Sunday, December 4, 2011

MERDEKA BAK BUNGA API

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua dikurniakan kesihatan yang baik dan keceriaan yang berganda daripada semalam. Semoga hari anda pada hari ini terisi dengan aktiviti yang bermanfaat. InsyaAllah.

Seperti yang tidak dijanjikan pada tampalan semalam, semestinya saya tidak berjanji bukan? Saya kongsikan pertunjukan bunga api yang dapat dirakamkan pada Deepavali yang lalu. Walaupun tidak sempurna, tetapi, perasaan saya ibarat bunga api tatkala ini.





Walaupun pertunjukan tersebut adalah tidak seberapa jelas, tetapi kita masih dapat nikmati bunyi yang terhasil, bukan? Hanya warna merah dan jingga yang kelihatan. Tidak mengapa, ini adalah saat yang berlaku dalam hidup penulis.

Video tersebut adalah ditujukan untuk adik yang tersayang. Semoga bertabah dengan keputusan peperiksaan matrikulasi semester pertama yang bakal diumumkan tidak lama lagi. he...he...

Saya yakin, adik saya telah berusaha sebaik mungkin. Buat adikku, sekiranya keputusan yang dikeluarkan tidak menepati apa yang anda harapkan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi di semester dua kini. Kita hanya marancang, perancangan yang dirancang pasti akan ditapis oleh pemilik jasad kita yang kekal abadi iaitu Allah. Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak tahu.

Ya Allah, sekiranya adikku tidak dapat apa yang diharapkannya, Kau tabahkanlah hatinya kerana pasti ada hikmah di sebaliknya dan Kau kuatkanlah semangatnya untuk terus berjuang menuntut ilmuMu Ya Allah. Amin ya rabbal'alamin.


BUKAN SENANG NAK JADI SENANG,
BUKAN SUSAH NAK JADI SUSAH.


Oh, untuk makluman, semalam, iaitu hari Sabtu, pada pukul 9.15 pagi sehingga 9.35 pagi, di Kompleks Akademik E, berlangsungnya ujian TOCIE (Test Of Communication In English). Alhamdulillah, perasaan gementar berkocak dengan sekelumit sahaja. Terima kasih, Ya Allah.

Untuk makluman, ujian ini wajib diambil oleh pelajar tahun akhir sebagai syarat bergraduat. Pendaftaran dibuat secara online dan diberi peluang untuk mendaftar ahli kumpulan kami sendiri. Oleh itu, tertubuhlah kumpulan yang terdiri dari lima insan yang sama kursus tetapi berbeza-beza pandangan. Boleh?

 Dalam masa yang telah disebutkan tadi, kami sekumpulan diberi amanat untuk membincangkan mengenai tajuk yang diberikan. Tajuk yang bertuah kami dapati untuk ujian ini adalah seperti di bawah.

Anda adalah pertubuhan bukan kerajaan yang ditugaskan untuk menyedarkan remaja mengenai impak negatif yang terdapat di dalam internet. Bincangkan peranan sebagai panduan dari ibubapa (calon A), peranan kesedaran agama (calon B), tanggungjawab guru di sekolah (calon C), media massa (calon D) dan kempen kesedaran (calon E) dalam menangani isu ini.

Lihat, gigih tak saya menterjemah bahasa? Oh, bertambah lagi kemahiran saya. Terima kasih Ya Allah.

Saya amat bertuah kerana saya adalah calon A, yang pertama untuk menghuraikan topik tersebut. Walaubagaimanapun, dalam perbincangan ini, tidak diambil kira turutan untuk bercakap. Ya. Kami dibenarkan menyampuk perbualan rakan-rakan dan sambil itu huraikan topik yang telah diberikan.

Mudah, sememangnya. Luaran nampak mudah, dalaman, hanya Allah sahaja yang tahu. Alhamdulillah, di sebabkan kami adalah rakan sekelas, dan kami mempunyai ikatan kimia yang sangat best, perbualan tersebut menjadi menarik. Menarik bagi kami, mungkin? Bagi pemeriksa tersebut yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita, entah apa yang terlintas di lubuk hati mereka. Yang penting, kami enjoy, boleh? Untuk pengetahuan, kami dikira bertuah kerana pemeriksa lelaki tersebut adalah sangat ceria. Dari saat beliau membuka pintu, untuk menjemput kami, telah terasa aura positif di situ. Eh, terlebih sudah sang penulis ini.

Oh, di sini juga saya kongsikan pengalaman kami sekumpulan diiringi oleh seorang pembantu untuk menunjukkan tempat ujian ini dijalankan. Tiba-tiba terasa orang penting untuk sebuah majlis pula. Bukan apa, untuk mengelakkan sesat kerana kami tidak biasa dengan kawasan tersebut.

Ujian ini melayarkan ingatan saya terhadap MUET (Malaysian University English Test). Walaupun saya tidak diiringi seperti ujian TOCIE, dan saya juga ditempatkan dengan rakan-rakan yang sama kursus, debarannya adalah sangat hebat. Hebat kerana pada masa itu, saya bukan seorang yang hebat. Tetapi kini, dengan pengalaman dan pendedahan terhadap insan sekeliling, saya berasa lebih yakin untuk memperkatakan apa yang terlintas di fikiran. Alhamdulillah.

Sememangnya, pengalaman mematangkan seseorang. Ya Allah, terima kasih di atas peluang yang Kau berikan kepada hambaMu ini dalam mengutip pengalaman dalam hidupnya. Alhamdulillah, sememangnya, pengalaman tersebut meyakinkanku untuk terus melangkah ke hadapan.

Perasaan saya kini ibarat bunga api yang telah terlepas di awan-awangan kerana belerang telah teroksida. Untuk makluman, pembakaran yang berkesan akan bergabung dengan oksigen dan kadar pembakaran akan menjadi tinggi. Sains sangat? Sains itu logik akal sebenarnya. Tidak ada satu peristiwa pun yang bakal terlepas dari Sains. Benar, bukan? Berbalik, Maha Hebat ilmu Allah, kan para sahabat?

Sekian sahaja, untuk perkongsian pada kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Ketulusan hati: Pada hari esok, dua persembahan yang perlu saya bentangkan di hadapan kelas. Doakan saya, ya rakan-rakan. Duhai hati, bertabah. 

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: