Tuesday, January 24, 2012

KEJUTAN BUDAYA


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari ini kita diberi kekuatan oleh Allah Ta'ala untuk menempuh hidup dengan penuh keberkatan. InsyaAllah.

Kepada pengunjung baru laman ini dan juga sahabat baru, selamat berkenalan diucapkan.

Semalam atau lebih tepatnya pukul lebih kurang 8.00 malam, saya dan seorang insan yang di dalam dilema untuk melangkah ke alam kampus berbual (melalui cara menaip sebenarnya), meluahkan rasa hati beliau yang menyatakan bahawa beliau takut terkena kejutan budaya di alam kampus.

Tahniah kepada anda kerana membaca satu ayat di atas dengan satu nafas sahaja. Sila cuba lagi sekiranya tidak berjaya. Senyum, tidak perlu kata apa-apa.

Berbalik kepada isu kejutan budaya, sebagai manusia kita mempunyai nilai adaptasi yang berbeza-beza.

Ada di antara kita, mungkin mengambil masa selama seminggu untuk menyesuaikan diri di tempat baru, tetapi ada di antara kita yang apabila dicampakkan ke mana-mana sekalipun, dia cepat menyesuaikan diri dengan persekitarannya.

Disebabkan kita berbeza-beza rasa, maka penerimaan kita juga terhadap ketakutan kepada sesuatu yang belum biasa terhadap diri kita pasti akan mempengaruhi diri kita.




*Yahoo*
Reaksi terkejut yang melampau-lampau.




Kejutan budaya. Apa sebenarnya?

Kejutan budaya dimaksudkan sebagai akibat yang timbul apabila sesuatu kebudayaan atau anggota sesuatu kebudayaan secara tiba-tiba berhadapan dengan atau terdedah kepada unsur-unsur kebudayaan lain yang lebih tinggi tamadunnya (biasanya menimbulkan perasaan tersisih, tidak dapat menyesuaikan diri dan sebagainya pada anggota kebudayaan yang lebih rendah tamadunnya.

Sumber adalah dari sini.




*Yahoo*
Reaksi terkejut yang sebegini tidak mengapa. Sejuk mata memandang.



Sila baca kembali definisi kejutan budaya di atas.

Kejutan budaya lebih sesuai dilibatkan kepada anda yang berada di luar dari budaya masayarakat anda.

Sebagai contoh, seseorang itu tidak perlu dilabelkan sebagai terkena kejutan budaya hanya semata-mata dia belajar di Kuala Lumpur (maklumlah kota yang sering menjadi tempat berhijrah bagi anak-anak muda) tidak kira apa pun objektif penghijrahannya.

Itu bukan kejutan budaya. Itu kejutan lokasi.

Tidak mengapa sekiranya anda tidak bersetuju dengan ulasan saya.

Pandangan kita berbeza, maka urusan hormat-menghormati itu perlu ada.

Berbalik semula ke topik kejutan budaya itu tadi.

Kejutan budaya berlaku sekiranya anda yang berada dalam lingkungan masyarakat yang mempunyai berlainan budaya dengan anda mahupun anda yang berhijrah ke negara yang budayanya berbeza dengan budaya ibunda anda.

Inilah kejutan budaya.

Definisi kejutan budaya telah pun selamat dikupas.

Sebenarnya, saya sendiri pernah dilabelkan terkena kejutan budaya.

Aneh. Terlampau aneh.

Saya hanya belajar di Serdang sahaja. Kampus yang tercantik bagi saya. Paling jauh saya berjalan-jalan adalah di The Mines.

Itu sahaja.

Untuk makluman, isu kejutan budaya agak sensitif untuk saya kerana saya pernah dilabelkan dengan dua perkataan keramat itu.

Kejutan budaya.

Yang paling aneh, insan yang menyatakan saya terkena kejutan budaya itu bukanlah insan yang menetap bersama saya di Serdang ini.

Prinsip saya, biarlah dia mahu mereka-reka cerita. Untuk yang tidak mengenali saya seperti mana adik-adik saya mengenali saya, rajin-rajinlah anda membaca tampalan yang terdahulu.

Benarlah, mulut manusia sukar ditutup. Biarlah mereka dengan cerita mereka. Saya perlu teruskan hidup dengan pekakkan telinga sahaja.

Bukan saya tidak mahu memperbetul apa yang telah disebarkan oleh insan tersebut. Tetapi, insan tersebut hanya menganggap hanya diri dia sahaja yang betul.

Semoga Allah memberi petunjuk kepadanya. Ya Allah, Kau bukakanlah hatinya menerima pandangan insan lain supaya dia tahu apa ertinya kebenaran dalam kehidupan. Amin ya rabbal'alamin.

Alhamdulillah, sepanjang hidup saya bernafas di bumi Allah Ta'ala ini, saya amat-amat bersyukur dengan ujian yang Allah turunkan kepada saya. Ujian yang membuatkan saya lebih kuat menjalani kehidupan.

Melemparkan tuduhan saya terkena kejutan budaya adalah tidak wajar. Kerana apa?

Walaupun saya akui, setiap insan itu bukanlah sesempurna mana, tetapi sehingga kini, Alhamdulillah, pakaian saya masih berlandaskan ajaran Islam.

Bukan mahu riak ataupun memuji diri yang tidak seberapa ini, tetapi saya sudah terbiasa bertudung menutup dada dan berstoking apabila keluar dari rumah.

Islam bukan agama paksaan. Saya lakukan perkara sebegitu rupa kerana saya sudah terbiasa. Agak janggal sekiranya saya mengubah penampilan saya sewenang-wenangnya hanya kerana fesyen semata-mata.

Mengikut syariat Islam, adab berpakaian itu bukanlah untuk membuat insan di sekeliling anda memandang anda dengan pakaian anda.

Terasa diri tidak selesa apabila dipandang oleh mata-mata yang tidak selayaknya. Inilah saya seadanya.




*Yahoo*
Maaf. Mata terasa panas bahang pada petang hari ini. Boleh percayakah penulis? Mahu jawab seperti artis, boleh? Tiada komentar. he...he...




Saya tahu, topik kejutan budaya tersasar sebentar. Tetapi, sabagai manusia, berpesan-pesan sesama kita itu adalah tanggungjawab kita.

Kisah saya untuk kenangan saya.

Kisah saya untuk anda ambil ikhtibar.





*Yahoo*
Opocot, terkejut. Ini bukan kejutan budaya. Itu melatah namanya. Saya tahu reaksi tidak sepadan dengan keterangan ini.




Tiada apa yang perlu ditakutkan atau dirasakan ragu-ragu dalam menjalani kehidupan ini.

Bagaimanakah cara mengatasi kejutan budaya?

Senang sahaja. Berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ingat, Allah Ta'ala sentiasa bersama kita. Malaikat di kiri dan kanan kita juga turut serta ada bersama kita.

Kuatkan hati dan semangat. Ingat, ibu dan ayah yang menanggung dosa kita (selagi anda belum bernikah) dalam membuat setiap perkara.

Itu medium dalaman. Medium luaran pula, pilih rakan-rakan yang baik dari segi akhlaknya, rakan-rakan yang sering memberi teguran tatkala kita hanyut dengan rempah ratus kehidupan, dan rakan-rakan yang sentiasa ada di sisi menemani di kala susah dan senang.

Untuk adik-adik yang ingin melangkah ke alam kampus, selamat datang diucapkan.

Usah difikirkan sangat mengenai pengarah kejutan budaya terhadap anda, sebaliknya uruskan diri anda dan minda anda dengan positif dalam menjalani kehidupan.

Kejutan itu berada di mana-mana sahaja. Tidak kira tempat mahupun waktu. Kejutan itu sendiri akan datang kepada anda dalam apa jua bentuk sekalipun.

Yang utama, persiapkan diri untuk menghadapi kejutan itu.

Jangan biarkan kejutan itu mengubah siapa diri kita. Tetapi, benarkanlah kejutan itu menambah nilai positif dalam diri kita.

Belajar kerana Allah Ta'ala, besar ganjarannya.

Belajar kerana dunia, kita tidak akan ke mana.

Sekian sahaja sedikit perkongsian dari perahsia hati.

Terima kasih kerana membaca.

Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

2 comments:

laylie mdnoor said...

Sangat menarik entri ni, teruskan berblogging! :)

PERAHSIA HATI said...

Terima kasih, laylie mdnoor.

Saya menulis hanya untuk berkongsi apa yang ada. Diharap dapat dijadikan panduan untuk saya dan semua. he...he...