Saturday, October 29, 2011

MALAM

Malam,
Setiap kali kau singgah,
Pasti memberi kejutan,
Kejutan esok hari,
Yang entah tidak pasti.


*Yahoo*
Semestinya malam tidak akan lengkap tanpa adanya bulan.


Malam,
Sunyimu mendakapku,
Mendakapku tatkala ku terlena,
Mendakapku tatkala ku terjaga,
Tanpa segan silu mempamerkan dirimu,
Tanpa rungutan,
Tanpa rengekan,
Tanpa keresahan,
Kerana kau tahu itu tugasmu menjalankan perintahNya.

Malam,
Ku selusurimu dengan tabah,
Menanti agenda hari esok,
Mencorakkan masa hadapan,
Secerah bintang yang meminjamkan cahayanya buat sang bulan.



*Yahoo*
Saya di sini sudah lama tidak melihat bulan di langit. Hanya langit yang bercahaya lampu neon yang menemani malam saya. Bintang di manakah kau? Merajukkah? Saya meriduimu bintang. Terlebih sudah.


Malam,
Kesunyianmu menggentarkanku,
Keheninganmu merasukku,
Rohku seolah-olah terleka,
Dengan keselesaanmu.

Malam,
Inginku katakan,
Terima kasih,
Kerana menemaniku,
Sewaktu cutiku hampir seminggu,
Habis dimamah waktu.

Malam,
Oh malam,
Kesunyian yang menenangkan,
Merehatkan segala urat nadiku,
Merehatkan akal fikiranku,
Serta tubuhku,
Terima kasih Ya Allah,
Atas pemberian malam kepadaku.

*Yahoo*
Beginilah keadaan langit yang bertemankan lampu neon.

Ketulusan hati: Cuti seminggu hampir habis Ahad ini. Cuti pertengahan semester. Sekejap benar terasa masa berlalu. Sudah tentu saya tidak pulang ke kampung halaman. Tidak mengapa, baru terasa cabaran seperti belajar di luar negara. Ya. Saya seorang diri tanpa peneman. Rasa-rasanya mungkin hanya saya sahaja yang berada di aras saya. Peneman saya kini hanyalah malam. Saya kini gemar melihat langit. Entah mengapa. Tetapi kekaguman ke hadrat Allah, itu yang utama, terima kasih kerana membaca. Selamat malam. Oh, selamat pagi, barangkali.

FILEM AKU TAK BODOH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada tampalan kali ini, saya ingin bawakan anda menyusuri liku-liku perasaan sebagai remaja.

Berdasarkan pendapat saya, filem ini ajar ditonton oleh segenap lapisan masyarakat kerana di sini kita boleh mendalami lebih banyak gelodak perasaan remaja terutama lelaki kerana filem ini menampilkan remaja lelaki sebagai latar belakang cerita ini.


 Image Detail
*Yahoo*
Poster bagi filem Aku Tak Bodoh.

Saya tahu dan sedar mungkin ada di antara kita yang perasan bahawa filem ini telah lama disiarkan tetapi saya baru menontonnya sebentar tadi melalui sini.

Tidak rugi jika saya syorkan anda untuk menontonnya kerana bagi saya walaupun ada segelintir insan yang mengatakan bahawa filem ini adalah filem yang diplagiat dari filem lain yang sudah tentunya saya tidak ingin sebutnya di sini, cuba anda selami isi filem ini untuk memahami penceritaan yang dipaparkan.

Perlakuan yang berlaku sehari-hari, pergolakan jiwa remaja serta ibubapa yang sememangnya terjadi, boleh mematangkan anda untuk melihat sendiri bagaimana cerita ini diolah. Bagi saya, cuba selami cerita ini dan tolak ke tepi isu plagiat atau sebagainya. Anda pasti dapat mempelajari sesuatu daripadanya.

Tidak salah rasanya saya nyatakan bahawa filem ini berkualiti walaupun terdapat sedikit kekurangan di dalamnya. Ya. Tiada manusia yang sempurna. Jika kita perhatikan setiap filem yang dipaparkan, secara teliti mahupun tidak, pasti akan ada kekurangan walaupun filem tersebut meraih kutipan pecah panggung sekalipun.


Image Detail
*Yahoo*
Dua jejaka yang merupakan sahabat baik menerajui filem ini.

Tidak semestinya jika kita tidak menonton sesuatu filem itu, bermakna kita tidak menyokong industri filem kita. Walaupun tanpa panggung, pada pendapat saya medium seperti youtube iaitu medium yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja untuk menonton filem. Jadi, jangan sia-siakannya.

Saya sekadar berkongsi. Mungkin ada segelintir yang akan menghentam saya dengan budaya youtube ini. Tidak mengapa. Kerana anda juga adalah manusia. Rambut sama hitam hati lain-lain. Benar, tidak?

Lakonan Adibah Noor cukup berkesan dalam filem ini. Walaupun penampilannya adalah sekejap tetapi impaknya besar. Tidak lupa juga kepada semua para pelakon yang berada di dalam poster flem di atas.

Bukan saya tidak mahu mengulas mengenai industri perfileman negara kita, tetapi cukuplah sekadar kita dapat melihat senario yang logik dalam filem ini. Sepanjang saya menonton filem Melayu, kerana saya penggemar industri ini, walaupun ditonton secara percuma, menonton filem tidak kira apa genre sekalipun, logik itu perlulah ada. Itu adalah asas. Ini adalah pendapat saya. Pendapat anda juga mungkin benar, barangkali?

Cukuplah dahulu perkongsian saya mengenai filem ini, walaupun saya tidak mengolah seadanya. Saksikanlah filem ini sendiri dan anda pasti menemui jawapannya.


*Yahoo*
Salah satu babak dalam filem tersebut. Melihat tarikh filem ini di dalam gambar di atas membuatkan saya keliru kerana tidak sepadan dengan tarikh yang berada di dalam poster. Pelik tapi benar, barangkali.


Ketulusan hati: Hidup ini kadangkala kita perlu belajar dari pengalaman sendiri, pengalaman insan lain serta filem juga. Pengalaman itu kita kutip, simpan, tapis dan praktikkan apabila kita perlu untuk menggunakannya. InsyaAllah, hidup kita lebih bermakna serta tidaklah terlalu kosong walaupun kita tidak mempunyai pengalaman yang serupa. Benar, bukan?

Thursday, October 27, 2011

EMOSI

Emosi,
Ada kalanya kita perlu pamerkan,
Ada kalanya kita perlu sorokkan.


Image Detail
*Yahoo*
Emosi oh emosi. Emosi kita, biarlah kita yang tahu dan seterusnya tahu menguruskannya. Tetapi kadangkala kita memerlukan medium lain untuk menyalurkan emosi kita. Sahabat terdekat, kaunselor mahupun ibubapa, barangkali?


Emosi,
Kadangakala kita berjaya pamerkan,
Kadangkala kita berjaya sorokkan.

Emosi,
Sukar difahami,
Kadangakala stabil,
Kadangakala terhuyung-hayang,
Kadangakala senget membengkok,
Sukar diterjemah.


*Yahoo*
Tidak salah mempamerkan emosi. Apa yang penting? Kerjasama. Bukan. Apa yang penting kita tahu menguruskannya. Itu yang paling mustahak.

Emosi,
Kita wajar untuk menontonkan apa yang kita rasa,
Sedih,
Gembira,
Monyok,
Hilang tumpuan,
Tiada semangat,
Kerana kita hanya manusia,
Yang dianugerahkan rasa untuk merasa, terasa dan dirasai perasaan insan lain dan juga perasaan kita.

Emosi,
Kadangakala bukan kita yang bawa,
Kita rasa biasa,
Tetapi rakan kita kata kita tiada upaya,
Melontarkan senyuman,
Sentiasa menunujukkan kesedihan,
Ini juga pengaruh,
Kepada emosi kita.

Emosi,
Apabila rakan kata sebegitu,
Kita beremosi,
Mana  ada saya sebegitu atau mungkin hanya pandangan mata awak sahaja,
Itu kata kita,
Tetapi kita perlu yakin,
Kerana itu emosi kita,
Kita yang bawa,
Bukan mereka.

Emosi,
Memang ia mudah berubah,
Memang ia mudah tidak setia kepada empunya diri,
Tetapi ia sentiasa menemani,
Untuk menghiburkan hati,
Untuk memberi semangat kepada diri sendiri tatkala insan lain tiada di sisi.

Emosi,
Terima kasih kerana menemani,
Terima Ya Allah akan kurniaan yang sungguh istimewa ini.

Emosi,
Tiada seindah pelangi hidup ini,
Jika engkau tiada di sisi,
Oh emosi.


Sememangnya ini juga adalah emosi. Tidak, begitu?


WAJAH BARU PENGEPALA (HEADER)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar iman anda, apa khabar akhlak anda, dan apa khabar fizikal anda pada hari ini.

Saya budak baru belajar. Budak? Oh, silap. Saya remaja baru belajar. Remaja? Bukan sudah dewasa ke?

Sila abaikan.

Hari ini dalam sejarah. Banyak kan sejarah yang berlaku dalam hidup saya? Ya. Setiap peristiwa yang sudah berlaku itu boleh dianggap sebagai sejarah. Logik, bukan?

Tiada yang penting pun sebenarnya untuk tampalan kali ini. Sekadar merasakan perasaan teruja kerana saya berjaya menghasilkan pengepala buat pertama kali dalam hidup saya. Bukan menyalahkan idea, tetapi menyalahkan masa. Tiada kaitan.

Saya seorang yang apabila melakukan sesuatu perkara itu, saya akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan kalau boleh perkara tersebut perlulah siap dalam jangka masa yang singkat.

Jadi, berdasarkan perenggan di atas, maka selama hampir setengah jam, saya berjaya menghasilkan wajah baru pengepala saya. Terima kasih Ya Allah di atas idea yang Engkau berikan ke atas umatMu.

Selama ini, saya begitu mengagumi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pengepala di laman mereka. Kini tidak lagi. Bukan untuk menyatakan sifat bongkak jauh sekali riak, tetapi saya berasa saya kini mampu untuk belajar sedikit sebanyak ilmu mengenai pengeditan gambar. Tahniah diucapkan kepada diri ini.


Berikut merupakan gambar asal yang saya telah satukan serta ditambah sedikit kesan yang sewajarnya. Setelah berhempas pulas tanpa keluar peluh sedikit pun, maka terhasillah pengepala seperti di atas.


Ini lah pengepala pertama bagi laman peribadi saya ini. Teruja tahu apabila dapat mengedit pengepala sendiri mengikut kepala sendiri.

Walaupun kemahiran mengedit gambar saya terlalu kurang, mungkin kerana minat saya dapat belajar secara beransur-ansur. Ilmu itu tiada hadnya. Jadi, marilah kita bersama-sama merajinkan diri kita untuk menuntut ilmu.

Anda sudah habis baca? Jikalau sudah, maka sekarang pergi menuntut ilmu. Zaman sudah berubah. Jikalau dahulu kita wajib mempunyai buku untuk menuntut ilmu, kini tidak lagi. Asalkan ada komputer, semua insan boleh mengakses apa yang mereka perlu. Tidak, begitu? 

Baiklah sampai di sini sahaja coretan saya. Sekadar untuk meluahkan rasa teruja seperti elektron yang teruja apabila dikenakan haba terhadapnya. Selamat malam semua dan semoga mendapat mimpi yang indah seindah keterujaan saya mempunyai pengepala.

Sila abaikan urusan menuntut ilmu itu buat masa sekarang kerana jam telah menunjukkan pukul satu lapan minit pagi. Tidur itu adalah lebih sesuai buat masa ini. Tetapi esok, jangan lupa sambung menuntut ilmu. Terima kasih kerana mendengar kata.

Tidak lupa juga, kepada anda, anda, dan anda, terima kasih kerana membaca. Assalamualaikum dan selamat malam. Semoga mendapat mimpi yang indah-indah.

Wednesday, October 26, 2011

PERUBAHAN: DRASTIK ATAU PERLAHAN-LAHAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi singgah di laman peribadi ini. Apa khabar sahabat handai semua? Semoga hari ini anda akan dipenuhi dengan perasaan yang ceria untuk menguruskan kehidupan serta dipermudahkan urusan oleh Allah. InsyaAllah.

Perubahan. Apakah yang lebih anda syorkan untuk melakukan perubahan? Tempoh masa? Adakah secara perlahan-lahan ataupun secara drastik yang secara tidak langsung berjaya membuka mata orang ramai akan perubahan anda?

Secara dasarnya, perubahan itu asasnya adalah niat dan biarlah niat itu disalurkan untuk Allah. Jikalau boleh, biarlah setiap denyut nadi kita serta hembusan nafas kita lakukan sesuatu itu dengan ikhlas kerana Allah serta bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan apa, perasaan terlalu menunjuk-nunjuk akan apa yang kita ada secara tidak langsung akan memesongkan kita kepada sifat riak.

Itu pendapat saya. Anda pula bagaimana? Ya. Setiap manusia itu adalah unik kerana kita berbeza pendapat, berbeza fizikal serta pemikiran tetapi kita dapat menilai mana yang baik dan mana yang tidak. Mudahnya, Al-Quran dari Allah S.W.T dan As-Sunnah dari Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi asas untuk kita sebagai umat Islam untuk melangkah di dalam hidup ini. Ya. Nampak mudah tetapi masih ada lagi segelintir insan yang sukar membuat perubahan.

Di sini, saya coretkan pengalaman peribadi saya yang saya jadikan contoh untuk memudahkan pemahaman anda mengenai isu ini. Peristiwa yang saya kongsikan ini saya ambil dari keadaan yang terjadi disekeliling saya.

Pengalaman pertama, terdapat seorang insan dari dahulunya tidak bertudung tetapi dia berubah setelah melihat sekeping gambar melalui medium dunia maya.


*Yahoo*
Beginilah rasanya gambar tersebut. Menurutnya, dia tertarik dengan perbandingan antara makanan yang tertutup berbanding sebaliknya.


Kini, si dia masih lagi menutup rambutnya. Alhamdulillah di atas penghijrahan.

Tetapi, saya dapati tudung yang dikenakan adalah terlalu pendek hanya menutup leher sahaja. Cukupkah dengan melakukan penghijrahan secara perlahan-lahan? Pakaiannya masih lagi di takuk lama. Bisa menampakkan susuk tubuh dan kadangkala apabila si dia duduk, boleh  menampakkan apa yang berada di tubuhnya. Maksud saya di sini, apabila pemandangan tersebut dipandang dari sudut pandangan belakang. Saya pasti anda boleh membayangkannya. Saya pernah menegurnya akibat kadangkala tudung yang dipakainya masih terlihat leher, secara pantas, si dia sedaya-upaya menutup apa yang terbuka.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, alangkah mudahnya sekiranya si dia terus berubah bertudung litup serta memakai pakaian yang tidak menyebabkan mata insan yang bergelar lelaki sering menjeling dan menoleh.

Sebenarnya, masih ramai lagi insan yang bergelar remaja tidak sedar akan hakikat ini. Ada juga rakan saya, semasa meminta tempat untuk menjalankan latihan industri, syarat utama bagi sebuah syarikat yang tidak ingin saya sebutkan di sini, adalah memakai tudung labuh. Saya menyukai syarat yang diperkenalkan oleh syarikat tersebut. Tetapi rakan saya yang berkenaan, sanggup menolak tawaran tersebut. Mungkin bagi mereka itu bukan diri mereka.

Hipokrit. Satu perkataan yang sering digunakan untuk mengelakkan diri kita terjerumus ke arah sikap kita yang lain. Alasan biasa yang selalu kita dengar " Saya masih muda atau saya tidak mahu hipokrit atau itu bukan sikap saya yang sebenarnya atau jaga tepi kain sendiri".

Wanita mudah terasa. Itu tidak dinafikan.Tetapi, mengapa apabila ada yang berikan teguran kepada mereka, mereka tidak mengambil endah. Ego. Barangkali. 

Peristiwa kedua pula. Peristiwa ini terjadi kepada si dia yang lain. Si dia secara tiba-tiba bertukar penampilan dari seorang yang bertudung secara ala kadar, berpakaian seperti remaja yang lain, tetapi secara tiba-tiba berubah secara tiga ratus enam puluh darjah. Bertudng litup menutupi dada serta berpakaian mengikut syariat. Alahamdulillah.

Manusia itu sememangnya tidak sempurna. Perubahan drastik si dia hanya berjaya mengubah luarannya sahaja. Tetapi tidak dalamannya. Insan sebeginilah yang kadangakala telah disalahertikan oleh insan yang lain yang tidak menutup aurah. Ini boleh menyebabkan insan yang tidak menutup aurah itu akan berkata "Baik sangatkah si dia daripada aku atau golongan yang menutup aurah itu mungkin hipokrit juga".

Entahlah. Memang sukar untuk menyempurnakan insan lain selagi diri kita tidak kita sempurnakan sebaik-baiknya. Saya juga masih ada cacat cela serta kekurangan tetapi bagi saya asalkan saya tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Menutup aurah itu satu kewajiban sebagai seorang umat Islam. Jadi, janganlah menafikan hakikat itu.

Menutup aurah itu nombor satu. Luaran yang sempurna akan memudahkan kita untuk menyempurnakan serta melengkapkan dalaman pula. Tidak, begitu? 


 
*Yahoo*
Sejuk mata memandang sesejuk air yang mengalir.


Image Detail
*Yahoo*
Apabila sudah lengkap bertubung labuh, jangan lupa untuk memakai stoking pula. Kerana kaki itu juga adalah aurah.

Ketulusan hati: Saling ingat-mengingatkan itu adalah amalan mulia. Bagi saya, perubahan samaada dari segi luaran mahupun dalaman itu perlulah seiring. Tetapi jika kita menyegerakan penghijrahan fizikal kita, pasti lebih mudah untuk melakukan penghijrahan dalaman kita. InsyaAllah. Semoga Allah membantu dan memudahkan penghijrahan kita. Amin. Terima kasih kerana sudi membaca.

Tuesday, October 25, 2011

BERSANTAI DI S & M DAN JUST K

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua sahabat yang masih mempunyai ruang dan detik waktu untuk singgah di laman peribadi saya ini. Saya mendoakan agar anda semua dilimpahkan kasih sayang daripadaNya serta dikurniakan kesihatan yang baik agar memudahkan kita semua untuk menjalankan kewajipan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Pada hari Jumaat yang lalu, setelah berhempas pulas mengetahui markah bagi ujian satu yang sangat-sangat memerlukan penjelasan yang terlalu mendalam serta seusai menemui pensyarah yang menguruskan subjek bagi Projek Ilmiah Tahun Akhir (sebenarnya saya dan rakan saya sempat berjumpa selama sepuluh minit sahaja kerana kelewatan pihak pejabat jabatan yang berehat terlalu lama dan pada pukul 2.50 petang pintu tersebut dibuka dan kami diarahkan untuk bertemu sekali lagi pada hari semalam 24 Oktober 2011 pada pukul 2.00 petang untuk membincangkan tugasan kami dan mengetahui tarikh keramat membentangkan subjek tersebut. 11 November 2011 tarikh keramat dan InsyaAllah saya pasti berkongsi dengan anda dan saya berharap agar anda sanggup menunggu sehingga tarikh itu). Tahiah kepada anda telah berjaya membaca ayat yang panjang dengan kadar satu nafas sahaja. Benar kata penulis, usaha tangga kejayaan.

Setelah mukadimah yang terlalu panjang untuk anda dan saya dapat merasakan bahawa langsung tiada isi-isi penting yang saya telah huraikan dalam dua perenggan di atas, kini saya pasti anda ternanti-nanti apa kaitan tajuk dengan tampalan pada hari ini.

Pada 21 Oktober yang juga merupakan tarikh dalam sejarah hidup saya yang selama ini tidak pernah keluar dari kolej pada waktu malam telah memecahkan rekodnya yang tersendiri. Saya dan rakan-rakan saya menunggu bas dari kolej dan ditambah pula hujan turun dengan agak lebat, akhirnya pukul 9.00 malam kami berjaya sampai di The Mines.

Tiada tempat yang lebih dekat melainkan tempat ini dari kolej saya. Bukan apa, pergi lambat akan mengundang balik lambat. Masa itu emas dan emas itu berharga, maka kami tidak mahu membuang masa.

Setelah sampai dengan jayanya, langkah pertama adalah perkara yang saya dapat rasakan semua insan pasti menyukainya.

S & M Food Court menjadi pilihan kami untuk bersantap. Hujan yang turun mengaktifkan asid sulfurik di dalam perut dan hal ini tidak bagus untuk kesihatan kerana boleh mengundang penyakit gastrik.  Seperti biasa, untuk penjelasan yang lebih mendalan sila bertanya dengan doktor anda, bukan doktor saya (pasti ada segelintir yang memahami kerana saya pernah mencoretkan frasa ini di tampalan yang terdahulu).


Claypot Chicken Rice yang berharga RM 5.00 serta air strawberi Mirinda yang berharga RM 2.00 menjadi santapan saya pada hari itu. Saya adalah seorang insan yang apabila bersantap di mana-mana sekalipun akan tetap memilih nasi sebagai santapan kerana saya merasakan nasi membuatkan perut saya berasa 'kemas' dan kenyang tanpa perlu membeli makanan lain pula sebagai makanan tambahan. Ini merupakan cara yang berkesan untuk berjimat-cermat. Bagi anda, silalah cuba tips yang tidak seberapa ini.


Biasalah, sejak saya mempunyai kamera, saya rajin mempotretkan apa yang berada di sekeliling saya. Sambil menikmati hidangan, saya mempotretkan imej di bawah bagi tatapan anda semua serta tatapan saya juga sebagai mengingati bahawa saya pernah sampai ke tempat tersebut untuk hari-hari yang mendatang.


Dekorasi yang disediakan di tempat kejadian persantapan. Saya tertarik pada tempat membasuh tangan yang disediakan serta disesuaikan dengan latar cat di dinding. Salah satu idea untuk kediaman saya pada masa akan datang. Berangan seorang pelajar, biasalah. Insan mana yang tidak pernah berangan, benar bukan?


Keadaan sekeliling. Cantikkan lampu yang diberi idea sebegitu?


Sebenarnya pada waktu ini, kebanyakan kedai dalam proses penutupan. Itu yang tiada banyak imej manusia yang lain yang dipaparkan. Seronok juga sebenarnya apabila kurang manusia. Tidaklah nanti dikatakan saya seperti tidak pernah sampai di sini atau saya adalah jurugambar yang sedang mencari kawasan pengiklanan. Imaginasi saya, tinggi sungguh.


Pemandangan di sudut lain pula. Sila abaikan sebatang kayu tersebut. Untuk pengetahuan, itu adalah batang mop. Adalah tidak berkenan di hati ini, untuk menonjolkan objek tersebut sebagai rakaman.


Telah selesai segala-galanya.

Sebenarnya, hanya saya yang memesan nasi sebagai santapan, manakala rakan saya memesan mee sup dalam claypot juga. Tetapi malang tidak berbau. Yelah, jikalau malang itu berbau, pasti kita akan cegahnya kerana kita dapat menggunakan indikator bau untuk mengelakkannya. Terbabas sudah.

Mee tersebut tidaklah sesedap pandangan mata. Rasanya adalah seperti mee maggi perisa ayam. Anda pernah rasa? Harga mee tersebut adalah RM 4.80. Jika membeli mee maggi adalah lebih berbaloi kerana harganya adalah lebih murah. Jadi makanan saya menjadi santapan semua rakan saya. Tidak mengapa, apa yang penting? Kerjasama untuk menghabiskan makanan. Tetapi mee tersebut, sangat kasihan melihatnya. Hanya bahan-bahan yang dihabiskan tidak mee tersebut. Oh, sungguh kasihan jikalau saya mengingatinya lagi. Tetapi tidaklah perlu menangisi mee tersebut. Ambil ikhtibar dari apa yang terjadi. Tidak mahu memesan mee itu lagi. Selamat tinggal mee. 

  
Ini lah mee yang saya katakan hanya sesedap mata memandang tidak sesedap lidah merasa. Kasihan kau mee, sememangnya kau tidak bersalah. Tukang masak itu yang bersalah atau memang rasa mee itu sedemikian rupa. Tetapi boleh tidak jikalau kita dibenarkan merasa sesuatu makanan itu dan kemudian baru buat pilihan untuk memesannya atau tidak. Boleh atau tidak?

Sekian sahaja saya mencoretkan apa yang berlaku di S & M Food Court. Tetapi, tampalan saya tidak habis lagi. Sekarang, saya akan mencoretkan aktiviti selepas aktiviti bersantap tersebut. 

Karaoke. Kami telah menjejakkan kaki buat kali pertama ke Just K. Ia terletak di tingkat lima di kawasan The Mines juga. Tempat yang agak terlindung sebenarnya. 


Pintu karaoke bilik kami. Tetapi tidak terasa peribadi kerana dinding yang diperbuat daripada cermin tersebut.


Bakal jurutera yang tidak mengenal pasti apakah ini. Mungkin kegelapan boleh disalahkan barangkali.


Kertas dinding. Cantik juga setelah dilihat kembali.


Tidak lah begitu kebulur untuk kami berkaraoke selama tiga jam.

Tetapi saya tidak puas hati kerana masa yang digunakan tidak selaras dengan masa yang ada di alam realiti. Untuk memudahkan pemahaman anda, masa yang tercatat di skrin telah dipercepatkan. Saya syorkan kepada anda untuk tidak menghabiskan masa untuk berkunjung ke sini tetapi carilah tempat lain untuk berkaraoke. Sekarang ini, saya masih tidak puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Kadar yang dikenakan adalah RM 27.00 untuk bilik ini selama satu jam. Medium saiz kata pekerja tersebut.


Sekejap hijau.


Sekejap biru.


Sekejap merah.
                                                                   
Sekian sahaja daripada saya untuk coretan kali ini. Sebagai pengguna, kita hendaklah sedar dan tahu tanggungjawab kita. Selain dapat berjimat-cermat, kita juga boleh memaksimumkan penggunaan sesuatu produk mahupun perkhidmatan.

Oleh itu, marilah kita menjadi pengguna yang bijak supaya kita tidak sesekali mahupun berkali-kali tertipu dengan helah yang digunakan oleh peniaga semata-mata untuk menguntungkan mereka.

Pengalaman yang saya coretkan pada kali ini, saya berharap agar anda juga dapat mengambil pengajaran yang sewajarnya kerana sebagai pengguna kita hanya dapat belajar helah peniaga apabila kita telah terpedaya dengan mereka. Biar terpedaya hanya sekali, jangan berulang-ulang kali.

Ketulusan hati: Bukan niat di hati saya untuk mengajar anda. Tetapi saya berharap pengalaman yang saya kutip sedikit sebanyak kita bersama-sama dapat belajar darinya. Hampir pukul 12.00 tengah malam juga rasanya, kami sampai di kolej. Allah mempermudahkan urusan kami kerana walaupun terpaksa berjalan kaki agak jauh kerana kami sebenarnya telah keluar dari The Mines melalui pintu belakang, masih ada teksi yang memberi perkhidmatan. RM 15.00 untuk teksi bahagi tiga insan, relevenlah bagi saya seorang RM 5.00. Rakan saya terlalu mendesak untuk mengetahui laman ini, tetapi saya tidak pernah menyatakan saya mempunyai laman peribadi ini kepada mereka. Apa lagi, setiap kali pertanyaan dari mereka, saya hanya mendiamkan diri atau menukar topik perbualan kami. Nakal tak saya?  Terima kasih dari saya kepada anda kerana sudi membaca sehingga ke akhirnya.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

Monday, October 24, 2011

DOAKU UNTUKMU SAYANG OLEH WALI BAND

video


Kau mau aku apa, pasti kan ku beri
Kau minta apa, akan ku turuti
Walau harus aku terlelap dan letih
Ini demi kamu sayang

Aku tak akan berhenti
Menemani dan menyayangimu
Hingga matahari tak terbit lagi

Bahkan bila aku mati
Ku kan berdoa pada Ilahi
Tuk satukan kami di syurga nanti

Tahukah kamu apa yang ku pinta
Di setiap doa sepanjang hariku
Tuhan tolong aku, tolong jaga dia
Tuhan aku sayang dia

Aku tak akan berhenti
Menemani dan menyayangimu
Hingga matahari tak terbit lagi

Bahkan bila aku mati
Ku kan berdoa pada Ilahi
Tuk satukan kami di syurga nanti

Tuhan tolong aku, juga jaga dia
Tuhan ku pun sayang dia

Aku tak akan berhenti
Menemani dan menyayangimu
Hingga matahari tak terbit lagi

Bahkan bila aku mati
Ku kan berdoa pada Ilahi
Tuk satukan kami di syurga nanti



Sunday, October 23, 2011

FAKULTI KEJURUTERAAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat handai saya sekalian. Terima kasih kerana masih lagi sudi menjengah laman peribadi saya ini. Saya mendoakan agar kita semua dipermudahkan urusan oleh Allah hendaknya.

Berdasarkan tajuk di atas, apa yang terlintas fikiran anda? Ya. Pendapat itu tidak mengenal benar atau salah. Kerana itu adalah pandangan kita terhadap sesuatu isu. Harap maklum.

Sebuah pusat pengajian yang sering didominasi oleh golongan lelaki. Itulah yang sering terlintas di benak fikiran.

Tidak dapat dinafikan mereka sememangnya berkuasa di daalm bidang ini. Tetapi tidak lupa juga, golongan wanita juga tidak ketinggalan untuk turut serta berjihad mempelajari ilmu di dalam bidang ini.

Sesungguhnya ilmu Allah itu adalah luas dan kita sebagai hambaNya hendaklah bersedia menerokanya walau bagaimana cara sekalipun. Ilmu itu tidak mengenal jantina. Wanita mahupun lelaki bersama-sama turut serta menggali ilmu Allah. Semoga ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan dariNya. InsyaAllah. Bersama-sama kita mendoakannya.

Secara jujurnya, saya ingin berkongsi pemandangan mata yang saya dapat terokai di fakulti yang teristimewa di hati saya ini. Kenapa teristimewa? Anda pasti tertanya-tanya, bukan? Sila baca coretan ini sehingga ke rangkap yang terakhir dan saya pasti anda akan memahami perkara yang cuba saya sampaikan.

Saya layarkan pandangan anda untuk menikmati pemandangan di sekitar kawasan yang berkaitan dengan tajuk pada tampalan saya pada kali ini. Saya berharap agar anda dapat melayan kerenah mata anda.

Mari saya tunjukkan kepada anda fakulti teristimewa di hati saya dan sesungguhnya saya amat bersyukur ke hadrat Allah kerana walaupun saya tidak di terima melanjutkan pelajaran saya di luar negara, pemandangan di bawah sebenarnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Oh, sungguh manis sekali penulis ini mencoretkan kata-kata untuk memancing minat anda untuk membaca sehingga ke titik akhir ayat bagi tampalan pada kali ini.

Manis sekali. Masam, masin, tawar, pahit, dan kelat berapa kali pula? Sila abaikan. Terima kasih kepada sahabat saya yang telah lama berkunjung ke laman peribadi saya ini kerana saya pasti anda sedikit sebanyak memahami ragam penulisan saya yang secara tiba-tiba tidak tentu arah dibuat oleh sang penulis. Terima kasih sahabat sekalian.

Sila menjamu pemandangan yang disediakan oleh sang penulis. Sememangnya saya tidak begitu mahir mempotretkan gambar tetapi saya suka mengambil gambar tetapi saya tidak gemar bergambar. Tidak berbelit, bukan? Sila baca untuk kali kedua untuk menajamkan pemahaman anda.

Cantik bukan? Bukan cantik? Tidak mengapalah.


Kasihan pokok tersebut. Adakah memang begitu pertumbuhannya atau ia mencari cahaya matahari untuk melakukan fotosintesis. Tetapi matahari tidak berada di bawah.


Di sini boleh lah anda bersantai sambil merasakan diri terawang-awangan di atas air sambil menikmati angin bayu yang menyinggah lalu.


Air yang tenang jangan di sangka tiada ikan. Terdapat banyak ikan yang berada di sini. Silalah percaya kerana ini adalh kenyataan, bukan cubaan. Kadangkala biawak juga tidak melepaskan peluang untuk singgah di permukaan air tersebut.


Tempayan yang diletakkan sekadar hiasan pandangan. Ini adalah bilik peperiksaan dan di atas, terletaknya makmal komputer. Saya terasa bagaikan pemandu pelancong di alam maya yang membawa anda menerokai fakulti teristimewa di hati saya.


Sambil menikmati pemandangan, silalah berimaginasi kawasan ini seperti taman larangan sambil menyanyi lagu kegemaran seperti yang selalu di pamerkan oleh filem Melayu lama. Pasti terbuai perasaan anda.


Tenangnya air. Tetapi pelik. Semasa gambar ini diambil kawasan sekeliling adalah panas terik, tetapi gambar ini menunjukkan seolah-olah angin begitu nyaman bertiup. Ini lah keistimewaan teknologi.


Awan yang berjaya menggamit pandangan saya. Anda pula bagaimana?


Pohon kehijauan yang segar mata memandang.


Kelihatan kubah masjid. Seperti mencari barang tersembunyi pula.


Sila cari tapak perjalanan roket di angkasa raya.


Awan indah yang berjaya dirakamkan.


Pemandangan yang boleh dijadikan latar untuk pembikinan video. Sesuai sangat kata sang penulis.


Pemandangan untuk video klip bagi adegan tari-menari sambil bermain sorok-menyorok.


Tempat yang lebih sesuai bagi adegan sorok-menyorok secara beramai-ramai.


Permandangan utama fakulti teristimewa di hati.


Apakah benda tersembunyi yang tedapat di dalam gambar ini?


Jawapannya adalah satelit.


 Teka-teki teka-tekuk, bendera apa yang anda tengok? Sesuai ke pantun tersebut?


Indah serta tenang, bukan?


Ini pohon apa? Ini pohon kelapa nak. Pohon apa? Pohon kelapa. Pohon apa? Pohon kelapa. Kenyataan adaptasi daripada iklan. Ini pohon di kolej saya sebagai tambahan kerana ia tiada kaitan dengan tajuk tampalan. Jangan salah tafsir. Sedapnya kalau dapat minum air kelapa.


Ketulusan hati: Berdasarkan imej yang berjaya saya rakamkan, pemandangan yang terdapat di fakulti tersebut mendorong saya untuk meletakkannya di sudut teristimewa di hati saya. Harap maklum. Siapa yang tidak menyayangi tempat untuk menuntut ilmu, benar bukan? Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain dengan ilmu. Betul ke? Oh, saya tidak bermain-main ketika menuntut ilmu kerana boleh mengakibatkan proses pembelajaran itu adalah kurang efisien. Terima kasih kerana sudi membaca dan silalah lontarkan idea anda sekiranya anda ada idea tersebut.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.