Friday, December 9, 2011

MENGUNDUR BENDUL

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga kesihatan anda baik sahaja hendaknya.

Oh, untuk makluman, tampalan ini telah berminggu-minggu diperam sebelum ianya diterbitkan. Secara tiba-tiba idea yang ingin dikeudarakan, eh dikeudarakan? Ada ke perkataan ini? Entah, penulis tidak pasti. he...he....

Baiklah, kita teruskan kepada isi tampalan pada kali ini. Terperam di sudut catatan dari tarikh 29 November 2011 yang lalu. Oh, sungguh lama diperam, walaupun hakikatnya tidak pasti adakah mampu untuk bertukar menghasilkan pekasam daripada tampalan ini.

Pekasam yang lazat dihasilkan apabila masa yang lama diperam. Tiba-tiba teringat pekasam yang sedap. Sudah lama tidak makan pekasam. Kecur saliva (air liur) dibuatnya. Eh, sengaja mahu taip saliva sebab nak taip air liur itu terasa tidak sedap didengar. Bukan, tidak sedap dibaca. he...




*Yahoo*
Pekasam yang diperam. Bahan-bahannya adalah beras yang digoreng tanpa minyak sehingga berwarna keperangan. Sebelum itu, lumurkan garam pada ikan yang telah disiang (bukan di malam ya, harap maklum. Tahu, tidak lawak bukan?) dan dibersihkan. Setelah itu, kisar beras yang telah berwarna keperangan tadi dan campurkan dengan ikan yang telah dilumurkan dengan garam. Biarkan sehingga anda terasa ingin makan pekasam ini. Sekiranya anda tidak sabar, esok pun sudah boleh untuk menggoreng ikan tadi. Terasa seperti laman berkongsi resepi pula. Oh, saya bukanlah seorang insan yang begitu mahir dalam bidang masakan seperti mak long kesayangan ini. Mak long, penulis sebenarnya sangat mengagumi kehebatan mak long di dapur. Ini bukan bodek, tetapi ini adalah hakikat. Mak long, sila percaya.


 

*Yahoo*
Beginilah rupa paras (eh?) ikan pekasam yang telah digoreng dan sedia untuk dimakan. Oh, lazatnya. nyum...nyum... Untuk anda yang telah mencuba resepi saya yang entah betul entah tidak, apa rasanya? Eh, baru sahaja mengarang tampalan ini, penulis ada hati untuk mengajak anda mencuba resepi di atas. Nampak sangat menipunya. Memang mudah untuk membuat pekasam. Untuk anda yang menggemarkan tulang ikan pekasam yang lebih lembut, anda boleh biarkan pekasam anda selama seminggu untuk proses pemeraman mengambil waktu yang secukupnya untuk melembutkan tulang ikan yang telah anda peram tadi. Tadi? Ya. Tadi. Sekiranya selepas anda membaca tampalan ini, anda terus membuat resepi ikan pekasam ini. Selamat mencuba. Sekiranya tidak berjaya, sila jangan salahkan penulis kerana resepi ini penulis pun tidak pernah mencuba lagi.



Oh, sungguh panjang penjelasan untuk menjelaskan gambar-gambar di atas. Perkongsian yang bermanfaat pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja untuk dikongsi. Bermanfaat ke? Mungkin, bagi saya. Bagi anda, terpulanglah. he...

Lihat, dari tampalan yang telah lama disimpan, secara tiba-tiba telah bertukar ke topik pekasam pula. Memang tiada perkaitan. Tetapi, penulis ingin mengarang juga. Boleh? Kerana tugas anda adalah membaca apa yang dikarang oleh penulis. Itu sahaja. Sebarang ketidakpuasan hati, sila ideakan di kotak idea anda. Harap maklum.

Berkaitan dengan tajuk tampalan yang entah bila ingin dihuraikan oleh penulis, secara tiba-tiba perasaan cemburu ke arah kebaikan tersemat di kalbu di sudut hati sang penulis. Tersemat sahaja. Cemburu pun sedikit sahaja. Boleh?

Untuk pengetahuan, terdapat rakan-rakan saya yang akan melangsungkan perkahwinan pada hari cuti sekolah kini. Tahniah diucapkan. Oh, kalau tidak salah, Miss Jieja, sahabat laman saya ini juga bakal mempersiapkan apa yang patut untuk majlis beliau nanti. Betul ke Jieja? Tahniah. Semoga berbahagia sehingga ke syurga Allah hendaknya, jodoh anda dan si dia. Amin.

Mengundur bendul. Wujud kah frasa ini? Selama ini kita seringkali disogokkan dengan frasa melangkah bendul.

Apabila seorang manusia itu yang lebih muda dari segi usia ingin melangsungkan perkahwinan dari insan yang masih tidak bertemu calon atau pasangan hidup, pasti di panggil langkah bendul. Betul atau tidak? Sukar mahu menjelmakan apa yang ingin disampaikan ke dalam bahasa yang lebih sesuai. Dan saya berharap agar anda faham apa yang cuba disampaikan. he...he...

Mengundur bendul. Itu frasa saya sendiri. Asyik mengggunakan frasa melangkah sahaja. Apa kata kita cuba ubah suasana frasa. Boleh?

Masyarakat Melayu sememangnya penuh dengan adat dan budaya. Sopan-santun dan budi pekerti kita telah dididik sejak kecil lagi. Hal ini termasuk juga buah tangan sebagai tanda melangkah bendul. Saya tidak pasti sama ada masih lagi diamalkan mahu pun tidak pada masa kini.

Misalnya, apabila si adik (perempuan) ingin melangsungkan perkahwinan, pihak lelaki perlu menyediakan buah tangan untuk si kakak yang tidak lagi bertemu sang penakhluk hatinya. Kenapa perlu memberi penghargaan sebegini? Untuk mengambil hati kah atau sebagai tanda penghargaan kerana memberi laluan kepada si adik untuk bernikah?

Adakah pihak lelaki terasa beban atas perkara sebegini? Adik yang ingin dikahwini, si kakak pula yang turut mendapat penghargaan. Ikhlas kah pihak lelaki untuk memberi? Tepuk dada, tanya sama pokok. Eh, tanya sama hati lah.

Adat untuk memberi sesuatu kepada si kakak sebagai tanda melangkah bendul ini, adakah diterima sepenuhnya dengan ikhlas oleh si kakak? Mungkin ya, mungkin tidak. Ya atau tidak? Ini adalah tajuk lagu Erra Fazira, jika saya tidak salah.

Cuba anda yang menjadi si kakak. Cuba bayangkan. Ada kala berasa gembira apabila adik anda ingin berkahwin. Mungkin juga adakalanya anda terasa dengan adat ini. Mugkin, mungkin, dan mungkin. Kerana kita manusia yang berbeda dari sudut pandangan dan lontaran pendapat.

Apa pendapat dan lontaran idea anda bagi topik tampalan ini? Mungkin boleh kita kongsikan apa yang kita rasa sebagai si kakak? Mungkin.

Sekian sahaja dari saya. Sudah lama idea ini terperuk di sudut tubir hati yang ingin dikongsi. Terima kasih kerana membaca. Saya sayang anda semua. Boleh? Ya, boleh. Kerana kita sebagai manusia perlu ada sifat berperikemanusiaan sesama mkhluk. Sifat asas untuk kita saling sayang menyayangi.

Anak ikan berenang-renang,
Anak kucing berlari-lari,
Jikalau saya bersenang-senang,
Mungkin akan ada bingkisan di lain hari.




*Yahoo*
Anak ikan.



 
*Yahoo*
Anak kucing.


Apa motif meletak gambar?
Oh, sekadar perhiasan mata.

Assalamualaikum.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Tuesday, December 6, 2011

"TAHNIAH, ADIKKU!"

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang berkunjung ke laman peribadi saya ini.

Ya. Hari ini merupakan hari yang amat bersejarah dalam hidup saya. Berdasarkan tampalan sebelum ini, saya ada mencoretkan perasaan bak bunga api yang berdegup dalam hati adik kesayangan saya.

Hari ini keputusan semester pertama matrikulasi telah pun dikeluarkan. Pastinya perasaan saya juga turut berdebar seiring denyutan jantung untuk menanti keputusan peperiksaan adik saya.

Akhirnya, Alhamdulillah Ya Allah. Adik saya berjaya. Ya. Berjaya mendapat keputusan yang di luar jangkaannya.

Keputusan yang tidaklah berturut skor A nya. Tetapi, bagi saya, itu merupakan keputusan yang cemerlang.

Dalam menghadapi tekanan sebagai seorang pelajar dan tekanan yang begitu menekan diri beliau, yang sukar untuk saya coretkan di sini, saya sendiri tidak menjangka keputusan adik saya melebihi keputusan saya ketika di bangku matrikulasi dahulu! Wow, kagum saya di buatnya.

Kenangan paling manis untuknya kerana hari lahir adik saya bakal sampai ke tarikh 9 Disember 2011 iaitu hari Jumaat ini.

Kenangan paling manis untuk saya juga kerana saya merupakan insan pertama yang dikhabarkan berita gembira ini. Berita yang masih segar dari ladang. Adik saya menelefon saya sekitar pada pukul 4.38 minit petang tadi sewaktu saya bersenang lenang di atas katil bagi mengubati kelelahan melalui aktiviti pembelajaran seharian. Ceria benar suaranya. Bercampur ketawa yang ikhlas dari hati jua.

Terima kasih Ya Allah. Dugaan dan ujian yang Kau turunkan kepada kami merapatkan ikatan kami adik-beradik dan sesungguhnya membuatkan kami tetap utuh menuntut ilmuMu Ya Allah.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, dan Alhamdulillah Ya Allah.


Adikku,
Ku tahu,
Kau begitu berusaha,
Melengkapkan ilmu di dada.

Adikku,
Inilah balasan yang setimpal dengan usahamu,
Tidak perlu meraikan kejayaan dengan menuntut hadiah,
Cukuplah sekadar solat sunat,
Untuk meraikan kemenangan ini dari Allah.

Adikku,
Lihat,
Kini segala perit-jerih kita lalui,
Satu pun tidak menjadi,
Seperti yang telah diucapkan oleh si dia,
Waktu kita berada di dalam lautan dugaan.

Adikku,
Marilah kita bangkit,
Teruskan perjuangan,
Menentang api yang merosakkan akal,
Jangan biarkan mereka menang,
Dengan mudah tanpa menentang.

Adikku,
Ku doakan agar kau kuat,
Kuat untuk tempuhi segala macam dugaan,
Kerana setiap kehidupan itu tidak akan lari dari ranjau.

Adikku,
Ketahuilah olehmu,
Ku amat berbangga denganmu,
Telah ku katakan pasti kau bisa tempuhi kejayaan,
Sejajar dengan apa yang kau pertahankan.

Adikku,
Bergerak ke hadapan,
Terus ke hadapan,
Jangan mundur walau sekalipun,
Kerana,
Allah yang menetapkan segala-galanya,
Untuk kita,
Bukan si dia,
Yang rakus memperkata.

Adikku,
Ketahuilah olehmu,
Aku amat mencintaimu,
Di kala kita sama-sama berjuang di landasan Allah,
Seringkali ku turut sama mendoakanmu.

Adikku,
Aku amat menyayangimu,
Kerana kau adikku,
Biar apa orang kata,
Persetankan mereka,
Kerana mereka medium ujian dan cabaran untuk kita oleh Allah Ta'ala.


Ketulusan hati: Alhamdulillah. Saya yakin adik saya kuat orangnya. Kuat semangat serta kuat menangis juga. he...he... Untuk adikku, puisi atau sajak di atas dikarang khas buatmu. Idea yang diberikan secara spontan oleh Allah melalui saya untuk disampaikan secara berhemah. Karya yang amat bermakna buat saya dan adik saya. Oh, kepada adikku, yang mungkin membaca karya ini ataupun sebaliknya ketahuilah bahawa setiap titis usaha yang dicurahkan pasti ada ganjaran dari Allah. Sama ada setimpal atau pun tidak usaha dan ganjaran itu, hikmahnya terletak di tangan Allah Ta'ala. Terima kasih, Ya Allah atas kurniaanMu ini. Alhamdulillah.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Sunday, December 4, 2011

MERDEKA BAK BUNGA API

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua dikurniakan kesihatan yang baik dan keceriaan yang berganda daripada semalam. Semoga hari anda pada hari ini terisi dengan aktiviti yang bermanfaat. InsyaAllah.

Seperti yang tidak dijanjikan pada tampalan semalam, semestinya saya tidak berjanji bukan? Saya kongsikan pertunjukan bunga api yang dapat dirakamkan pada Deepavali yang lalu. Walaupun tidak sempurna, tetapi, perasaan saya ibarat bunga api tatkala ini.



video


Walaupun pertunjukan tersebut adalah tidak seberapa jelas, tetapi kita masih dapat nikmati bunyi yang terhasil, bukan? Hanya warna merah dan jingga yang kelihatan. Tidak mengapa, ini adalah saat yang berlaku dalam hidup penulis.

Video tersebut adalah ditujukan untuk adik yang tersayang. Semoga bertabah dengan keputusan peperiksaan matrikulasi semester pertama yang bakal diumumkan tidak lama lagi. he...he...

Saya yakin, adik saya telah berusaha sebaik mungkin. Buat adikku, sekiranya keputusan yang dikeluarkan tidak menepati apa yang anda harapkan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi di semester dua kini. Kita hanya marancang, perancangan yang dirancang pasti akan ditapis oleh pemilik jasad kita yang kekal abadi iaitu Allah. Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak tahu.

Ya Allah, sekiranya adikku tidak dapat apa yang diharapkannya, Kau tabahkanlah hatinya kerana pasti ada hikmah di sebaliknya dan Kau kuatkanlah semangatnya untuk terus berjuang menuntut ilmuMu Ya Allah. Amin ya rabbal'alamin.


BUKAN SENANG NAK JADI SENANG,
BUKAN SUSAH NAK JADI SUSAH.


Oh, untuk makluman, semalam, iaitu hari Sabtu, pada pukul 9.15 pagi sehingga 9.35 pagi, di Kompleks Akademik E, berlangsungnya ujian TOCIE (Test Of Communication In English). Alhamdulillah, perasaan gementar berkocak dengan sekelumit sahaja. Terima kasih, Ya Allah.

Untuk makluman, ujian ini wajib diambil oleh pelajar tahun akhir sebagai syarat bergraduat. Pendaftaran dibuat secara online dan diberi peluang untuk mendaftar ahli kumpulan kami sendiri. Oleh itu, tertubuhlah kumpulan yang terdiri dari lima insan yang sama kursus tetapi berbeza-beza pandangan. Boleh?

 Dalam masa yang telah disebutkan tadi, kami sekumpulan diberi amanat untuk membincangkan mengenai tajuk yang diberikan. Tajuk yang bertuah kami dapati untuk ujian ini adalah seperti di bawah.

Anda adalah pertubuhan bukan kerajaan yang ditugaskan untuk menyedarkan remaja mengenai impak negatif yang terdapat di dalam internet. Bincangkan peranan sebagai panduan dari ibubapa (calon A), peranan kesedaran agama (calon B), tanggungjawab guru di sekolah (calon C), media massa (calon D) dan kempen kesedaran (calon E) dalam menangani isu ini.

Lihat, gigih tak saya menterjemah bahasa? Oh, bertambah lagi kemahiran saya. Terima kasih Ya Allah.

Saya amat bertuah kerana saya adalah calon A, yang pertama untuk menghuraikan topik tersebut. Walaubagaimanapun, dalam perbincangan ini, tidak diambil kira turutan untuk bercakap. Ya. Kami dibenarkan menyampuk perbualan rakan-rakan dan sambil itu huraikan topik yang telah diberikan.

Mudah, sememangnya. Luaran nampak mudah, dalaman, hanya Allah sahaja yang tahu. Alhamdulillah, di sebabkan kami adalah rakan sekelas, dan kami mempunyai ikatan kimia yang sangat best, perbualan tersebut menjadi menarik. Menarik bagi kami, mungkin? Bagi pemeriksa tersebut yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita, entah apa yang terlintas di lubuk hati mereka. Yang penting, kami enjoy, boleh? Untuk pengetahuan, kami dikira bertuah kerana pemeriksa lelaki tersebut adalah sangat ceria. Dari saat beliau membuka pintu, untuk menjemput kami, telah terasa aura positif di situ. Eh, terlebih sudah sang penulis ini.

Oh, di sini juga saya kongsikan pengalaman kami sekumpulan diiringi oleh seorang pembantu untuk menunjukkan tempat ujian ini dijalankan. Tiba-tiba terasa orang penting untuk sebuah majlis pula. Bukan apa, untuk mengelakkan sesat kerana kami tidak biasa dengan kawasan tersebut.

Ujian ini melayarkan ingatan saya terhadap MUET (Malaysian University English Test). Walaupun saya tidak diiringi seperti ujian TOCIE, dan saya juga ditempatkan dengan rakan-rakan yang sama kursus, debarannya adalah sangat hebat. Hebat kerana pada masa itu, saya bukan seorang yang hebat. Tetapi kini, dengan pengalaman dan pendedahan terhadap insan sekeliling, saya berasa lebih yakin untuk memperkatakan apa yang terlintas di fikiran. Alhamdulillah.

Sememangnya, pengalaman mematangkan seseorang. Ya Allah, terima kasih di atas peluang yang Kau berikan kepada hambaMu ini dalam mengutip pengalaman dalam hidupnya. Alhamdulillah, sememangnya, pengalaman tersebut meyakinkanku untuk terus melangkah ke hadapan.

Perasaan saya kini ibarat bunga api yang telah terlepas di awan-awangan kerana belerang telah teroksida. Untuk makluman, pembakaran yang berkesan akan bergabung dengan oksigen dan kadar pembakaran akan menjadi tinggi. Sains sangat? Sains itu logik akal sebenarnya. Tidak ada satu peristiwa pun yang bakal terlepas dari Sains. Benar, bukan? Berbalik, Maha Hebat ilmu Allah, kan para sahabat?

Sekian sahaja, untuk perkongsian pada kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Ketulusan hati: Pada hari esok, dua persembahan yang perlu saya bentangkan di hadapan kelas. Doakan saya, ya rakan-rakan. Duhai hati, bertabah. 

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.