Thursday, April 19, 2012

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar kesihatan iman dan Islam pada hari ini? Semoga Allah Ta'ala memberkati kehidupan, kesihatan, dan kemurahan rezeki untuk kita semua. InsyaAllah.




*Yahoo*
Dalam menempuh kehidupan, kita perlu sedar bahawa jatuh bangun kita adalah takdir hidup kita yang Allah Ta'ala anugerahkan untuk kita harungi dengan penuh jayanya. Setiap dari kita ujian yang Allah Ta'ala berikan adalah berbeza. Oleh itu, bersyukurlah kerana musibah itu tanda Allah Ta'ala sayang kita.




Musibah. Satu perkataan yang seringkali kita elak dari terjadi kepada diri kita. Tetapi, dalam takdir kehidupan, musibah itu adalah sesuatu yang sudah pastinya tidak dapat dielakkan apabila Allah Ta'ala menetapkan itulah takdir hidup kita!

Saya memerhatikan diri saya sendiri. Setiap kali saya di landa musibah, membuatkan saya terfikir mengenai kaitan musibah dan diri saya. Bagaimana saya menerima anugerah Allah Ta'ala ini dan apabila ia hadir pula, bagaimana layanan saya terhadap insan di sekeliling saya.

Walaubagaimanapun, perasaan tertekan dengan musibah itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkannya kepada insan lain! Cuba elakkan untuk berbuat demikian kerana Allah Ta'ala ingin menguji sekuat mana kesabaran kita dalam menempuhi ujian Allah itu.

Siapa saya untuk menyalahkan perkara di sekitar saya? Saya hanya insan biasa yang diciptakan oleh Allah Ta'ala untuk beribadah kepadaNya. Insan di sekeliling saya, mereka juga punyai musibah mereka sendiri. Maka, adalah tidak adil untuk melempiaskan perasaan yang membelenggu kepada insan lain.




*Yahoo*
Kadangkala kita ingat kita mampu untuk menempuhi ujian yang Allah Ta'ala berikan kerana kita sudah pun bersiap sedia mental dan fizikal kita. Tetapi, ternyata kita silap. Kesilapan itulah yang mematangkan diri kita untuk menempuhi hari-hari yang mendatang supaya kita tidak terleka dengan kenikmatan dunia. 




Suka saya untuk mengingatkan diri saya sendiri, sekiranya saya tidak suka insan lain melayan saya sebegitu, jangan berbuat perkara yang saya sendiri tidak suka kepada insan lain.

Di sini, saya mengingatkan diri saya sendiri sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah Ad-Dhariyat Surah ke lima puluh satu di dalam Al-Quran merujuk kepada ayat lima puluh enam:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu".

Tujuan utama kita melayari bahtera kehidupan adalah untuk beribadah kepada Allah Ta'ala.

Jatuh dan bangun kita dalam kehidupan, kita tempuhi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan kerana Allah Ta'ala. Maka, musibah yang kita lalui bakal memberi kita ketenangan dalam kehidupan.

Kehidupan kita bukan hanya satu arus sahaja. Bahkan, kadangakala kehidupan kita menentang arus. Akal yang Allah Ta'ala berikan, memberikan kekuatan kepada kita untuk berfikir, menganalisis, dan mencerna solusi kepada setiap musibah itu.

Oleh itu, rajin-rajinlah kita menggunakan akal kita untuk mencari solusi kepada musibah itu. Solusi yang paling utama adalah tanamkan dalam fikiran kita bahawa Allah Ta'ala sayangkan kita dan membuatkan kita menjadi insan yang lebih kuat untuk mengharungi musibah lain di waktu yang akan datang. InsyaAllah, perkataan putus asa tidak akan menjengah ke dalam lubuk fikiran kita dengan hadirnya musibah yang tidak di jangka.

Akhirnya, untuk menjadi insan hebat, ianya ada di dalam diri kita. Setiap insan di dunia ini adalah manusia yang hebat. Maka, perhebatkan ilmu pengetahuan kita dan tidak lupa akhlak kita.

Terima kasih kerana membaca. Jaga diri, jaga peribadi. Assalamualaikum.

Ketulusan hati: Tinggal dua minggu lagi untuk saya siapkan kajian PITA saya. Allah menguji saya. Eksperimen perlu diulangi lagi kerana bacaan yang tidak menepati piawaian. Doakan saya ya, kawan-kawan. Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu yang lemah ini. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: