Friday, May 18, 2012

BELUM KU TEMU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari Jumaat ini memberi keberkatan dalam kehidupan kita dan dilanjutkan oleh Allah Ta'ala sehingga ke hari-hari yang seterusnya. Amin ya rabbal'alamin.



*Yahoo*
Cinta itu fitrah. Maksiat itu barah.

 

Apabila berbicara mengenai bakal pasangan yang halal pada masa hadapan, ternyata ciri-ciri ataupun kriteria yang diingini pasti menjadi topik hangat yang menarik untuk dibincangkan. Sudah pastinya, bukan?


Si dia,
Jejaka pilihan Ilahi untukku,
Belum ku temu,
Tetapi InsyaAllah masanya pasti tiba,
Tak usah ku ragu.


Si dia,
Tercipta untukku,
Tak perlu ku tunggu,
Cuma masanya belum ku temu.


Si dia,
Hakikat pemilik cintaku,
Biarlah ianya menjadi halal dahulu,
Sebelum ku temu,
Cinta yang tidak merosakkan hatiku,
Hadiah teragung dari Ilahi Yang Agung itu.



Si dia,
Usah bercanda wahai hati,
Menafikan yang kau tak perlu akan cinta,
Kerana itu fitrah manusia,
Cuma belum ku temu pemilik sah hatiku.


Si dia,
Semoga cinta kita kekal berlandaskan restu Ilahi,
Yang berhak menentukan cinta yang abadi,
Semoga Allah merestui,
Halal cinta tujuan yang diredhai.


Si dia,
Belum ku temu,
Ayuh sabar duhai hati.


Ya, laman ini bukan hakikat laman cinta sebenarnya. Apa yang dicoretkan itulah yang terbuku di hati. Menjadi cinta hakiki bersulamkan rahmat dari Ilahi.


Topik cinta tidak akan habis dibicarkan. Kerana apa? Cinta itu fitrah manusia.




*Yahoo*
Bercinta tidak salah selagi mengikut landasan syariat yang ditetapkan.




Saya berbicara dengan seorang rakan, mengenai rahsia Allah yang kita tidak tahu. Jodoh antaranya. Ya, sahabat saya merupakan seorang yang muslimah yang baik dan InsyaAllah, semoga Allah Ta'ala jodohkan si dia dengan pasangan yang baik juga. Tidak lupa buat penulis laman ini juga. Oh, serta pembaca kalian. Amin ya rabbal'alamin.


Terdapat juga beberapa sahabat saya yang sedang hangat bercinta. Pesan salah seorang rakan saya untuk mendapatkan pasangan, layan sahaja apa yang ada di hadapan mata. Boleh kah begitu?


Tidak tepat sebenarnya, membiarkan cinta itu dipermainkan. Mahu kepada insan ini, teruskan. Apabila sudah bertemu yang lain yang dirasakan lebih sesuai, tinggalkan yang tadi. Tidak elok, bukan?


Terpulang. Kita sudah besar, tahu mana yang bak dan yang buruk. Agak aneh sebenarnya, kita memerlukan cinta pasangan yang baik untuk kita, sedangkan kita? Adakah kita pelihara hati dan nafsu kita semasa bercinta? Senang cerita, adakah kita tergolong dalam landasan insan yang bercinta mengikut syariat Islam? Oh, tidak perlu tepuk dada bagai. Tepuk akal tanya diri. Tanya seikhlas hati.


Kita tahu istilah cinta halal itu adalah hubungan suami isteri. Tidak ada istilah yang lain. Tidak lebih tidak kurang. Benar, bukan?




*Yahoo*
Percintaan yang indah bersulamkan ketenangan hati dan kebahagian menempuh kehidupan. Selamat datang alam rumahtangga.




Ada juga yang menyatakan bahawa cinta jarak jauh itu dapat mengurangkan maksiat. Benarkah? Cuba kita selidiki dahulu. Cinta jarak jauh. Jauhnya hanya jarak. Tetapi cinta kita masih utuh. Dengan adanya pelbagai jenis jaringan maklumat untuk sentiasa menyuburkan cinta, saya tidak rasa perhubungan jarak jauh itu mampu mengekang diri dari maksiat. Menulis status rindu, sayang dan sebagainya, di dalam Buku Wajah, akan kurangkah maksiat? Tidak lupa jaringan Skype juga bisa mengeratkan dua hati yang di dalam perasaan yang rindu mereka terpendam. Kurangkah maksiat? Tidak bukan? Realitinya, adalah mereka sering bertemu tetapi secara langsung hanya di alam maya. Tidak perlu memakai minyak wangi, berdandan, itulah realitinya cinta jarak jauh. Mata sembap pun masih boleh lagi berbalas-balas pertanyaan melalui video kerana jarak jauh dan tempoh masa yang tidak sama waktunya. Inilah realiti percintaan remaja kini.


Banyak yang ingin dicoret, tetapi terlalu banyak perkara mengenai cinta yang kita sendiri boleh fikir yang mana baik dan yang buruk.


Untuk rakan-rakan yang hangat bercinta yang juga masih menunggu hadiah dari Allah Ta'ala, saya kongsikan video di bawah untuk tatapan anda. Ambil manfaat daripadanya. Selamat menonton.









Semoga dengan perkongsian ini memberi manfaat seadanya buat rakan-rakan menempuhi alam percintaan. Bukan mudah untuk keluar dari hubungan cinta yang tidak halal tetapi nikmat ketenangan yang Allah Ta'ala akan gantikan untuk kita. InsyaAllah.


Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.


Ketulusan hati: Sebelas Mei yang lalu, saya berjaya menghantar laporan PITA yang pertama. Walaupun tidaklah banyak halamannya, Alhamdulillah. Hari ini, laporan itu telah pun ditanda oleh 'supervisor' yang berkenaan. Pukul tiga petang ini, saya sudah boleh mengambil semula laporan tersebut untuk menambah dan memperbaiki apa yang patut. Semoga Allah Ta'ala permudahkan. InsyaAllah.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: