Thursday, June 14, 2012

SATU KE EMPAT

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terkejut seketika saya apabila melihat bilangan halaman yang telah di baca. Terima kasih kerana masih sudi singgah ke sini walaupun sekian lama saya tidak mengemaskini laman ini.


Satu ke empat. Merujuk kepada satu kertas peperiksaan akhir telah pun selamat dijawab. Ya Allah, luluskan lah hambaMu ini. Ya, ini merupakan tahun akhir saya di bumi Serdang ini. Sejujurnya saya tidak sabar untuk berkhidmat sebagai pekerja. InsyaAllah.


InsyaAllah, sekiranya ada kelapangan, saya akan mencoret apa yang patut di sini. Tetapi, lihat lah bagaimana   lingkungan internet nanti. Semenjak kebelakangan ini, agak sukar untuk berada di atas talian. Mungkin Allah menetapkan untuk saya fokus belajar.


Ketulusan hati: Ada tiga lagi peperiksaan yang menanti. Doakan saya ya, kawan-kawan. Terima kasih kerana menjengah. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata. 

Tuesday, June 5, 2012

NASI GORENG KAMPUNG VERSI SEGERA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah menjengah petang rupanya. Saya baru sahaja sebentar tadi selesai memasak nasi goreng! Nak kata sedap tidak lah kerana duduk makanan di kolej tidak setanding dengan makanan di rumah. Tidak begitu?


Sudah lama aktiviti masak-memasak di tinggalkan. Bukan apa apabila ada rakan sebilik, segan di buatnya. Senyum tak perlu kata apa-apa.


Untuk makluman, kepada adik-adik yang bakal menginap di asrama kolej, boleh lah mencuba aktiviti masak-memasak versi segera ini. Mengapa di panggil segera? Kerana saya hanya menggunakan serbuk perisa sahaja. Mudah tetapi tidak elok sekiranya mengamalkan selalu, bukan?


Baiklah, mari kita tinjau bahan-bahan yang diperlukan dalam segmen masak-memasak pada hari ini.





Merujuk kepada tajuk tampalan pada hari ini, bahan utama yang diperlukan adalah semestinya nasi putih. Bukan di beli tetapi adalah lebih sesuai di tanak sendiri menggunakan periuk nasi elektrik sahaja. Mudah, bukan? Itulah, kalau rajin semua perkara menjadi. Oh, ini bukan untuk pujian diri sendiri tetapi keadaannya begitu lah.





Bahan-bahan pemangkin selera mata dan deria rasa. Bawang kecil, ikan bilis, lobak merah, kacang buncis dan tidak lupa peneman di sisi serbuk nasi goreng. Untuk menambahkan lagi aroma nasi goreng, adalah sebaiknya meletakkan bawang putih. Ini adalah kerana untuk melazatkan lagi nasi goreng tersebut. Tetapi, apabila di perhatikan melalui gambar di atas, ya, tidak kelihatan bawang putih di situ. Biasalah saya kan mengutamakan 'budget'. Senyum! Kepada anda yang menyukai rasa pedas dalam masakan boleh lah di tambah dengan cili padi ataupun lada merah. Malah, bebola ikan, daging, ayam, dan sebagainya boleh lah di tambah mengikut kesesuaian 'budget' anda.




Oh, langkah pertama adalah tumis bawang kecil sehingga naik bau. Masukkan ikan bilis. Jangan lupa pula, sebelum masukkan bahan-bahan tumis tersebut, letak lah minyak masak dan tunggu sehingga cukup panas. Bukan namanya tumis kalau minyak tidak di masukkan. Tidak begitu? Sila angguk tanda setuju. Senyum!




Setelah cukup masak bahan-bahan tumis tadi, masukkan lobak merah, kacang buncis, dan serbuk perasa tadi. Kadar bahan-bahan di atas masak adalah mengikutr citarasa anda. Ya lah, setiap manusia selera mereka berbeza, kan?



Yakin dengan  bahan tumisan tadi? Ya. Masukkan nasi putih. Dan gaul rata.




Maka dengan ini, siaplah nasi goreng kampung versi segera. Selamat menjamu mata. Sekiranya terdapat bahan-bahan yang ringkas untuk membuat nasi goreng, jom redah dapur sekarang. Selamat memasak semua.


Ketulusan hati: Kafeteria kolej dan fakulti dua minggu tidak beroperasi. Khabarnya mereka di kenakan tindakan sita kerana tidak menjaga kebersihan. Maka, dengan ini kena rajin kan diri memasak nasi goreng di atas dan kebersihannya adalah terjamin. Memasak di rumah adalah lebih baik. Kebersihan bahan masakan dapat di kawal sebaiknya. Oh, rindunya rumah. InsyaAllah, nanti saya kongsikan resepi nasi goreng kampung tanpa perencah pula. Tapi, kena tunggu saya balik rumah dahulu lah. Dan ini bermakna, saya tidak lagi perlu memasak menggunakan periuk nasi elektrik. Gembiranya memasak di atas dapur. Baru lah seperti tukang masak profesional. hehe. Mesti ada yang tertanya mengapa resepi nasi goreng sahaja yang dikongsikan. Jawapannya adalah kerana apabila ada kelapangan saya kongsikan masakan yang lain pula. Lauk pauk misalnya. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, June 3, 2012

KEPOMPONG

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi di ucapkan.


Mata kini sudah berat tetapi sukar di lelapkan. Maka, mengisi kekosongan hati dengan madah yang sengaja di coretkan di sini. Sudah lama laman ini terbiar sepi. Bukan terlintas di hati untuk beradu sepi, tetapi apabila jari-jemari berlari di sini, secara automatik minda tiada isi. Maafkan saya sekiranya ada yang menunggu istilah madah dalam laman ini.



*Yahoo*
Tiada apa yang istimewanya kepompong apabila dilihat begini. Hanya warna perang sederhana yang melintasi pandangan sisi.




*Yahoo*
Tetapi apabila munculnya makhluk yang indah sebegini, ya, istimewanya terperi.




Ya,
Aku ingin menjadi rama-rama,
Yang keluar dari kepompong yang biasa-biasa sahaja,
Asalnya tidak lah lawa,
Tetapi dalamannya indah terpelihara.


Andai aku adalah rama-rama,
Akan aku cari indahnya warna bunga,
Bukan untuk menghirup madunya sahaja,
Tetapi menghiasi pandangan mata.


Tidak ku nafikan indahnya ciptaan Allah Ta'ala,
Terpelihara lagi menenangkan minda,
Ya Allah izinkan aku bercinta,
Agar kecantikanku hanya terlihat di mata si dia.


Aku mengejar sepi dunia,
Yang hanya indah khabar dari rupa,
Hakikatnya ternoda,
Tetapi di simpan jua.


Aku melihat perkara di sekelilingku,
Memerhati kehidupan mereka dan mereka,
Si dia dan si dia,
Entah mengapa jauh di sudut hatiku,
Ku merasakan ada yang tidak kena,
Tetapi semuanya adalah takdir dari Yang Maha Esa,
Buat pedoman kita semua.


Jangan di bukan aib insan lain,
Kerana manusia itu kita tidak dapat jangka perubahan mereka,
Mungkin suatu masa sang mereka bakal menjadi lebih baik dari kita?
Siapa kita menghukum mereka tanpa usul periksa yang sewajarnya.


Dunia oh dunia,
Engkau telah tua,
Izinkan aku mengisi tuamu dengan apa yang termampu,
Semoga ibadahku, kebaikanku, dan segala amalanku ini terisi,
Dengan ikhlas kepada Ilahi.


Ku tahu diriku tidak lah sesempurna mana,
Seperti manusia lain juga,
Ya,
Penantianku hanyalah sia-sia,
Ku berharap agar bakal pemilik cintaku yang halal ada menemani di kala suka dan lara,
Mungkin bukan sekarang,
Tetapi kelak yang menjelma.


Ya Allah,
Anugerahkan lah aku cinta,
Agar aku tenang dalam rahmatMu,
Melalui cinta si dia yang halal terpelihara.


Aku sudah cukup dewasa belajar erti hidup dari insan di sekelilingku,
Tetapi teori sahaja tidak mencukupi,
Praktikalnya lebih meruntun emosi.


Ya Allah,
Cekalkanlah hati hambaMu ini,
Supaya menempuhi kehidupan di landasan yang sentiasa benar di sisi.


Ketulusan hati: Tahniah kepada rakan-rakan yang telah pun mendirikan rumahtangga, sedang dalam persiapan mahupun perhubungan. Saya mendoakan kalian semoga berbahagia dengan cinta anda sehingga ke syurga Allah Ta'ala. Kepada anda sang pembaca, selamat tidur semua dan semoga mimpi indah menemani tidur anda. Terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, May 27, 2012

ADAPTASI


Assalamualakium dan salam sejahtera. Wahai pembaca yang ceria selamat petang diucapkan.


Minggu ini merupakan minggu ke empat belas. Ini bermakna minggu terakhir kuliah. Terasa cepat masa berlalu dan saya kini bakal bergelar pekerja setelah saya mendapat kerja kelak. InsyaAllah. Ketika insan lain sibuk mencari pekerjaan, saya masih lagi bergelumang dengan projek PITA saya dan satu tugasan berkumpulan yang memerlukan pengorbanan yang tingggi.


Masih terasa lagi semangat yang berkobar-kobar apabila baru pertama kali sampai di bumi Serdang ini. Ya lah, ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Biologi di Matrikulasi Perak. Tidak sangka percaturan Allah Ta'ala untuk saya adalah yang terbaik. Alhamdulillah.


Saya bukanlah seorang yang mempunyai rancangan yang sspesifik dalam hidup saya. Lepas UPSR, PMR, SPM, matrikulasi, segala-galanya saya letakkan percaturan hidup saya sepenuhnya kepada Allah Ta'ala. Apa yang saya tahu, saya akan lakukan yang terbaik untuk abah dan mak serta adik-adik untuk meletakkan usaha saya di peringkat yang seterusnya. Dan maksud melakukan yang terbaik bukanlah bermaksud saya merupakan pelajar cemerlang, terlalu cemerlang, tetapi InsyaAllah, bakal pekerja cemerlang barangkali. InsyaAllah.


Berbalik kepada latar pendidikan saya, melihat rakan-rakan yang dapat memasuki asrama penuh setelah UPSR mahupun PMR, membuatkan saya berasa ingin seperti mereka. Nalurinya begitu lah. Tetapi, takdir Allah Ta'ala siapa yang boleh menolak bukan? Jauh di sudut hati saya, ya, belajar berhampiran dengan rumah itulah impian saya. Impian untuk sentiasa berada di samping keluarga tercinta. Walaupun ada ketikanya berjalan kaki itulah lumrah untuk saya sampai ke rumah. Alhamdulillah, Allah Ta'ala menjadi peneman dan penjaga keselamatan ketika saya pulang menyusuri kiri dan kanan kawasan hutan untuk sampai ke rumah. Syukur, Alhamdulillah.


Setelah menamatkan SPM, saya baru dapat merasai pengalaman tinggal di asrama. Tawaran PLKN ke Kem Jiwa Murni, Gunung Semanggol, banyak mengajar saya erti sebenar disiplin. Walaupun hakikatnya saya tidak gemar aktiviti lasak melainkan Taekwondo sahaja, entahlah pengakhiran kem itu saya berasa sedih. Sedih kerana saya berpisah dengan rakan-rakan yang amat baik kepada saya. Ya, kami menangis berpelukan dan sayangnya sehingga kini kami hilang cara untuk menghubungi satu sama lain. Itulah takdir Allah menganugerahkan pengalaman kepada saya menjadi pelajar asrama buat pertama kalinya.


Setelah tamat latihan di PLKN, saya tidak sangka Allah Ta'ala berterusan menghadiahkan saya dengan program matrikulasi. Selain itu, saya turut mendapat tawaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan di UiTM Melaka. Saya menjadi serba salah pada mulanya kerana saya amat meminati bidang perniagaan. Saya tidak pasti dari mana datangnya minat tersebut. haha. Saya pergi semula ke sekolah dengan rakan-rakan untuk berjumpa guru-guru yang selama ini mendidik kami untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah banyak menabur jasa dan ilmu. Terima kasih cikgu SMK Simpang! Dan saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat dari kaunselor mengenai perkara ini. Ya, akhirnya matrikulasi menjadi pilihan hati. Abah dan mak tidak kisah di mana saya ingin melanjutkan pelajaran. Tetapi bagi saya, matrikulasi merupakan pilihan yang terbaik kerana saya dapat meringankan kewangan kerana setiap semester pelajar di bekalkan dengan ringgit Malaysia satu ribu dan saya merupakan pelajar PDT. Alhamdulillah, Allah Ta'ala masih menganugerahkan saya dengan rakan-rakan sebilik yang baik sepanjang empat semester itu.


Bachelor Kejuruteraan Proses dan Makanan merupakan pilihan yang keenam dalam senarai pilihan saya. Yang pertama dan yang kedua adalah bidang perubatan. Biasalah, adat pelajar jurusan Biologi! hehe. Oh, cita-cita kedua saya adalah ingin menjadi jurutera. Pertama kali melihat senarai jurusan yang ditawarkan oleh UPM, terasa minat berbunga-bunga. Makanan! Saya gemar makan dan inilah peluang saya untuk menabur bakti sebagai jurutera dalam bidang ini. hehe. Walaupun hakikatnya, tidaklah 'deal' dengan makanan sebenarnya, tetapi setiap proses am dalam bidang makanan. Saya tertipu! haha.


Dari bidang Biologi saya beralih arah dalam bidang Fizik pula. Seronok sebenarnya apabila mengetahui serba satu ilmu Allah Ta'ala. Dalam bidang perubatan misalnya, tidaklah saya tercengang apabila rakan-rakan menceritakan penyakit am dan punca dasarnya kerana saya gemar membaca perkara yang berkaitan dengan perubatan. Teori adalah, praktikalnya tidak kerana saya pelajar bidang kejuruteraan. Agak bertuah juga kerana aliran kejuruteraan mengetahui mengenai bidang perubatan, bukan? Tetapi ada di kalangan rakan-rakan saya yang bertuah memasuki bidang kedoktoran berasa agak lega kerana mereka tidak tidak meminati subjek Matematik. Ya, bidang kedoktoran tidak menawarkan subjek matematik untuk kos tersebut. Maka, beruntunglah bagi pelajar kejuruteraan kerana setiap masalah penyelesaiannya adalah dalam cabang Matematik. Dan adalah 'cool' sekiranya pelajar bidang kejuruteraan mengetahui sedikit sebnayak mengenai ilmu perubatan. Sayalah! haha. Lawak sahaja, kerana di luar sana pasti ada insan yang tidak berpendidikan tinggi tetapi tahu mengenai bidang ilmu ini.


Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Jika ada insan yang tiba-tiba mencari perihal sesuatu dan tersesat ke laman ini, sekiranya mempunyai persoalan mengenai bidang yang tertulis di atas, tanpa segan silu, silalah tampilkan persoalan anda di ruangan komen.


Industri makanan di negara kita kebanyakan adalah secara kecil-kecilan dan jangan terkejut sekiranya makanan yang pada dasarnya kita lihat adalah bersih, tetapi hakikatnya ia tidak begitu. Maksud saya kebersihan makanan itu sendiri tidak dijaga rapi oleh pihak pengurusan sesebuah kilang. Dan jangan bertanya soalan kepada saya antara kilang yang tidak menjaga kebersihan itu. haha. Kejam, bukan? Bukan apa, saya tidak mahu mengaibkan mereka. Pasti mereka tahu perihal kebersihan, tetapi tidak mengamalkannya sahaja.


Terima kasih kerana membaca. 


Ketulusan hati: Tinggal sebulan dari hari ini saya akan meletakkan jawatan sebagai pelajar secara rasminya. Pensyarah saya ada mengatakan "Find your interest!". Lebih mudah ceburkan diri dalam industri dahulu. Rebut pengalaman kerana sambung belajar bila-bila masa pun boleh. Tidak begitu? Selamat datang alam pekerjaan! Walaupun satu kerja pun tidak saya 'apply' lagi, tetapi kalau rezeki tidak ke mana. Saya ingin berkhidmat di negeri saya sendiri. haha. Padahal ingin berada di samping keluarga tercinta.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, May 20, 2012

AWAK SEKOLAH AGAMA?

Ha? Akal saya merencana memikirkan apakah releven soalan tersebut kepada saya.


Ting! Jawapan sudah pun saya temui. Saya beralih memandang sisi tudung menuntup dada yang saya pakai.




*Yahoo*
Indahnya seorang wanita itu sekiranya keindahan fizikalnya di simpan rapi dan hanya melontarkan keindahan akhlaknya.



Apakah? Jawab hati saya. Eh? Jawab di dalam hati sudah, cuma tidak terlontar di bibir. "Bukan, saya bukan pelajar sekolah agama," jawab saya sambil melontarkan senyuman kepada si wanita yang bertanya itu.


Itulah andaian umum mengenai si pemakai tudung labuh. Tudung labuh, budak sekolah agama. Manis sebenarnya apabila memandang insan yang bertudung sebegitu rupa. Perhatikan wajah mereka, tenang bukan?


Bertudung labuh bukan tujuan untuk dilihat darjat keimanannya tetapi sebagai benteng keselamatan diri.


Bertudung labuh bukan alasan sebab sekolah agama tetapi mempraktikkan apa yang dianjurkan oleh agama.


Bertudung labuh selesa serta menenangkan jiwa. Tidak percaya? Boleh lah cuba.







Manusia bisa berubah, iman itu ada turun naiknya, yang penting berusaha untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Barulah hidup diberkati Ilahi.

Indahnya Islam!


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Saturday, May 19, 2012

PUNYA JIWA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Petang hari sudah pun melabuhkan tirai, saya kini menulis sambil memandang keindahan alam ciptaan Ilahi dari tingkat lima kolej pengajian. Subhanallah! Indah ciptaan Allah Ta'ala. Setiap petang yang menjengah malam, saya menikmati keindahan langit jingga di kanvas langit dan awan biru.




Indah, bukan? Subhanallah.





Nampak jelas matahari tersebut.





Terharu sebenarnya kerana perjalanan hidup masih jauh. Rintangan di hadapan yang tidak pasti apa ianya untuk kita lalui. Mengenangkan hakikat kehidupan, membuatkan akal berkocak lagu untuk mentafsir setiap kejadian yang telah berlaku dalam hidup.


Ya. Bukan mudah untuk menghadapi ujian dari Allah Ta'ala untuk hambanya yang terpilih. Jauh di sudut hati sampai bila ianya akan berada hanya di takuk itu sahaja tanpa berginjak pergi. Entahlah. Itu frasa orang yang pasrah dengan ketentuan Ilahi. InsyaAllah, selagi mampu saya menolak ke tepi rasa itu, akan saya lakukan. Bak kata abah saya,"Belajar elok-elok, jangan terlalu fikirkan sangat". Terima kasih abah atas nasihat yang berguna.


Saya akui sejak kebelakangan ini, penulisan saya tidak punya jiwa. Saya ngalit memikirkan apa yang berlaku. Ya Allah, tabahkanlah hatiku! Sukar memujuk hati sememangnya. Oh, ini bukan masalah perihal percintaan. Harap maklum.


Prinsip professional masih lagi saya pegang. Buang masalah, lontarkan jauh-jauh ketika melakukan sesuatu yang memerlukan akal untuk fokus. Harus diingatkan, bukan kita seorang sahaja yang mempunyai masalah!


Untung juga mempunyai laman peribadi. Bukan apa, apabila tiada bahan bacaan nanati, boleh lah membaca kembali kenangan lalu yang dicoretkan di sini. Senang, bukan?


InsyaAllah, kelapangan yang penuh masih lagi tidak diperoleh! Cerpen bersiri masih lagi tiada pengisian. Masih banyak lagi yang ingin dicoretkan. InsyaAllah, jika punya kelapangan.


Terima kasih wahai pembaca sekalian yang masih sudi singgah di laman ini. Syukur, Alhamdulillah! Saya bukanlah soerang yang baik, tetapi saya berjuang untuk menjadi yang lebih baik dari masa ke masa. Menjadi manusia hebat bukan untuk ditunjukkan kepada alam semester, tetapi inilah cabaran buat diri sendiri.


Semoga Allah Ta'ala lapangkan urusan kita dan lapangkan hati-hati kita untuk lebih menyayangi sesama makhluk. Amin ya rabbal'alamin.


Ketulusan hati: Adik saya sudah pun mula bekerja sambilan, siap minta saya bekerja bersamanya selepas bergraduat nanti! Rezeki Allah kita tidak tahu, mungkin itu jodoh rezeki saya. Tetapi, ianya bukan bidang hati saya. Bagaimana? Tidak mengapa, kini saya wajib fokus belajar dan selepas ini, boleh lah buat pilihan apa yang patut buat diri. Wahai diri, kuatkan semangat! Selamat datang dunia pekerjaan enam minggu dari sekarang! Oh, teruja sebenarnya.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Friday, May 18, 2012

BELUM KU TEMU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari Jumaat ini memberi keberkatan dalam kehidupan kita dan dilanjutkan oleh Allah Ta'ala sehingga ke hari-hari yang seterusnya. Amin ya rabbal'alamin.



*Yahoo*
Cinta itu fitrah. Maksiat itu barah.

 

Apabila berbicara mengenai bakal pasangan yang halal pada masa hadapan, ternyata ciri-ciri ataupun kriteria yang diingini pasti menjadi topik hangat yang menarik untuk dibincangkan. Sudah pastinya, bukan?


Si dia,
Jejaka pilihan Ilahi untukku,
Belum ku temu,
Tetapi InsyaAllah masanya pasti tiba,
Tak usah ku ragu.


Si dia,
Tercipta untukku,
Tak perlu ku tunggu,
Cuma masanya belum ku temu.


Si dia,
Hakikat pemilik cintaku,
Biarlah ianya menjadi halal dahulu,
Sebelum ku temu,
Cinta yang tidak merosakkan hatiku,
Hadiah teragung dari Ilahi Yang Agung itu.



Si dia,
Usah bercanda wahai hati,
Menafikan yang kau tak perlu akan cinta,
Kerana itu fitrah manusia,
Cuma belum ku temu pemilik sah hatiku.


Si dia,
Semoga cinta kita kekal berlandaskan restu Ilahi,
Yang berhak menentukan cinta yang abadi,
Semoga Allah merestui,
Halal cinta tujuan yang diredhai.


Si dia,
Belum ku temu,
Ayuh sabar duhai hati.


Ya, laman ini bukan hakikat laman cinta sebenarnya. Apa yang dicoretkan itulah yang terbuku di hati. Menjadi cinta hakiki bersulamkan rahmat dari Ilahi.


Topik cinta tidak akan habis dibicarkan. Kerana apa? Cinta itu fitrah manusia.




*Yahoo*
Bercinta tidak salah selagi mengikut landasan syariat yang ditetapkan.




Saya berbicara dengan seorang rakan, mengenai rahsia Allah yang kita tidak tahu. Jodoh antaranya. Ya, sahabat saya merupakan seorang yang muslimah yang baik dan InsyaAllah, semoga Allah Ta'ala jodohkan si dia dengan pasangan yang baik juga. Tidak lupa buat penulis laman ini juga. Oh, serta pembaca kalian. Amin ya rabbal'alamin.


Terdapat juga beberapa sahabat saya yang sedang hangat bercinta. Pesan salah seorang rakan saya untuk mendapatkan pasangan, layan sahaja apa yang ada di hadapan mata. Boleh kah begitu?


Tidak tepat sebenarnya, membiarkan cinta itu dipermainkan. Mahu kepada insan ini, teruskan. Apabila sudah bertemu yang lain yang dirasakan lebih sesuai, tinggalkan yang tadi. Tidak elok, bukan?


Terpulang. Kita sudah besar, tahu mana yang bak dan yang buruk. Agak aneh sebenarnya, kita memerlukan cinta pasangan yang baik untuk kita, sedangkan kita? Adakah kita pelihara hati dan nafsu kita semasa bercinta? Senang cerita, adakah kita tergolong dalam landasan insan yang bercinta mengikut syariat Islam? Oh, tidak perlu tepuk dada bagai. Tepuk akal tanya diri. Tanya seikhlas hati.


Kita tahu istilah cinta halal itu adalah hubungan suami isteri. Tidak ada istilah yang lain. Tidak lebih tidak kurang. Benar, bukan?




*Yahoo*
Percintaan yang indah bersulamkan ketenangan hati dan kebahagian menempuh kehidupan. Selamat datang alam rumahtangga.




Ada juga yang menyatakan bahawa cinta jarak jauh itu dapat mengurangkan maksiat. Benarkah? Cuba kita selidiki dahulu. Cinta jarak jauh. Jauhnya hanya jarak. Tetapi cinta kita masih utuh. Dengan adanya pelbagai jenis jaringan maklumat untuk sentiasa menyuburkan cinta, saya tidak rasa perhubungan jarak jauh itu mampu mengekang diri dari maksiat. Menulis status rindu, sayang dan sebagainya, di dalam Buku Wajah, akan kurangkah maksiat? Tidak lupa jaringan Skype juga bisa mengeratkan dua hati yang di dalam perasaan yang rindu mereka terpendam. Kurangkah maksiat? Tidak bukan? Realitinya, adalah mereka sering bertemu tetapi secara langsung hanya di alam maya. Tidak perlu memakai minyak wangi, berdandan, itulah realitinya cinta jarak jauh. Mata sembap pun masih boleh lagi berbalas-balas pertanyaan melalui video kerana jarak jauh dan tempoh masa yang tidak sama waktunya. Inilah realiti percintaan remaja kini.


Banyak yang ingin dicoret, tetapi terlalu banyak perkara mengenai cinta yang kita sendiri boleh fikir yang mana baik dan yang buruk.


Untuk rakan-rakan yang hangat bercinta yang juga masih menunggu hadiah dari Allah Ta'ala, saya kongsikan video di bawah untuk tatapan anda. Ambil manfaat daripadanya. Selamat menonton.









Semoga dengan perkongsian ini memberi manfaat seadanya buat rakan-rakan menempuhi alam percintaan. Bukan mudah untuk keluar dari hubungan cinta yang tidak halal tetapi nikmat ketenangan yang Allah Ta'ala akan gantikan untuk kita. InsyaAllah.


Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.


Ketulusan hati: Sebelas Mei yang lalu, saya berjaya menghantar laporan PITA yang pertama. Walaupun tidaklah banyak halamannya, Alhamdulillah. Hari ini, laporan itu telah pun ditanda oleh 'supervisor' yang berkenaan. Pukul tiga petang ini, saya sudah boleh mengambil semula laporan tersebut untuk menambah dan memperbaiki apa yang patut. Semoga Allah Ta'ala permudahkan. InsyaAllah.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

PERKASANYA LELAKI ITU

Perkasanya lelaki itu,
Bukan terletak pada otot yang terbina di badannya,
Jauh sekali mampu mengangkat beban yang banyak untuk membuktikan keperkasaannya.


Perkasanya lelaki itu,
Apabila mampu menyediakan apa yang termampu untuk isteri dan anak-anak,
Memerah keringat di tengah panas,
Membanting tulang,
Mengangkat batu bata,
Memanjat bangunan tinggi,
Tanpa mengeluh.


Perkasanya lelaki itu,
Terletak pada asas solatnya cukup lima waktu,
Memelihara batas pergaulan,
Peramahnya menyenangkan hati insan,
Tanpa lawak yang mengguris perasaan.


Perkasanya lelaki itu,
Menerbitkan rasa cinta yang mendalam,
Di suatu sudut yang sukar digambarkan,
Ternyata keperkasaannya mengagumiku.


Perkasanya lelaki itu,
Wajahnya di mamah waktu,
Tetapi perkasanya tidak di pudar di mataku,
Masih meniti titian rezeki,
Semoga Allah Ta'ala sentiasa memberkati.


Perkasanya lelaki itu,
Sukar dicari ganti,
Amarahnya bertempat,
Apabila lelah tidur menjadi temannya,
Apabila kami meminta sesuatu diberi tanpa soalnya,
Sesungguhnya aku terlalu mencintainya.


Perkasanya lelaki itu,
Terletak pada peribadinya,
Bukan pada barangan yang dia punya.


Perkasanya lelaki itu,
Dia adalah dia,
Abah yang akan ku sanjung sampai bila-bila.


Ketlusan hati: Ya Allah, permudahkanlah urusan kami, perluaskanlah rezeki kami, perhalusilah akhlak kami, terimalah ibadah dan taubat kami, lapangkanlah hati-hati kami dengan kasih sayang sesama kami dan berkatilah kehidupan kami. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Wednesday, May 9, 2012

CARA SEORANG MUSLIMAH MENGENALI BAKAL SUAMI


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga hari ini kita semua bakal diceriakan dengan hati yang tenang, kesihatan yang baik dan semoga segala-galanya baik dengan izin Allah Ta'ala.


Saya baru sahaja menonton video ini. Penampilan khas dari Fatimah Syarha.


Saya tertarik dengan penyampaian beliau yang lembut dan merungkaikan kisah secara mudah difahami.


Saya undang anda untuk menonton video tersebut. Ambil yang positif, tinggal yang negatif.








"Indahnya kalau kita ada satu kenangan cinta yang terpelihara, kalau terpelihara bila nikah akan ada nikmat percaya, nikmat rasa pasangan kita setia, sebab dulu dia setia dengan Allah, dia setia jaga cinta dia, dia tak 'couple' dengan siapa-siapa", Fatimah Syarha.


Nak dapat pasangan baik, diri sendiri kena jadi baik dahulu. Benarlah, lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.


Semoga dengan sedikit perkongsian ini memberi impak dalam diri supaya kita lebih fokus menjaga akhlak kita dan pergaulan kita.


Bukan apa, masih ada pasangan yang bercinta sebelum nikah dan tidak menjaga pergaulan mereka selaras dengan syariat Islam. Maka, bagaimana mahu menghayati nikmat alam rumahtangga kelak sekiranya semua perkara sudah diketahui semasa sebelum nikah.


Keindahan percintaan itu tidak dapat dinafikan tetapi biarlah nikmat itu hadir setelah cinta halal hadiah dari Allah Ta'ala kita peroleh iaitu setelah lafaz akad nikah itu sah menjadi milik kita.


Sekian sahaja perkongsian dari saya. Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, May 7, 2012

UJIAN TERAKHIR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda diberikan hadiah kesihatan yang baik oleh Allah Ta'ala.


Esok, bakal diadakan ujian yang terakhir sebelum menempuh peperiksaan akhir. Lebih tepatnya ujian dua. Maka, status pelajar pun bakal berakhir setelah peperiksaan akhir itu pun berakhir.


Sedih, apabila mengenangkan kenyataan pengakhiran sebagai pelajar. Tidak mengapa, abaikan sahaja.


Ujian terakhir itu sebenarnya tidak akan berakhir sampai bila-bila. Ujian hidup yang utuh bakal hadir menemani diri untuk menguatkan jati diri. Semoga hari esok lebih indah daripada hari ini. InsyaAllah.


Banyak yang telah dipelajari sepanjang saya berada di sini. Tetapi, saya masih tidak mendalami kawasan di sekitar Serdang mahupun di kota bandaraya Kuala Lumpur walaupun sudah hampir empat tahun menetap di sini.


Pesan emak, datang ke sini hanya untuk belajar, bukan bersuka ria tanpa batasan. Pesan abah, jaga diri. Sebagai anak yang solehah, wajarlah mengikut rentak ibu bapa selagi mana ianya berada di landasan hukum Allah. Tetapi, apabila rakan-rakan mengajak untuk membeli-belah barangan keperluan, maka wajar untuk saya mengikut mereka. Tetapi, saya mewajarkan diri saya untuk memberitahu kedua emak abah akan kepergian anak solehah mereka ke mana sahaja.


Perlu, supaya mereka tahu tindak tanduk saya di sini. Dan yang paling penting, mereka tidak berasa risau apabila saya bersama dengan teman-teman. Saya tidak lah begitu solehah tetapi saya mencuba memperbaiki diri dari masa ke masa agar saya menjadi anak yang solehah bagi mereka. InsyaAllah.


Lihat, daripada perkongsian mengenai ujian yang bakal berlangsung esok hari pada pukul dua petang sehingga empat petang, saya mencoret sedikit mengenai pesanan emak dan abah saya.


Inilah bukti saya merindui mereka. Sentiasa di hati sebenarnya.


Harapan saya semoga Allah Ta'ala lapangkan rezeki dan memberi kesempatan kepada saya untuk saya membalas jasa emak dan abah saya. Selagi hayat di kandung badan, InsyaAllah, saya sedaya upaya ingin menyenangkan hati mereka. Bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya saya cuba untuk mencukupkan apa yang terdaya.


Membalas jasa. Ya, saya tahu tidak terbalas jasa mereka. Mendidik dan mengasuh serta membesarkan saya dengan penuh kasih sayang. Malahan, doa daripada mereka yang saya kasihi tidak putus-putus memberi keberkatan jaminan keselamatan saya di sini. Terima kasih Ya Allah, di atas kurniaan yang tidak ternilai ini.


InsyaAllah, selagi mana saya mampu, akan saya usahakan untuk membahagiakan mereka yang adik-beradik yang lain. InsyaAllah.


Kembali ke pentas realiti semuala. Doakan saya ya, rakan-rakan sekalian.


Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.


Ketulusan hati: Hakikat kejayaan sebenar bukan diukur pada berada banyak gred A yang boleh kita kumpul sewaktu bergelar pelajar. Tetapi, bagaimana kita menjaga akhlak kita dengan ibu bapa dan insan di sekeliling kita. Hiasi akhlak dengan nilai terpuji, sulamkan senyuman setiap hari. Senyuman itu sedekah, bukan? Ya, rahsia penawar awet muda juga!

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Friday, May 4, 2012

BUKAN SUSAH NAK SUSAH , BUKAN SENANG NAK SENANG !

Assalamualaikum dan selamat pagi diucapkan. Semoga dengan kehadiran tampalan pada hari ini mengubati kerinduan anda terhadap sang penulis. Oh, ada yang rindu kah?


Berbalik kepada penulisan (Sila fokus wahai penulis, kasihan pembaca anda menanti. he...he...), sebagai pelajar yang tinggal hanya dua bulan sahaja lagi bakal bergelar bekas pelajar, kini saya merasai bahangnya.


Bahang menyiapkan apa yang tertunggak. Sebelas Mei adalah tarikh keramat itu. Mungkin nanti saya kongsikan bersama anda kerana ianya belum berlaku lagi. InsyaAllah.


Sememangnya bergelar pelajar, tekanan itu ada. Wajar ada. Agak aneh sekiranya insan yang bergelar pelajar tidak langsung mempunyai 'rakan karib' ini di dalam diri mereka.


Kini, terasa apa itu malam dan siang yang tidak ada bedanya. Saya sibuk mentelaah journal yang berkaitan. Dan yang paling membimbangkan, soalan kuiz yang di beri oleh pensyarah (Biasanya boleh di bawa balik untuk dijawab), saya memberi jawapan berdasarkan journal juga. Bak kata rakan saya, "Jawab kuiz seperti membuat thesis". he..he... Almaklumlah, siang dan malam kerjanya beralit dengan journal. Kemaruk sudah!


Kini saya mengerti bahawa peri pentingnya untuk memberikan bukti untuk menyokong apa yang ingin dipersoalkan. Bukan hanya omong kosong sahaja, kata orang.

Untuk berjaya, bukan mudah. Tetapi untuk gagal ya!


Kerana apa?


Bukan susah nak susah, bukan senang nak senang!



Inilah hakikat hidup. Bak kata pensyarah saya yang menetap di luar negara ketika pengajiannya, dia mendapati bahawa insan yang berusaha lebih di sana mereka bakal mendapat lebih, manakala yang kurang, kuranglah rezeki mereka.


Ya, keputusan susah senang hidup kita, kita yang tentukan. Tetapi, tidak dinafikan bahawa setiap kesenangan dan kesusahan itu datangnya dari Allah.


Susah mahupun senang itu amatlah kontra perbezaanya. Tanyalah mana-mana insan pun, kesenangan pasti di pilih mereka. Siapa tidak mahu senang, bukan?


Ketika belajar, belajar bersungguh-sungguh. Ketika bekerja mencari rezeki pula, bersungguh-sungguh juga.


InsyaAllah, pasti berjaya. Oleh itu, teruskan berusaha dan bersungguh-sungguh melakukan apa jua perkara yang anda rasa betul untuk masa hadapan anda dan yang paling penting untuk keluarga anda.


Usaha untuk hidup. Kehidupan yang indah adalah dipenuhi dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang kita impikan.


Pada satu detik dahulu, saya menyatakan pada diri sendiri bahawa insan yang memakai sesuatu benda yang berjenama itu melakukan pembaziran. Tetapi ternyata telahan saya ketika itu dan dibandingkan dengan kini adalah jauh panggang dari api.


Mengapa benda yang berjenama itu seringkali menjadi pilihan?


Kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan barangan idaman mereka. Tidak salah bukan sekiranya kita memberikan hadiah kepada diri sebagai penghargaan setelah kita berhempas pulas melakukan yang terbaik untuk diri?


Ya, terpulang kepada kemampuan masing-masing. Yang paling penting, mereka mendapatkan rezeki dari sumber yang halal dan dengagn titik peluh mereka sendiri. Dan ini membuatkan saya bersetuju dengan pandangan pensyarah saya tadi!


Terima kasih kerana membaca. Mata berat, rehatkanlah mata. Selamat malam semua.


Assalamualaikum.


Ketulusan hati: Masa beralih pantas. Terasa sedih bakal meninggalkan alam kampus. Tetapi, tidak mengapa, inilah lumrah hidup. Sampai bila mahu menjadi pelajar sahaja, bukan? Kehidupan adalah guru untuk kita meneruskan sesi pembelajaran. Bukan lagi teori, tetapi realiti. Semoga fantasi menjadi realiti. InsyaAllah.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, May 1, 2012

OBSESI CINTA

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat sekalian. Kepada yang bergelar pekerja, selamat menyambut hari pekerja! Semoga hari ini lebih baik daripada hari semalam. Tidak lupa, semoga kesihatan luaran dan dalaman kita sihat dari segala anasir yang tidak baik. Sekiranya kesakitan yang dianugerahkan Allah Ta'ala kepada kita, positif lah kerana kesakitan itu lambang pahala untuk menghapuskan dosa-dosa kita.




*Yahoo*
Siapa sayang saya? Oh, tidak perlu angkat tangan. Yang pasti keluarga pasti ada di saat susah dan senang.




Seringkali saya membaca status rakan-rakan di Buku Wajah mengenai persoalan dan permasalahan dalam hubungan cinta, menyatakan perasaan cinta, kerinduan terhadap pasangan, dan juga menyatakan hubungan mereka. Malahan, ada yang kurang bernasib baik dalam hubungan cinta yang seringkali bertukar status antara solo dan berpasangan.



Mudahkan, bercinta mengikut nafsu? Tetapi, sekiranya mereka melangkah ke alam rumahtangga, pastinya tiada istilah untuk bertukar status daripada 'dalam perhubungan' mahupun sebaliknya hanya dalam sekelip mata! 'On' dan 'off', kata orang. Tidak dinafikan gelodak rumahtangga itu lebih besar daripada pasangan yang bercinta tetapi tidak lagi melangkah ke alam rumahtangga.





*Yahoo*
Mencapai cinta hakiki itu penuh ranjau. Bukan mudah mencari si dia yang setia di sisi. InsyaAllah, suatu hari, pasti ada yang menemani saya menempuhi kehidupan ini. InsyaAllah.



Apabila berada di awan-awangan perhubungan cinta, satu perkara yang paling penting dalam perhubungan cinta bagi pasangan yang belum bernikah adalah sikap terlalu obses mengenai pasangan. Mahu pergi ke sesuatu lokasi perlu di beritahu, keadaan kesihatan sihat mahupun sakit perlu di khabarkan, makanan apa yang di makan pada hari tersebut, malahan setiap kali keluar besama warna tema yang sama dipertontonkan untuk membuktikan semangat keserasian sehati sejiwa itu ada!


Semua perkara yang perlu di kongsi sebelum bernikah, indah ke? Terpulang kepada individu. Ya, kita semua sudah tahu menilai apa yang baik dan sebaliknya. Sudah matang, bukan?


Ya, maksiat memang indah, tepi, diingatkan bahawa maksiat itu ada dalam banyak cara. Sebagai seorang Muslim, jagalah pergaulan dan batasan anda dengan rakan yang bukan sejantina dengan anda. Bukan mudah untuk melarikan diri daripada maksiat hati, tetapi tidak salah sekiranya kita bergerak perlahan-lahan meninggalkan kerusi maksiat yang pernah kita duduki satu ketika dahulu!


Macam-macam perkara yang membuatkan anak-anak muda kini terlalu taksub dengan cinta. Anehnya, walaupun sudah lama berkenalan, malahan keluar berdua-duaan, ibu bapa tidak pula di beritahu mengenai hubungan mereka. Perkara aneh kini sudah pun menjadi biasa.


Kerana apa? Kerana terlalu mengikut hawa nafsu, syariat diketepikan.


Sedikit sebanyak perkara yang berlaku di sekeliling saya memberi impak juga kepada saya secara halusnya. Sememangnya, saya banyak belajar mengenai hakikat cinta menerusi teman-teman. Ada yang indah, ada yang sebaliknya.


Yang penting, setiap perhubungan yang halal yang di namakan perkahwinan, Allah pasti meredhainya. Tetapi, sekiranya kita terlibat dengan hakikat bercinta sebelum bernikah, peliharalah ia mengikut batasan syariat Islam.


Bercinta itu mudah. Hanya perlu bertindak ke atas insan yang anda minati misalnya menghantar mesej yang menggetarkan hatinya, lama-kelamaan dapatlah! Tetapi, untuk mencari calon untuk memegang status 'isteri' mahupun 'suami', berfikir lah berkali-kali.


Teringat kata-kata seorang rakan, sekiranya kita baik, jaga pergaulan, InsyaAllah, Allah akan menganugerahkan pemilik hati kita yang sama baik seperti kita.



Berubah itu perlu. Perubahan ke arah kebaikan itu sememangnya sukar, tetapi nikmatnya berganda. Tidak percaya? Cubalah!


Semoga dengan sedikit perkongsian ini, mampu menjadikan kita insan yang memegang Islam bukan hanya sekadar penghias di kad pengenalan sahaja!



Jaga diri, hiasi peribadi!


Terima kasih kerana membaca.


Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, April 23, 2012

BUAH TANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda diberi kesihatan fizikal dan mental yang tenang lagi sejahtera dari Allah Ta'ala hendaknya. InsyaAllah.

Dalam hidup ini terdapat sesetengah perkara yang langsung tidak kita rancang tetapi, Alhamdulillah, dengan kuasa Allah Ta'ala ianya terjadi jua. Inilah yang terjadi pada saya pada hari semalam.

Bukan ada apa yang istimewa pun, saya hanya bergerak ke majlis perkahwinan anak kepada pensyarah saya. Oh, melihatkan insan di sekeliling saya ramai yang sudah pun mendirikan rumahtangga menyebabkan saya sendiri kagum dengan mereka kerana dalam usia yang masih muda mampu menjawat tanggungjawab sebagai suami isteri. Alhamdulillah, semoga anda semua kekal bahagia sehingga ke syurga.

Barakallah, saya ucapkan. Tidak lupa kepada yang masih menyendiri, jangan khuatir dengan takdir Allah. Ada kisah cinta hebat yang akan berlaku dalam kehidupan anda kelak dengan ukiran rahmat dari Allah Ta'ala. InsyaAllah.

Berbalik kepada tajuk tampalan pada kali ini, saya ingin kongsikan buah tangan yang saya peroleh dari majlis tersebut yang diadakan pada dua puluh dua April hari Ahad yang berlangsung di Dewan Serbaguna Presint 8. Terima kasih pensyarah kesayangan kerana menjemput kami ke majlis itu. he...he....

Masyarakat Melayu adabnya begitu sopan-santun dan selari dengan ajaran Islam. Inilah sebab utama Melayu sering dikaitkan dengan Islam walau hakikatnya tidak semua bangsa Melayu beragama Islam.

Gambar-gambar di bawah sebenarnya adalah sekadar perkongsian dari saya kerana sudah terlalu lama tidak meletakkan gambar yang terjadi di sekeliling saya.



Nampak tak apa yang saya nampak? Semangat kan letak sebelah komputer riba kesayangan. Oh, ambil aura kata orang. he...he...




Buah tangan sampai dua tau! Banyak, kan? Alhamdulillah.




Inilah hasil yang terdapat di dalam dua buah tangan tersebut. Sejujurnya, saya tidak lah memberi buah tangan kepada mempelai kerana saya pergi ke majlis dalam keadaan yang tidak di rancang. Ada rakan yang mengajak, maka saya pergilah! he...he... 



Kreatif, kan? Pandangan dari sisi satu.




Pandangan dari sisi dua.



Dewasa kini, buah tangan tidak hanya terletak pada bunga telur sahaja. Pelbagai pakej yang disediakan oleh perancang perkahwinan untuk anda. Yang paling penting, kena korbankan sedikit wang sahaja. Bukan selalu, kan kita nak bersedekah pada orang.

Dapat pahala apabila kita sediakan yang terbaik untuk tetamu. Mereka turut sama meraikan majlis perkahwinan tersebut.

Mesti ada yang mengatakan mengapa saya tidak memasukkan gambar mempelai? Kerana saya tidak membawa kamera untuk dipotretkan. Seganlah sebab bukan majlis saya. Eh? he...he... Senyum tak perlu kata apa-apa. lalala

Sekian sahaja perkongsian dari saya. Semoga anda yang membaca tidak lupa menjemput saya ke majlis perkahwinan anda nanti. Boleh?

Terima kasih kerana membaca.

Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Friday, April 20, 2012

LANGIT SEPI

Memandang langit sepi.
Mendongak ke awan.
Mengapa hatiku ini?
Bertemankan tidak keruan.


Suram dan muram.
Tolong nyah dari sisiku!
Tinggalkan rasa yang membelenggu.
Biarkan ia terpotret di awan yang berlalu.


Petang Serdang yang syahdu.
Menemaniku.
Entah, sampai bila ianya berliku.
Membuatkanku berserah pada Allah Yang Maha Satu.


Luahan angin berbisik padaku.
Kicauan burung mewarnai pendengaranku.
Indahnya ciptaan Ilahi.
Kini, kurang sedikit rasa lelah yang merapati.


Terpelosok di sudut hitam dan kelam.
Menyesakkan lafaz yang tersimpan.
Biarkan ia singgah berlalu.
Kerana ku tahu ianya tidak akan kekal di situ.


Mentari petang terasa indah.
Wahai hati, yang sudah itu, sudah!

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Thursday, April 19, 2012

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar kesihatan iman dan Islam pada hari ini? Semoga Allah Ta'ala memberkati kehidupan, kesihatan, dan kemurahan rezeki untuk kita semua. InsyaAllah.




*Yahoo*
Dalam menempuh kehidupan, kita perlu sedar bahawa jatuh bangun kita adalah takdir hidup kita yang Allah Ta'ala anugerahkan untuk kita harungi dengan penuh jayanya. Setiap dari kita ujian yang Allah Ta'ala berikan adalah berbeza. Oleh itu, bersyukurlah kerana musibah itu tanda Allah Ta'ala sayang kita.




Musibah. Satu perkataan yang seringkali kita elak dari terjadi kepada diri kita. Tetapi, dalam takdir kehidupan, musibah itu adalah sesuatu yang sudah pastinya tidak dapat dielakkan apabila Allah Ta'ala menetapkan itulah takdir hidup kita!

Saya memerhatikan diri saya sendiri. Setiap kali saya di landa musibah, membuatkan saya terfikir mengenai kaitan musibah dan diri saya. Bagaimana saya menerima anugerah Allah Ta'ala ini dan apabila ia hadir pula, bagaimana layanan saya terhadap insan di sekeliling saya.

Walaubagaimanapun, perasaan tertekan dengan musibah itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkannya kepada insan lain! Cuba elakkan untuk berbuat demikian kerana Allah Ta'ala ingin menguji sekuat mana kesabaran kita dalam menempuhi ujian Allah itu.

Siapa saya untuk menyalahkan perkara di sekitar saya? Saya hanya insan biasa yang diciptakan oleh Allah Ta'ala untuk beribadah kepadaNya. Insan di sekeliling saya, mereka juga punyai musibah mereka sendiri. Maka, adalah tidak adil untuk melempiaskan perasaan yang membelenggu kepada insan lain.




*Yahoo*
Kadangkala kita ingat kita mampu untuk menempuhi ujian yang Allah Ta'ala berikan kerana kita sudah pun bersiap sedia mental dan fizikal kita. Tetapi, ternyata kita silap. Kesilapan itulah yang mematangkan diri kita untuk menempuhi hari-hari yang mendatang supaya kita tidak terleka dengan kenikmatan dunia. 




Suka saya untuk mengingatkan diri saya sendiri, sekiranya saya tidak suka insan lain melayan saya sebegitu, jangan berbuat perkara yang saya sendiri tidak suka kepada insan lain.

Di sini, saya mengingatkan diri saya sendiri sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah Ad-Dhariyat Surah ke lima puluh satu di dalam Al-Quran merujuk kepada ayat lima puluh enam:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu".

Tujuan utama kita melayari bahtera kehidupan adalah untuk beribadah kepada Allah Ta'ala.

Jatuh dan bangun kita dalam kehidupan, kita tempuhi dengan penuh kesabaran dan keikhlasan kerana Allah Ta'ala. Maka, musibah yang kita lalui bakal memberi kita ketenangan dalam kehidupan.

Kehidupan kita bukan hanya satu arus sahaja. Bahkan, kadangakala kehidupan kita menentang arus. Akal yang Allah Ta'ala berikan, memberikan kekuatan kepada kita untuk berfikir, menganalisis, dan mencerna solusi kepada setiap musibah itu.

Oleh itu, rajin-rajinlah kita menggunakan akal kita untuk mencari solusi kepada musibah itu. Solusi yang paling utama adalah tanamkan dalam fikiran kita bahawa Allah Ta'ala sayangkan kita dan membuatkan kita menjadi insan yang lebih kuat untuk mengharungi musibah lain di waktu yang akan datang. InsyaAllah, perkataan putus asa tidak akan menjengah ke dalam lubuk fikiran kita dengan hadirnya musibah yang tidak di jangka.

Akhirnya, untuk menjadi insan hebat, ianya ada di dalam diri kita. Setiap insan di dunia ini adalah manusia yang hebat. Maka, perhebatkan ilmu pengetahuan kita dan tidak lupa akhlak kita.

Terima kasih kerana membaca. Jaga diri, jaga peribadi. Assalamualaikum.

Ketulusan hati: Tinggal dua minggu lagi untuk saya siapkan kajian PITA saya. Allah menguji saya. Eksperimen perlu diulangi lagi kerana bacaan yang tidak menepati piawaian. Doakan saya ya, kawan-kawan. Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu yang lemah ini. Amin ya rabbal'alamin.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, April 15, 2012

CINTA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada malam ini, saya berkesempatan untuk melayan kerenah jari-jemari untuk mencoret serba-sedikit mengenai cinta. Saya bukan pakar dalam bidang yang sangat luas ini tetapi keadaan rakan-rakan dan pengalaman mereka menjadikan saya agak memahami. Agak. Bukan seratus-peratus memahami. Eh?

Teori sebelum praktikal. Boleh?




*Yahoo*
Ilmu cinta ternyata luas. Bukan untuk dikhianati, malah untuk menyenangkan hati.



Apabila membicarakan tentang cinta, saya terkenang kembali mengenai persoalan dari guru sekolah rendah dahulu. Ketika saya berada di dalam darjah empat ketika itu. Mungkin. Oh, umur meningkat, maka ingatan kurang mengingat!

Di dalam kelas muzik ketika itu, cikgu tersebut menyoal kami, begini soalannya, "Siapa pernah jatuh cinta?"

Lihat, soalan yang ringkas, bukan?

Ingin sahaja saya mengangkat tangan!

Soalan yang bakal merubah perspektif diri dalam usia yang muda. Darjah empat bersamaan sebelas tahun, sudah jatuh cinta? He...he...

Selepas berapa lama menunggu, ternyata tiada seorang pun yang mengangkat tangan!

Saya? Saya berasa ingin sahaja. Ternyata saya juga tidak begitu berani untuk berbuat demikian.

Dalam hati, saya merasakan bahawa ya!

Saya bercinta dengan keluarga saya, rakan-rakan dan juga Allah Ta'ala yang berada di sisi setiap masa.

Cinta bukan satu masalah tetapi merupakan kekuatan untuk sentiasa positif. Cinta untuk membangkitkan semangat dalam diri. Cinta yang ikhlas adalah cinta kerana Ilahi. Bukan nafsu!

Adegan mengangkat tangan itu hanya wujud dalam hati sahaja!

"Cinta itu bukan untuk lelaki dan wanita sahaja. Insan di sekeliling kita pun kita boleh bercinta. Cinta itu bersifat segala-galanya! Jangan terlalu mengecilkan skop percintaan itu!"

Demikianlah sedikit nasihat dari cikgu tersebut. Semua tertunduk tersipu malu, tetapi saya hanya melihat cikgu tersebut. Kerana saya yakin, jawapan saya adalah sama dengan cikgu tersebut!
 
Oh, mengapa saya tidak mengangkat tangan ketika itu. Rugi...rugi....

Secara konklusinya, minda kita jangan kita sempitkan dengan ya atau tidak. Cuba cari jawapan mengapa ya atau tidak kepada jawapan kita! Kerana akal kita begitu berharga!

InsyaAllah, dengan cara ini secara tidak langsung, kita mengajar otak kita untuk berfikir.

Jangan manjakannya dengan cinta yang memberi maksiat tetapi hargai cinta insan di sekeliling kita.

Ketulusan hati: Ibubapa saya sudah beri 'hint' dalam bab cinta ini. Jodoh tidak dianugerahkan kepada saya lagi. InsyaAllah, saya juga menanti saat tersebut. Tetapi, biarlah dalam keadaan saya sudah menyediakan apa yang perlu untuk kedua ibubapa saya dan adik-adik saya. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah Ta'ala.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

SECALIT TITIPAN

*Yahoo*
Sinar yang terpelusuk rapi di kelilingi mendung hitam yang tidak memahami naluri hati. Semoga segala-galanya baik-baik sahaja dengan ketentuan Allah Yang Esa.




Saya masih lagi di sini.
Di sudut terpingggir sepi.
Walau di kelilingi rakan di sisi.
Biarkan mereka menemani.
Menceriakan hari-hari yang bakal diakhiri dengan gelaran pelajar.
Oh, pasti saya akan rindu saat itu.


Bukan mudah ingin menggali kejayaan.
Tetapi, jangan mudah rebah.
Inilah pengorbanan untuk keluarga, agama, dan negara.
Semoga segala jerih dan perih di bumi Serdang ini terbayar dengan penuh kepuasan.
InsyaAllah.


Rajin itu hakikat dalam diri yang kadangkala tenggelam sepi.
Otak sudah tidak mampu melayan kerenah letih diri.
Bangkit untuk memulakan sesuatu yang sudah tentu pahala di beri oleh Ilahi.
Semoga Allah Ta'ala merahmati perjuangan ini.


Duhai hati bertabahlah!
Duhai diri bersemangatlah!


Perjuangan menuntut ilmu itu jihad.
Kuatkan semangat dan ikhlaskan hati.
InsyaAllah, berjaya.
Dengan kehadiran Ilahi yang sering menemani di sisi.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Wednesday, April 11, 2012

INDAHNYA KEHIDUPAN BERKELUARGA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masa semakin suntuk. Suntuk untuk lari menyiapkan Projek Ilmiah Tahun Akhir (PITA) saya. Semoga Allah Ta'ala membantu saya untuk menghasilkan thesis yang terbaik. InsyaAllah.

Apa khabar kesihatan luaran dan dalaman anda? Sihat, murung atau terlebih sihat? Walau apa pun yang terjadi, ingat, kita masih ada Allah. Jangan sesekali menyerah untuk kita bertarung dengan ujian Allah itu.

Sebenarnya, saya baru pulang dari rumah ke kolej. Bertolak dalam pukul satu suku tengahari tadi dan sampai ke sini dalam lingkungan hampir pukul empat petang tadi. Oh ya, keluarga saya baru sahaja pulang dari sini pada pukul enam petang tadi. Semoga Allah Ta'ala merahmati perjalanan mereka. Amin ya rabbal'alamin.

Saya membesar sebagai anak yang sulung. Banyak yang saya belajar erti perkongsian dengan adik-adik yang lain. Bukan mudah bergelar si sulung kerana jejak langkah seringkali menjadi ikutan untuk adik-adik. Selain itu, yang paling ketara adalah biasanya sebagai anak sulung, sikap mereka lebih 'cool' jika di bandingkan dengan adik-beradik yang lain. Setuju tak anak sulung yang lain?

Bukan apa, sikap toleransi dalam diri mendidik saya untuk mengalah dengan adik-adik yang lain. Tidak kurang juga, kebanyakan anak sulung merupakan luahan tempat perasaan adik-beradik yang lain. Inilah sedikit sebanyak yang istimewanya menjadi anak sulung!

Abah, emak dan adik-berdaik yang lain, banyak menjadikan saya insan yang lebih positif. Ke mana sahaja saya pergi, pertama sekali, saya biasakan diri untuk meminta izin dengan abah. Kerana saya percaya keizinan dari ibubapa adalah tunggak keselamatan saya ketika berada di luar. Jadi, saya tidaklah merasa serba salah sekiranya saya berjalan-jalan dengan rakan-rakan untuk ke mana-mana. Indahkan kehidupan berkeluarga? Alhamdulillah.

Terima kasih Ya Allah, di atas percutian yang tidak pernah saya jangkakan akan berlaku! Pada hari Jumaat, saya menelefon abah saya untuk pulang ke rumah. Mungkin hari Sabtu saya pulang. Saya katakan padanya begitu. Pada hari Sabtu, abah saya menelefon saya dan saya menyatakan bahawa bolehkah sekiranya abah saya mengambil saya? Ternyata, Allah Ta'ala memudahkan urusan saya. Sabtu malam kira-kira pukul sepuluh setengah malam, abah saya pun sampai! Dan yang paling meriahnya seisi rumah datang menjemput saya kecuali dua adik saya yang menuntut ilmu di kolej  masing-masing. Alhamdulillah.

Kini, pada pukul enam setengah petang, saya berada di atas katil mencoretkan rasa hati. Syukur Ya Allah di atas kurniaan yang tidak terhingga. Betapa saya rindukan keluarga kerana pada bulan September tahun lepas sehingga tujuh April dua ribu dua belas saya tidak pulang! Hanya telefon yang menjadi penghubung. Seperti menuntut ilmu di luar negara pula rasanya! he...he...

Terima kasih kerana membaca. Allah Ta'ala, hambaMu ini mencintaiMu. Janganlah Engkau tarik kenikmatan iman dan Islam yang telah Engkau berikan. Sebaliknya, Engkau kuatkanlah ikatan ini dengan kuatkan hatiku untuk menempuh segala dugaan yang tidak hambaMu ini jangka pada masa akan datang.

Ketulusan hati: Dua kad kahwin dari rakan sekolah yang tidak sempat saya hadiri telah pun saya lihat. Macam-macam idea yang diketengahkan untuk mencorakkan kad berkenaan. Selamat menempuh alam rumahtangga untuk semua pengantin yang telah pun selamat diijabkabulkan. Semoga anda bercinta sehingga ke syurga Allah Ta'ala. Buat keluarga tercinta, terima kasih di atas sokongan yang kalian berikan. Ya Allah, hambaMu ini bersyukur tidak terhingga di atas kurniaanMu ini ke padaku. Alhamdulillah. Syukur, Ya Allah.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, April 3, 2012

SEKIAN LAMA

*Yahoo*
Sekian lama itu ada kaitan dengan masa. Jam tangan yang dipaparkan adalah simbolik rindu.




Rindu menatap wajah abah yang tersenyum apabila saya menghadiahkan jam tangan sempena hari raya tahun lalu. Walaupun tidak lah semegah jenama antarabangsa, tetapi ianya cukup syahdu untuk saya mengenang kenangan dahulu. Benar, harga tidak penting, kejujuran itu nilai dari hati. InsyaAllah, apabila sudah mampu kelak akan saya tunaikan hasrat menghadiahkan abah dan emak untuk ke tanah suci Makkah itu. Ya Allah, berkatilah usahaku.

Rindu terhadap emak pula saya nukilkan dalam setiap doa. Abah juga tidak terkecuali. Dan seluruh umat Islam sebaik-baiknya. Sesungguhnya, doa itu merupakan senjata orang mukmin. Teruskan berdoa kerana ianya percuma dan kita sebagai hamba Allah akan lebih mencintai Allah Yang Esa dengan medium ini. InsyaAllah.

Oh, ketika mencoretkan coretan ini air mata manja bertakung di tubir mata. Syukur, rakan sebilik tiada di sini. Maka, boleh melayan perasaan lagi terkenangkan keluarga yang banyak berbakti pada diri kerdil ini. Syukur, Allah kurniakan saya keluarga yang memahami.





*Yahoo*
Makanan kegemaran yang seringkali dimasak oleh emak apabila saya pulang. Entah, masakan kari emak tidak lagi saya jumpa yang sama rasa dengan insan lain. Sebenarnya, masakan setiap ibu pasti ada nilai kasih sayang di dalamnya. Dengan sebab itulah masakan menjadi sedap mengikut selera anak masing-masing.



Emak, apabila menyebut perkataan ini, tidak pernah sekali mahu menyakiti hati beliau. Macam mana sekalipun teguran yang diberikan, InsyaAllah tiada sekelumit untuk melawan. Menurut adik saya, saya seorang yang tidak mempunyai perasaan! Apabila dimarahi, saya tidak pandai melawan dan berdendam. Itulah sikap saya.

Saya tidak gemar terlalu mengambil berat akan perkara yang remeh-temeh. Kadangkala hanya air mata yang menjadi peneman. Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. InsyaAllah, sebagai anak, kepatuhan saya hanya pada emak dan abah.

Bagi saya, jihad menuntut ilmu ini bukan untuk saya. Cukuplah sekadar hadiah yang tidak seberapa untuk membantu keluarga, agama, dan negara.

Tiada sekelumit nawaitu untuk membahagiakan diri ini melainkan melihat emak dan abah serta adik-beradik yang lain tersenyum kegembiraan untuk saya mengadakan apa yang patut untuk mereka.

InsyaAllah, sekiranya Allah menganugerahkan rezeki saya dalam bidang pekerjaan selepas bergraduasi ini, Alhamdulillah, saya bakal bergelar pekerja. Bekerja dengan penuh keikhlasan dan niat kerana ibadah kepada Allah.

Lihat, beruntung menjadi seorang mukmin. Setiap niat yang baik berolah pahala, dan jika dilakukan dengan sebaik cara, peroleh lagi pahala. Kumpul pahala di dunia, InsyaAllah di akhirat semoga kita beroleh Jannah Allah. Amin ya rabbal'alamin.


Sekian lama,
Laman ini tidak berwarna-warni,
Dengan naik turun karya penulisan untuk tatapan di kemudian hari.


Sekian lama,
Akal merajuk kerana kurangnya saya menggunakan otak kanan yang Allah beri,
Kerana otak kiri yang sering menghiasi hari-hari saya kini,
Penuh dengan teori kurang dengan aplikasi.


Sekian lama,
Hati ini terbiar kaku dan lesu,
Banyak urusan yang perlu diselesaikan,
Maka akal penat walaupun hasilnya tidak banyak yang direalisasi.


Ketulusan hati: Hargailah ibu bapa kita selagi Allah mengizinkan kita untuk membahagiakan mereka di dunia ini. Anak soleh, ibu bapa sayang, Allah kasih, sahabat hormat, InsyaAllah, kehidupan diberkati dan dipermudah oleh Allah Ta'ala. Doakan saya ya kawan-kawan, semoga Allah permudahkan Projek Ilmiah Tahun Akhir (PITA) saya. Bulan Mei bakal selesai. InsyaAlllah. Usaha tangga kejayaan.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, March 26, 2012

SIRI 5 : SERATUS MARKAH !

*Yahoo*

Debaran kian terasa. Kini, tiba lah hari yang di tunggu-tunggu. Majlis pertunangan Umairah yang serba ringkas diadakan. Adat yang selagi mampu diikuti serta tidak melanggar syariat Islam.


Mak Cik Ina: Umairah, dah siap ke? Rombongan dah nak sampai dah tu. Minah, cepat! Karang tak siap pula anak dara orang kau 'touchup' tu.


Mak Cik Ina, ibu saudara Umairah, merangkap insan yang paling rapat di sisinya setelah ketiadaan ibu. Bahkan, wajah ibu saudaranya itu ada iras-iras ibunya.


Umairah: Mak Cik, dah siap dah ni. Lambat bersiap tadi pun bukan salah Mak Cik Minah ni. Umairah yang salah. Asyik keluar masuk tandas je tadi. Maafkan Umairah ya, mak cik.

Mak Cik Minah: Ha, dengar tu Ina. Bukan salah aku. Aku ni bukan apa, kesian aku tengok Umairah ni, asyik keluar masuk tandas je. 'Nervous' tu. Biasalah, darah gemuruh lah katakan.


Satu bilik ketawakan Umairah. Merona merah wajah Umairah dibuatnya. Siapa pula Mak Cik Minah? Mak Cik Minah ni pula mak andam kerjanya. Rumah pun sebelah rumah Umairah sahaja. Seorang yang peramah dengan semua insan.


Mak Cik Ina: Alhamdulillah. Dah siap semuanya. Ha, tengok tu! Rombongan dah sampai pun.


Kelihatan rombongan pihak lelaki berjalan masuk ke ruang tamu. Bilik Umairah yang terletak di tingkat dua, mampu menyaksikan peristiwa bersejarah itu.


Mak Cik Minah: Umairah, senyum. Tarik nafas perlahan-lahan dan hembus dengan tenang. InsyaAllah, kurang sikit rasa gemuruh tu.

Umairah: Terima kasih Mak Cik Ina dan Mak Cik Minah. Sebab tolong uruskan majlis Umairah. Jasa mak cik sekalian, pasti tidak akan Umairah lupakan sampai bila-bila.

Mak Cik Ina: Dah jadi sebahagian dari tanggungjawab mak cik. Mak cik dah anggap Umairah macam anak mak cik. InsyaAllah, selagi kudrat mak cik masih ada, mak cik tolong.

Mak Cik Minah: Apa lah sangat bantuan mak cik kali ni. Rumah kita kan sebelah-menyebelah. Tak ada hal punya.


Diam tak diam, sesi rundingan telah pun selesai. Kini, acara menyarung cincin sebagai tanda dijalankan. Berdebar lagi lah hati Umairah di buatnya. Maklumlah, melangkah ke alam pertunangan dan InsyaAllah bakal ke alam pernikahan.


Mak Cik Ina: Umairah, cuba angkat sikit muka tu. Asyik tunduk je. Ni ha, bakal mak mertua dah nak sarung cincin ni.

Umairah: Assalamualaikum, mak cik.

Mak Cik Azizah: Waalaikumussalam. Apa pula mak cik, panggil mama. Kan lebih mesra. InsyaAllah, bulan hadapan mama datang lagi. Kami dah sepakat mahu langsungkan majlis akad nikah bulan hadapan. Tak sabar mama nak ada menantu. Umairah menantu sulung mama tau.


Terkejut Umairah dibuatnya. Lagi sebulan statusnya bakal berubah. Menjadi isteri orang! Ya Allah!




*Yahoo*
Cincin tanda sudah disarung. Itu tandanya Umairah sudah pun menjadi tunangan orang.



Mak Cik Azizah: Umairah, mak cik sarungkan cincin ni sebagai tanda Umairah bakal menjadi menantu mak cik. Walaupun ini kali pertama mak cik bertentang mata dengan Umairah, mak cik dah tahu sebab anak mak cik pilih Umairah. Mak cik dah jatuh sayang dengan Umairah. Umairah, semoga kita bertemu lagi bulan hadapan sebagai menantu mak cik.

Umairah: Terima kasih, mak cik kerana sudi terima Umairah sebagai menantu. Umairah tidak lah terlalu sempurna untuk anak mak cik, tetapi InsyaAllah Umairah akan cuba yang terbaik untuk memperbaiki akhlak Umairah.

Mak Cik Azizah: Mak cik sayang Umairah. Jaga diri baik-baik ya, nak.

Umairah: InsyaAllah, mak cik.

Kini, lengkap sudah majlis bertunang. Terasa pantas masa berlalu.



********************************************************************************************



Jam loceng nyaring berbunyi. Mengejutkan tidur Umairah yang nyenyak umpama bidadari. Mimpi bertunang? Ya Allah, inikah petunjuk dariMu? Macam betul-betul. 'Serious', tak macam mkimpi langsung! Mimpi oh mimpi, indahnya mimpiku tadi.

Kedengaran suara Angah mengetuk pintu untuk mengajaknya solat berjemaah.

Ya Allah, malunya! Angah dah bangun. Dia? Masih terpisat-pisat di atas katil. Oh, tidak mengapa. Dia di alam ABC (Allah Bagi Cuti).

Umairah: Angah, solat lah dulu dengan abah. Kak Long uzur.

Uzair: Patutlah tadi Angah ketuk pintu bagai nak rak Kak Long tak bangun. Kak Long, cepat sikit mandi tau. Angah rindu nak makan nasi goreng Kak Long.

Umairah: Baiklah, nanti Kak Long buatkan. Angah, jangan lupa jadi 'spy' untuk Kak Long.

Angah: Baik, Kak Long.


Seusai mandi, Umairah menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak. Memasak di waktu pagi, mengemas rumah, membasuh pakaian abah dan adik lelaki kesayangannya yang seorang itu, dan mengemas rumah menggantikan tugas arwah emaknya yang pergi mengadap Ilahi lima tahun lalu. Sementara masih di alam cuti semester, apa salahnya berbakti kepada keluarga. Sudah 'pass' untuk menjadi menantu rupanya. Eh?

SIRI 4 : SERATUS MARKAH !

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.