajaran merupakan waktu puncak untuk pelajar turun awal kira-kira pukul 11.00 pagi, kafeteria mulai sesak.

Seusai mengambil lauk idaman kalbu, di hadapan saya kelihatan seorang jejaka bersama-sama berbaris di kaunter untuk membuat pembayaran. Kelihatan makanan yang menjadi santapannya berada di atas pinggan. Kalau berada di bawah pinggan, maka makanan tersebut, terjatuhlah. Bukan ingin menceritakan makanan tersebut terjatuh. Ini hanya selingan sahaja.

Baiklah, kisah diteruskan lagi.


*Yahoo*
Kelihatan sedap hidangan ini. Tetapi, bukan merupakan hidangan yang dipilih oleh jejaka tersebut.

Kagum. Satu perkataan yang dapat saya fikirkan buat masa itu. Anda ingin tahu, apakah yang menyebabkan saya kagum dengan jejaka itu?


*Yahoo*
Nasi putih dan sedikit sambal menjadi pilihan hati yang hanya berharga satu ringgit Malaysia sahaja.


Kagum saya dibuatnya. Mungkin bagi segelintir manusia, sebaliknya. Oh, saya tidak mahu menulis yang negatif tentang jejaka tersebut. Harap maklum. Bukan kerana hati telah berbicara, tetapi saya akui saya perlu ubah cara penulisan saya untuk menambah baik nilai positif dalam diri. Secara perlahan-lahan. Itu yang pasti.

Bagaimana persepsi anda sekiranya kejadian yang sama berlaku di hadapan mata?

Bagi saya, cukuplah dengan berfikiran positif. Tidak lupa, kagum itu tetap ada.

Duhai jejaka yang mungkin akan membaca tampalan ini yang saya sendiri tidak tahu waktu bila, kerana penulisan yang saya coretkan akan tetap dibaca oleh insan lain selagi saya tidak memadamkan tampalan ini mahupun laman peribadi ini, ataupun kisah ini dikongsi poleh insan lain, percayalah bahawa saya sangat kagum dengan anda.


*Yahoo*
Hidup ini berwarna-warni, maka ceriakan lah hidup anda dengan warna yang ingin anda lakarkan. Tetapi jangan lupa, pastikan anda tahu mewarnakan emosi anda dengan sewajarnya juga.


Terima kasih kerana membaca laman yang tidak seberapa ini. Oh, esok juga saya menghadapi peperiksaan. Doakan saya.

Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Wednesday, January 4, 2012

TERAPI PIPI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Setelah saya berjalan-jalan di alam maya, terdapat sedikit terapi pipi untuk anda. Kepada pembaca yang digelar pelajar, semoga anda terhibur ketika mengulangkaji pelajaran.



Kreatif. Rentetan peristiwa yang menarik.Terlalu banyak peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan pelajar ini tidak hadir ke sekolah.



Disebabkan Ombak Rindu menjadi filem yang disebut-sebut, logik juga untuk dijadikan cerita sebegini.


Benar, benar, dan benar. Sama-sama mengambil ikhtibar akan pesanan ini. Simpan dalam hati. Ustaz, kalau luah dalam blog? Oh, blog, atau Buku Wajah atau apa jua medium untuk tontonan awam, solusinya tetap sama. Ini, adalah dari pandangan saya. Jangan marah ya.


Ketulusan hati: Ketawa itu terapi pipi dan perut. Terima kasih kerana membaca dan ketawa.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

REZEKI TAHUN BARU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar para sahabat saya pada hari ini? Semoga kita dilimpahkan kedamaian hati dan ketenangan jiwa pada hari ini.

Alhamdulillah, berlalu sudah satu subjek peperiksaan saya pada tahun ini. Syukur Ya Allah walaupun satu subjek telah berlalu.

Lima subjek lagi menanti. Esok dan lusa ada lagi peperiksaan. Maka, mungkin akan berlalu lagi dua subjek. Mungkin, merujuk kepada perkara yang belum berlaku lagi.

Minggu hadapan pada hari Isnin, Rabu, dan Khamis, menjelma lagi peperiksaan saya.

Penat usah dikata, sememangnya. Walaubagaimanapun, semoga keputusan yang bakal dinantikan kelak setimpal dengan duit yang telah saya laburkan.

Saya bukan main loteri. Haram hukumnya. Sila rujuk sini untuk lebih kefahaman.

Alhamdulillah, esok lepas menghadapi peperiksaan, saya akan mengambil rezeki saya. Sila rujuk gambar di bawah.





Dari apa yang diperkatakan, Baucer Buku tersebut bernilai dua ratus ringgit Malaysia. Berapa nilai baucer tersebut, adalah tidak penting, yang penting dapat beli buku untuk semester akan datang. Alhamdulillah.

Oh, syukur tinggal satu lagi semester sebelum melangkah kaki ke alam pekerjaan. Semoga dengan langkah kecil dalam hidup saya, akan memberi impak yang besar untuk keluarga.

Terima kasih kerana membaca. Hanya ini sahaja yang ingin saya coretkan. Doakan saya berjaya dalam apa jua bidang yang saya ceburi nanti. Terima kasih kawan-kawan. Jangan lupa senyum, tidak perlu kata apa-apa. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, January 3, 2012

I WON'T GIVE UP OLEH JASON MRAZ



When I look into your eyes
It's like watching the night sky
Or a beautiful sunrise
So much they hold

And just like them old stars
I see that you've come so far
To be right where you are
How old is your soul?

I won't give up on us
Even if the skies get rough
I'm giving you all my love
I'm still looking up

And when you're needing your space
To do some navigating
I'll be here patiently waiting
To see what you find

'Cause even the stars they burn
Some even fall to the earth
We got a lot to learn
God knows we're worth it
No I won't give up

I don't wanna be someone who walks away so easily
I'm here to stay and make the difference that I can make
Our differences they do a lot to teach us how to use
The tools, the skills we've got yeah we got a lot at stake
And in the end, you're still my friend at least we didn't tend
For us to work we didn't break, we didn't burn
We had to learn how to bend without the world caving in
I had to learn what I got, and what I'm not
And who I am

I won't give up on us
Even if the skies get rough
I'm giving you all my love
I'm still looking up

So easy is our life
What's mine is yours and yours mine
Hardly do we ever fight
We'd rather be kind

I won't give up on us
Even if the skies get dark
I'm healing this broken heart
And I know I'm worth it

I won't give up on us
God knows I'm tough, I am love
We got a lot to learn
God knows we're worth it

No I won't give up on us
God knows I've had enough
We got a lot to learn
And we're, and we're worth it

No I won't give up
No I won't give up

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

KISAH DUIT

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi diucapkan semoga ceria selalu. Esok, bermulalah langkah saya ke dewan peperiksaan. Doakan saya ya, para sahabat sekalian.


*Yahoo*
Bukan duit ini yang ingin diperkatakan. Oh, duit ini tidak membantu pun menjawab soalan peperiksaan. 


Kalaulah boleh duit ini membantu adakah kita akan berkata sebegini," Duit, duit, soalan satu dengan semua anak-anak dalam soalan ini mahu selesaikan bagaimana?".

Maka, duit pun bangun sambil memegang pen melentok-lentokkan badannnya di atas kertas soalan menjawab soalan tadi.

Secara tiba-tiba pensyarah dan seluruh isi dewan digemparkan dengan kejadian duit menjawab soalan dan peperiksaan pun ditunda untuk menyelesaikan misteri duit menjawab soalan peperiksaan.

Atau sebaliknya yang berlaku iaitu pensyarah dengan suara yang lemah-lembut menyuruh pelajar yang mempunyai duit ajaib tersebut keluar dari dewan peperiksaan. Oh, sangat kejam, bukan?

Fantasi tidak mampu melawan realiti. Pelajar yang keluar dari dewan peperiksaan itu tadi, dengan langkah yang pantas menuju ke kafeteria fakulti untuk membalas dendam perbuatan duit dengan membelanjakan duit tersebut untuk mengisi perutnya yang lapar.

Best tak cerita fantasi saya? Lihat, saya terpesong dari cerita yang ingin dicoretkan.

Duit. Merujuk kepada doa, usaha, iltizam, dan tawakal. Semoga dengan resepi kejayaan yang asas ini memberi anda semangat untuk berjuang habis-habisan di dalam peperiksaan.


*Yahoo*
Pastikan meja anda kosong dari sebarang duit untuk mengelakkan duit misteri menghantui peperiksaan anda. Kepada rakan-rakan seperjuangan yang menduduki peperiksaan, selamat ,menjawab dengan tenang dan dimulai dengan doa. InsyaAllah berjaya.

Ketulusan hati: Nilai positif dalam diri, tingkatkan dari hari ke hari untuk memaksimakan keceriaan dalam menjalani arus kehidupan. Kepada anda, sang pembaca yang menjadi kesayangan saya, terima kasih kerana membaca. Doakan saya berjaya dalam mengharungi liku peperiksaan selama dua minggu ini. Terima kasih.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, January 2, 2012

KOLABORASI

*Yahoo*
Ingat kolaborasi hanya ada dalam nyanyian sahaja? Belajar pun memerlukannya apatah lagi kehidupan ini yang nyata.


Kolaborasi,
Akal dan hati,
Usaha jua perlu,
Selama dua minggu.

Kolaborasi,
Fokus, fokus dan fokus,
Kerana itu jalan penentu,
Usaha yang perlu bersungguh-sungguh,
Serius,
Bukan masa untuk melakukan aktiviti percubaan,
Sebelum menentang fantasi yang kadangkala menyempitkan cuacu realiti.

Kolaborasi,
Kejayaan itu pasti milikku,
Dengan usaha yang jitu dan bersepadu,
Mentelaah pelajaran di landasan jihad dengan keyakinan di atas landasan Allah Yang Maha Satu.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

AKU INSAN BIASA

*Yahoo*
Insan biasa sering mengharapkan yang luar biasa kerana luar biasa itu pasti dapat dimiliki oleh kita semua seandainya kita berusaha sewajarnya menuntut apa yang dinamakan luar biasa.



Aku insan biasa,
Punya kekurangan dan kelemahan,
Seperti engkau juga.

Aku insan biasa,
Hatiku sukar dijangka,
Tetapi aku akan pastikan akalku penakhluk nafsuku,
Supaya aku menjadi salah seorang penghuni syurga Allah Yang Maha Esa.

Aku insan biasa,
Kadangkala lemah dengan tuntutan dunia,
Lemah tidak beerti menyerah,
Akalku yang akan membantuku sedar beza antara halal dan haram sesuatu perkara.

Aku insan biasa,
Akhlakku tidak sempurna,
Emosiku tidak berada sentiasa di atas ceria,
Pertuturanku tidak selalunya bersandiwara,
Akalku yang membimbingku sewajarnya.

Aku insan biasa,
Tetapi mahu menjadi luar biasa,
Biarlah aku hidup di landasan Islam peganganku selamanya,
Kerana Islam aku bernafas di dunia nyata.

Aku insan biasa,
Dan aku pasti kita semua adalah insan biasa,
Darjat hanyalah kedudukan yang dipandang manusia,
Tinggi dan rendahnya darjat kita yang cipta,
Sedangkan Allah memandang kita sama,
Tiada beda.

Aku insan biasa,
Biarlah Allah yang menjadikan aku luar biasa dengan usaha yang luar biasa ku menempuh dugaan dunia,
Dengan restu Allah Yang Maha Esa jua.



*Yahoo*
Luar biasa kita sepenuhnya adalah milik Allah Ta'ala. Melihat gambar ini, secara tidak langsung saya terkenang kembali pemberian seorang sahabat semasa di matrikulasi. Beliau menhadiahkan saya dengan bunga mawar kuning. Oh, seluruh kelas pun dapat juga. Katanya, kuning itu lambang persahabatan. Terasa rugi tidak mengabdikan foto bunga mwar tersebut kerana pada masa itu saya tiada kamera. Tetapi tidak mengapa, memori itu akan tersemat di dalam lubuk jiwa buat selama-lamanya, sahabatku. Cukuplah sekadar memori yang mnengambil alih tugas kamera. he..he... Boleh, kan? Itulah kehebatan memori kepada kita dari Allah Yang Maha Esa. Terima kasih kerana membaca dan selamat pagi semua.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

KETENTERAMAN HATI

*Yahoo*
Hati yang tenteram menjadi dambaan setiap insan.



Ya Allah,
Tenteramkanlah hatiku,
Dari tipu daya syaitan,
Yang sesat lagi menyesatkan.

Ya Allah,
Tenteramkanlah hatiku,
Melihat kebahagiaan insan di sekelilingku,
Bahagia mereka,
Bahagiaku juga.

Ya Allah,
Tenteramkanlah hatiku,
Dengan segala pancaroba dunia,
Sukar untukku mengelak,
Tetapi kuatkanlah hatiku untuk menempuhi segala-galanya.

Ya Allah,
Tenteramkanlah hatiku,
Dalam menyusuri laluan kehidupanku,
Menerjah duri yang kadangkala muncul tanpa ku sedari,
Hanya Engkau di sisi yang sudi menemani kedukaan ku kini.

Ya Allah,
Tenteramkanlah hatiku,
Jauhkanlah diriku dari nilai negatif yang memakan hatiku secara senyap sunyi tanpa derap langkah,
Biarkanlah akalku yang memanduku,
Bukan hawa nafsuku,
Hanya Engkau Yang Satu Ya Allah,
Yang memahami hatiku,
Maka tenteramkanlah hatiku,
Di sudut yang terindah dalam hidupku.



*Yahoo*
Ya Allah, aku ingin setiap denyut nadiku dihiasi dengan namaMu Ya Allah Yang Maha Satu.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, January 1, 2012

SATU JANUARI DUA RIBU DUA BELAS

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tahun baru, azam baru, peribadi tambai nilai yang baru. InsyaAllah.

Semoga tahun baru membawa sinar kebahagiaan kepada saya dan anda juga.



*Yahoo*
Berdoalah kepada Allah selagi terdaya. Doa senjata orang mukmin, gunakanlah kelebihan tersebut dengan seadanya.



Ya Allah,
Peliharalah iman kami,
Dekatkanlah jiwa kami dengan agamaMu,
Murahkanlah rezeki kami,
Mudahkanlah urusan kami,
Berkatilah tali ikatan silaturrahim sesama kami,
Hindarilah kami dari sifat mazmumah,
Dekatkanlah kami dengan sifat mahmudah,
Lindungilah kesihatan kami,
Rajinkanlah anggota kami untuk beribadah kepadaMu,
Kuatkanlah ingatan kami untuk menuntut ilmuMu,
Jauhkanlahlah kami dari sengketa sesama kami,
Harmonilah jiwa kami sebagaimana bunga api yang kami lihat tadi (eh?),
Ikatkanlah hati kami seutuhnya tanpa sifat ragu-ragu,
Sesungguhnya kami adalah manusia yang lemah yang kadangkala terjerumus ke lembah godaan syaitan.


*Yahoo*
Saya terasa membazir pula apabila setiap sambutan dimeriahkan dengan acara pertunjukan bunga api. Tapi, saya hanya melihat sahaja sebentar tadi melalui jendela di bilik kolej saya. Memang indah ditambah lagi dengan kesan bunyi yang terhasil.


Ketulusan hati: Semoga dengan berkat dari Allah Ta'ala, sempena tahun baru ini, kita dapat pelihara peribadi dan maruah diri. Oh, tidak lupa jodoh yang dicari. Amin ya rabbal'alamin. Syaitan itu tidak akan berdiam diri dari menyesatkan anak Adam. Oleh itu, kita pun tidak boleh berdiam diri dengan membiarkan syaitan sewenang-wenangnya menakhluki jiwa dan raga kita. Sungguh indah bulan pada malam ini. Setelah sekian lama tidak kelihatan di dada langit, baru saya dapat melihat keindahan sang bulan keseorangan pada malam ini tanpa bintang yang menemani. Terima kasih kepada anda kerana membaca. Doakan kejayaan saya menghadapi peperiksaan dengan aman dan damai dan mendapat keputusan yang baik. Terima kasih sekali lagi.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.