Tuesday, April 3, 2012

SEKIAN LAMA

*Yahoo*
Sekian lama itu ada kaitan dengan masa. Jam tangan yang dipaparkan adalah simbolik rindu.




Rindu menatap wajah abah yang tersenyum apabila saya menghadiahkan jam tangan sempena hari raya tahun lalu. Walaupun tidak lah semegah jenama antarabangsa, tetapi ianya cukup syahdu untuk saya mengenang kenangan dahulu. Benar, harga tidak penting, kejujuran itu nilai dari hati. InsyaAllah, apabila sudah mampu kelak akan saya tunaikan hasrat menghadiahkan abah dan emak untuk ke tanah suci Makkah itu. Ya Allah, berkatilah usahaku.

Rindu terhadap emak pula saya nukilkan dalam setiap doa. Abah juga tidak terkecuali. Dan seluruh umat Islam sebaik-baiknya. Sesungguhnya, doa itu merupakan senjata orang mukmin. Teruskan berdoa kerana ianya percuma dan kita sebagai hamba Allah akan lebih mencintai Allah Yang Esa dengan medium ini. InsyaAllah.

Oh, ketika mencoretkan coretan ini air mata manja bertakung di tubir mata. Syukur, rakan sebilik tiada di sini. Maka, boleh melayan perasaan lagi terkenangkan keluarga yang banyak berbakti pada diri kerdil ini. Syukur, Allah kurniakan saya keluarga yang memahami.





*Yahoo*
Makanan kegemaran yang seringkali dimasak oleh emak apabila saya pulang. Entah, masakan kari emak tidak lagi saya jumpa yang sama rasa dengan insan lain. Sebenarnya, masakan setiap ibu pasti ada nilai kasih sayang di dalamnya. Dengan sebab itulah masakan menjadi sedap mengikut selera anak masing-masing.



Emak, apabila menyebut perkataan ini, tidak pernah sekali mahu menyakiti hati beliau. Macam mana sekalipun teguran yang diberikan, InsyaAllah tiada sekelumit untuk melawan. Menurut adik saya, saya seorang yang tidak mempunyai perasaan! Apabila dimarahi, saya tidak pandai melawan dan berdendam. Itulah sikap saya.

Saya tidak gemar terlalu mengambil berat akan perkara yang remeh-temeh. Kadangkala hanya air mata yang menjadi peneman. Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. InsyaAllah, sebagai anak, kepatuhan saya hanya pada emak dan abah.

Bagi saya, jihad menuntut ilmu ini bukan untuk saya. Cukuplah sekadar hadiah yang tidak seberapa untuk membantu keluarga, agama, dan negara.

Tiada sekelumit nawaitu untuk membahagiakan diri ini melainkan melihat emak dan abah serta adik-beradik yang lain tersenyum kegembiraan untuk saya mengadakan apa yang patut untuk mereka.

InsyaAllah, sekiranya Allah menganugerahkan rezeki saya dalam bidang pekerjaan selepas bergraduasi ini, Alhamdulillah, saya bakal bergelar pekerja. Bekerja dengan penuh keikhlasan dan niat kerana ibadah kepada Allah.

Lihat, beruntung menjadi seorang mukmin. Setiap niat yang baik berolah pahala, dan jika dilakukan dengan sebaik cara, peroleh lagi pahala. Kumpul pahala di dunia, InsyaAllah di akhirat semoga kita beroleh Jannah Allah. Amin ya rabbal'alamin.


Sekian lama,
Laman ini tidak berwarna-warni,
Dengan naik turun karya penulisan untuk tatapan di kemudian hari.


Sekian lama,
Akal merajuk kerana kurangnya saya menggunakan otak kanan yang Allah beri,
Kerana otak kiri yang sering menghiasi hari-hari saya kini,
Penuh dengan teori kurang dengan aplikasi.


Sekian lama,
Hati ini terbiar kaku dan lesu,
Banyak urusan yang perlu diselesaikan,
Maka akal penat walaupun hasilnya tidak banyak yang direalisasi.


Ketulusan hati: Hargailah ibu bapa kita selagi Allah mengizinkan kita untuk membahagiakan mereka di dunia ini. Anak soleh, ibu bapa sayang, Allah kasih, sahabat hormat, InsyaAllah, kehidupan diberkati dan dipermudah oleh Allah Ta'ala. Doakan saya ya kawan-kawan, semoga Allah permudahkan Projek Ilmiah Tahun Akhir (PITA) saya. Bulan Mei bakal selesai. InsyaAlllah. Usaha tangga kejayaan.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: