Thursday, February 2, 2012

INDAHNYA HIKMAH ITU

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat sekalian. Selamat malam diucapkan dan semoga anda mendapat rehat yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan dengan penuh warna-warni pada hari esok.



*Yahoo*
Warna-warni kehidupan yang banyak mematangkan kita. Bukan hanya satu warna sahaja yang menemani tetapi campuran warna itu yang menjadikan diri ini begitu menghargai dengan apa yang ada di sisi.



Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah Ta'ala. Kegembiraan yang bukan sengaja di buat-buat ataupun jauh sekali niat di hati untuk menunjuk-nunjuk kebolehan diri.

Kerana apa yang saya miliki kini adalah milik Allah Ta'ala Yang Hakiki.

Tiada apa yang saya boleh banggakan dengan anugerah Allah Ta'ala yang bukan milik saya yang abadi.

Kegembiraan yang hanya sekadar pinjaman di dunia ini.

Kegembiraan yang bagi saya hadir tatkala pelbagai rintangan dan dugaan yang muncul  untuk mematangkan diri.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, dan Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

Sebentar tadi keputusan peperiksaan semester tujuh baru saya periksa secara dalam talian.

Walaupun bukanlah sehebat insan yang lain, tetapi bagi saya inilah hikmah di sebalik segala yang berlaku ke atas diri saya.

Kisah yang berlaku agak sukar untuk saya luahkan di sini.

Peristiwa yang mengajar saya untuk bangun dari mimpi yang panjang dan usaha itu hanya saya yang percaya diri saya boleh lakukan.

Tidak lupa, doa dari kalian turut menggembirakan saya. Terima kasih diucapkan.

Saya percaya, setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya.

Hikmah dan anugerah yang terindah dalam hidup saya.

Keputusan yang bagi saya adalah wajar dengan usaha yang tidak seberapa. Syukur Ya Allah.

Terharu. Terlalu terharu.

Sehingga kelu lidah untuk meluahkan dan luahan yang diluahkan dengan jari-jemari yang menari-nari di atas papan huruf komputer riba ini.

Terima kasih Ya Allah di atas kurniaan ini.

Jauh sekali anugerah dekan yang saya impikan, tetapi itu tidak penting.

Berbekalkan dengan semangat untuk membakar dan memadamkan apa yang insan lain katakan, saya cabar diri.

Saya boleh lakukan! Itu tekad saya.



*Yahoo*
Frasa yang menguatkan diri saya menghadapi ujian Ilahi.


Kepada insan yang berada di sisi saya tanpa jemu dan sering menguatkan hati saya yang rapuh, terima kasih diucapkan.

Terima kasih kerana mempercayai saya tatkala insan lain tidak berbuat sebegitu.

Terima kasih kerana sudi mendampingi saya tatkala saya jatuh dan lutut langsung tidak mampu berdiri sewajarnya tanpa bantuan kalian.

Syukur Ya Allah kerana mempereratkan ikatan kami.

Ikatan di dunia yang InsyaAllah bakal membawa ke ikatan akhirat. Ikatan sesama muslim.

Izinkan saya pada malam ini meluahkan apa yang terbuku di hati.

Tersimpan di suatu sudut yang paling dalam yang sukar dimengerti.


*Yahoo*
Syukur. Allah Ta'ala menganugerahkan saya dengan warna-warni cabaran kehidupan di waktu saya belum cukup dewasa menempuh ujian itu. Tetapi, hikmah yang tersemat di sebalik tabir ujian itu meguatkan semangat saya menempuhi cabaran yang tidak terduga pada masa akan datang.



Usah ditanya apakah dugaan itu.

Usah dipertikai mengapa kita yang terpilih untuk menghadapi ujian dan cabaran tatkala insan lain bersenang-lenang dengan kehidupan mereka.

Usah bertanya dan pertikai.

Sebaliknya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memilih kita untuk mengharungi ujian itu.

Ya, saya akui diri ini masih tidak sempurna.

Banyak cacat celanya.

Terlalu banyak.

Kisah yang dahulu usah dikenang.

Saya agak kurang bersetuju dengan pernyataan itu.

Bagi saya, perkara yang sudah berlaku wajar dikenang tetapi tidaklah perlu untuk mengenangnya terlalu lama.

Sedikit dan sekejap sahaja sudah mencukupi.

Bukti kita pernah kuat dari insan lain.

Walaupun bukan kuat dari segi fizikal, tetapi secara mental kekuatan itu kita yang punya.

Meriah idea pada malam ini.

Terasa mahu berkongsi segala-galanya di sini. Tetapi, biarlah rahsia itu tersimpan di sudut hati.

Tatkala ujian hadir, hanya insan yang Allah Ta'ala pilih sahaja kuat untuk menempuhinya.

Jangan sesekali berputus asa dengan ujian Allah Ta'ala.

Masih segar dalam ingatan saya, tatkala ujian itu datang, saya terasa begitu takut.

Terlalu takut. Sehingga air mata saya tidak mahu lagi berdamping dengan saya. Terasa ingin ketawa tetapi ketawa itu tidak bermaya. Hilang auranya bersama air mata.

Secara berterus-terang, hati saya langsung tidak terasa tenang dalam waktu pembelajaran.

Semester tujuh merupakan semester yang pasti tidak akan saya lupakan dari ingatan sampai bila-bila.

Semester yang banyak mengajar saya erti kepura-puraan. Senyum dan ketawa saya, ianya bukan saya.

Perasaan yang terzahir hanyalah untuk mengaburi mata insan sekeliling untuk tidak mempertikaikan masalah saya. Terasa saya lah pelakon yang paling hebat di dunia.

Masalah saya biarlah saya yang simpan. Itu prinsip saya.

Mengapa saya tidak berkongsi? Berkongsi dengan siapa?

Sudah semestinya, tiada teman rapat di sisi. Teman yang boleh menzipkan mulut mereka dari adegan sampai-menyampaikan. Sehingga kini, tidak saya jumpai. Jodoh tiada atau lambat barangkali untuk berjumpa dengan insan yang sudi menyimpan rahsia diri.

Satu persoalan yang bermain-main di fikiran saya, bolehkah saya kecapi kejayaan dengan ujian yang mendampingi diri?

Sampai satu masa, saya merasakan bahawa saya ingin lari. Tetapi saya tidak tahu tempat yang perlu dituju.

Dan disebabkan itu, selalunya pengepala laman ini saya hiaskan dengan pemandangan supaya akal dan minda saya bisa lari menari jauh dari masalah yang membelenggu.

Saya mampu kuat, maka saya juga mengharapkan agar anda juga begitu.

Untuk anda yang pernah kecewa, bangunlah dan sedarlah Allah Ta'ala sentiasa berada di sisi kita.

Bersyukurlah, kerana kita ada Allah yang selalu memerhatikan tingkah laku kita.

Bersyukur juga kerana Islam itu agama kita. Lakukan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sebaik mungkin.




*Yahoo*
Nikmati setiap inci kehidupan dengan bersyukur dengan apa yang ada.



Lega. Terasa sangat lega kerana saya telah sampaikan apa yang membelenggu diri ini.

Sedikit sebanyak, terima kasih kepada anda kerana sudi membaca luahan hati yang tidak seberapa.

Allah Ta'ala turunkan ujian untuk umatNya kerana Dia tahu insan yang diturunkan ujian itu, mampu menempuhinya.

Kisah hidup kita berbeza, maka ambillah ikhtibar atas setiap kejadian yang berlaku.

Tidak lupa, setiap ujian itu, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Cepat atau lambat itu bukan persolannya.

Tetapi, cara kita menenangkan diri tatkala ujian itu diturunkan ke atas kita.

Ketulusan hati: Menjalani kehidupan dengan cara menyimpan segala-galanya di hati memang terlalu sukar. Tetapi Allah Ta'ala itu pendamping kita. Luahkan dengan Allah jika tiada manusia yang boleh anda percayai untuk berkongsi masalah kita. Terima kasih kerana membaca. Selamat malam. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: