Sunday, January 8, 2012

SEMPURNA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menikmati hidangan tengahari anda. Alhamdulillah, perut telah diisi dan moga persiapan esok hari dapat diteruskan pada hari ini. Oh, peperiksaan yang menanti.

Sempurna.


*Yahoo*
Terlalu banyak perihal kisah yang yang dapat dibayangkan dengan gambar ini.


Saya tidak sempurna. Sekadar insan biasa yang hidup menumpang di atas bumi Allah.

Kadangkala, saya bayangkan, hakikat hidup yang dihubungkan dengan kesempurnaan.

Sempurna, mengajar manusia erti berjaga-jaga.

Sempurna, mengajar kita lakonan di pentas dunia. Selama mana kita mampu bertahan menjadi pelakon yang dalamnya entah apa-apa? Berlakon sekadar melembutkan nada suara, luaran yang tidak seperti ombak dalaman yang memecah kepingan hati bertaburan. Bersepai menjadi pasiran halus yang akhirnya menumpang sisi daratan.

Sempurna, kadangkala menyebabkan kita terlalu mengongkong diri kita dari landasan diri yang sebenarnya.

Sempurna, di kaca mata insan sukar di jaga.

Sempurna, kadangakala tewas untuk mempertahankannya.

Sempurna, afdhalnya bermula dari dalam. Hati itu kuncinya akal itu mangganya.

Sempurna, wajarnya selari dengan luaran dan dalaman. Seia dan serasi bersama. Tanpa ragu, menjadi sahabat akrab yang sering membetulkan apa yang khilaf. Bersama mencari penyelesaian, bukan bersama menunding jari di jalanan.

Sempurna, tidak perlukan berbandingan sesama kita. Sekadar kita yang rasa apa itu sempurna.

Sempurna, madahnya sukar untuk dibicara. Gembira dan dukanya, sukar dinyahdaya.

Sempurna, melemaskan kadangkala.


*Yahoo*
Sempurna? Entah. Luarannya mungkin. Tetapi, dalamnya, bagaimana? Bil-bil yang perlu diselesaikan dan duit yang perlu dijadikan pendapatan dan nafkah harian perlu wajar nilainya untuk memenuhi tuntutan kesempurnaan. Sempurna itu berbeda di kaca mata kita semua. Percayalah.



Kini bermulalah kisah sempurna seadanya.

Sewaktu saya masih kecil, ketika akal masih lagi tidak mampu menjadi pemandu diri, saya seringkali membuat perbandingan. Perbandingan sesama manusia. Rakan-rakan, yang berada di sekeliling saya.

Mengapa apa yang dia ada, saya tiada? Mengapa saya yang perlu menjalani kehidupan yang sebegini?

Begitulah minda saya. Dipenuhi dengan persoalan tetapi tidak berani diluahkan, sekadar perhiasan tanpa penyelesaian.

Negatif, tentang segala-galanya. Entah. Itulah saya sewaktu kecil. Bodoh dan hodoh akal pemikiran saya. Tetapi, itulah saya. Sewaktu tidak tahu apa-apa mengenai kehidupan.

Itulah yang terjadi tatkala fantasi di penuhi dalam ruang lingkup realiti.

Tetapi, persoalan dan perbandingan itu tersemat di lubuk hati. Sahaja. Ya, sahaja. Saya seorang yang lebih gemar berfikir tanpa meluahkan. Bagi saya, diam itu lebih baik dari berkata-kata.

Selain itu, saya seorang yang pasif. Ya, pasif. Saya tidak akan melawan kata-kata walaupun saya tahu itu bukan kesalahan saya.

Bodoh. Mungkin itu yang tergambar di fikiran anda. Mungkin. Kerana saya pun berfikiran sebegini rupa.

Apabila masalah menimpa, saya lebih mudah memendam rasa. Dan lama-kelamaan, saya tahu rasa itu pergi. Dan saya tidak perlu mengungkit lagi.

Dibesarkan dengan cara kehidupan masyarakat Melayu, saya sedar Melayu berkait rapat dengan budaya dan adat.

Tidak boleh melawan kata orang yang lebih besar dari kita. Bukan besar dari segi saiz. Harap maklum. Besar di sini merujuk kepada orang yang lebih tua daripada kita.

Lebih tua, tidak melambangkan bahawa anda sahaja yang betul. Itu sekadar perlambangan bahawa anda telah ditakdirkan untuk lahir ke dunia terlebih dahulu. Itu sahaja.

Terlebih makan garam. Terlebih pengalaman hidup.

Tetapi, itu tidak bermakna pengalaman anda dapat di samakan dengan pengalaman saya. Pengalaman kita berbeza-beza mengikut situasi dan keadaan, yang baik dijadikan pedoman dan yang buruk dijadikan sempadan.

Tampalan yang tidak merujuk emosi marah saya. Emosi saya setakat ini, Alhamdulillah, masih stabil.


*Yahoo*
Marah-marah lekas tua. Mahu lekas tua, mahu terlebih makan garam? Maka, marahlah selalu. Oh, ini hanya gurauan. Senyum tidak perlu kata apa-apa. Baiklah, otot muka awet muda telah diaktifkan kembali. Terima kasih.



Bersambung lagi dengan kisah kesempurnaan sebentar tadi.

Setelah dewasa, saya sedar bahawa kesempurnaan itu adalah ciptaan kita.

Sempurna itu adalah di bawah imaginasi kita. Kita yang kawal, bukan orang lain. Mereka sekadar pemerhati yang duduk memerhati.

Kehidupan sempurna saya, cukuplah sekadar mempunyai keluarga yang menerima saya apa adanya. Menerima saya tatkala saya ada apa-apa dan tidak punya apa-apa.

Terima kasih Ya Allah, di atas kurniaan keluarga yang sebegini rupa. Berfikiran positif juga adalah lambang kesempurnaan. Walaupun orang lain tidak nampak, biarlah.

Asalkan kita tahu menjaga batas pergaulan kita dan batasan yang ditetapkan oleh agama. Itulah yang dinamakan kesempurnaan.

Teringat kembali pengalaman saya bertanyakan adik bongsu saya mengenai cita-cita.

Adik saya bercita-cita mahu menjadi pemandu lori sampah. Disebabkan lori sampah itu adalah kenderaan yang dirasakan smart olehnya.

Terfikir saya, kembali. Siapa yang mahu memungut sampah sekiranya tiada insan yang bekerja sebegitu rupa?

Setiap pekerjaan itu, pasti ada kepentingannya. Oleh itu, jangan pandang rendah pada pekerjaan seseorang. Kadangkala senyuman yang dilemparkan kepada golongan sebegini lebih ikhlas dari golongan atasan.

Saya terpaksa akui perkara ini kerana kini, golongan warga asing terutamanya Indonesia yang memonopoli pekerjaan di sektor industri pembersihan di kampus saya. Senyuman mereka, ternyata ikhlas. Semoga Allah memudahkan urusan mereka.

Begitulah kisah sempurna. Pengalaman saya, yang saya garap agar menjadi ikhtibar untuk saya sendiri dan anda semua.

Semua orang inginkan kesempurnaan. Tetapi, adakah sewaktu kita punya apa-apa atau sewaktu kita tiada apa-apa? Renung dan fikirkan.

Ikhlas dari saya, sempurna itu kita yang cipta melalui bersyukur dengan apa yang ada dan tambahbaik dengan apa yang ada sekarang. Kesempurnaan itu milik Allah Ta'ala. Tiada kesempurnaan yang kekal tetapi sempurnakan akhlak itu adalah kekal kerana ia berada di sisi kita dan tiada siapa yang layak untuk mencurinya dari kita.

Sempurna itu janganlah dipandang dari harta benda mahupun rupa paras, tetapi pandanglah dengan hati yang suci. Maka, pasti kita akan merasai nikmat sempurna dengan lebih ketenangan dan kelapangan dada.


*Yahoo*
Setiap perkara yang berlaku, hikmah itu pasti ada. Jadi, wajarlah kita tahu bahawa Allah menduga kita kerana Dia tahu kekuatan kita menghadapi ujian dariNya.



*Yahoo*
Jangan terlalu mencari kesempurnann, sebaliknya berubahlah akhlak kita secara perlahan-lahan ke arah itu.


Ketulusan hati: Peperiksaan pada hari esok. Doakan saya, ya rakan-rakan. Ya Allah permudahkanlah urusanku. Terima kasih kerana membaca. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: