Sunday, March 25, 2012

YA ALLAH , RAHMATILAH KERINDUANKU !


*Yahoo*
Kehidupan itu indah. Penuh dengan warna-warni.



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar anda pada hari ini? Gebukah iman anda segebu putihnya salju di negara yang bersalji. Oh, sudah lama lawak yang tidak berapa cerdik dihidangkan di laman ini.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta'ala kerana masih lagi memberi kesempatan untuk saya dan anda sang pembaca bernafas di bumi ini. Alhamdulillah, masih lagi mampu menganyam impian untuk masa hadapan. Alhamdulillah.

Sibuk. Bukan sibuk insan yang menyibuk itu. Tetapi kehidupan saya kini agak kelam-kabut memintal Projek Ilmiah Tahun Akhir (PITA) saya. Walaupun kajian masih tidak berganjak tetapi dalam akal fikiran, banyak yang sedang difikirkan untuk dicanang menjadi realiti.

Saya tidak gemar sebegini rupa. Menyimpan semua benda hanya di dalam fikiran tanpa merealisasikan impian. Eh? Merealisasikan menjadi kenyataan.

Ya Allah, bantulah hambaMu yang selemah-lemah insan ini. Saya tidak kuat. Saya perlukan dahan untuk bergantung. Syukur Allah Ta'ala masih lagi menemani saya beserta Al-Quran. Inilah nikmat menjadi seorang muslim. Penyelesaian bagi hati yang tidak tenang sentiasa di sisi.

Penyelesaian pertama adalah berdoa kepada Allah Ta'ala. Luahkan apa yang terpendam kepadaNya. Biar hanya Dia yang tahu kesusahan dan ketidak ketenangan kita. Hikmahnya, hati jadi lapang dan semestinya rahsia kita akan terpelihara tanpa ada yang mengkhianati. Indahkan Islam?

Penyelesaian kedua adalah dengan membaca Al-Quran. Baca dan hayati maksudnya. Bukan baca sahaja. Yang paling indah adalah Al-Quran adalah tempat yang paling sesuai setelah meluahkan kepada Allah. Pahala dapat, hati pun tenteram. Ubat segala penyakit adalah Al-Quran. Cubalah, anda pasti merasai nikmatnya.

Penyelesaian ketiga pula adalah dengan melakukan amalan sunat yang lain seperti beristighfar, solat sunat, dan menghadiri majlis agama. Sekiranya saya mempunyai masalah, tempat untuk menghadiri majlis agama yang sering saya kunjungi adalah di alam maya sahaja. Mudah bukan? Menuntut ilmu sambil berhibur. Antara ustaz yang sering menjadi pilihan menunutut ilmu secara alam maya adalah Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias. Tidak lupa, rancangan Semanis Kurma juga turut menjadi pilihan hati. Hidup kita dihiasi dengan pancaroba duniawi. Kita tidak tahu bila detik ianya akan hadir dalam hidup kita tetapi kita boleh menjadikan pengalaman insan lain sebagai panduan dalam kehidupan kita.

Penyelesaian yang lain adalah dengan berkongsi masalah kita dengan ibu bapa, teman rapat, pasangan ataupun sesiapa sahaja yang anda percayai. Dapatkan khidmat nasihat dari mereka kerana pengalaman mereka ataupun nasihat yang berguna kepada kita. Sekiranya boleh, dengan perkongsian masalah kita kepada mereka diharap agar mereka turut sama memberi jalan penyelesaian yang baik untuk kita. Perkongsian itu kan tanda sayang? Sayang sesama makhluk dapat pahala. Indah kan Islam?

Penyelesaian yang sering saya lakukan juga adalah dengan memberi masa akal kita untuk berfikir. Berfikir apa yang baik dan sebaliknya. Motivasi juga turut menyumbang kepada penyelesaian bagi masalah hati yang tidak tenang.

Hati yang tenang, datangnya dari Allah Ta'ala. Jadi, sucikan hati dan tingkatkan amalan dan cari ilmu pengetahuan sehingga hayat di kandung badan. Buat perkara yang mahmudah, dapat pahala. Indahnya Islam kan kawan-kawan?

Apa tunggu lagi? Jom jadi soleh dan solehah bersama. Semoga usaha kita berterusan untuk mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah Ta'ala.

Terima kasih kerana membaca.

Ketulusan hati: Ya Allah, Engkau gantikanlah kerinduanku kepada keimanan terhadapMu. Saya insan yang lemah. Bantulah hambaMu ini untuk menyelesaikan perkara yang tidak selesai. Ya Allah, permudahkanlah urusanku dan juga limpahkanlah rezeki yang halal untukku. Ya Allah, berikan waktu untukku berbakti kepada kedua ibu bapaku dan jadikanlah saya anak yang solehah di dunia dan di akhirat. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: