Friday, December 9, 2011

MENGUNDUR BENDUL

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga kesihatan anda baik sahaja hendaknya.

Oh, untuk makluman, tampalan ini telah berminggu-minggu diperam sebelum ianya diterbitkan. Secara tiba-tiba idea yang ingin dikeudarakan, eh dikeudarakan? Ada ke perkataan ini? Entah, penulis tidak pasti. he...he....

Baiklah, kita teruskan kepada isi tampalan pada kali ini. Terperam di sudut catatan dari tarikh 29 November 2011 yang lalu. Oh, sungguh lama diperam, walaupun hakikatnya tidak pasti adakah mampu untuk bertukar menghasilkan pekasam daripada tampalan ini.

Pekasam yang lazat dihasilkan apabila masa yang lama diperam. Tiba-tiba teringat pekasam yang sedap. Sudah lama tidak makan pekasam. Kecur saliva (air liur) dibuatnya. Eh, sengaja mahu taip saliva sebab nak taip air liur itu terasa tidak sedap didengar. Bukan, tidak sedap dibaca. he...




*Yahoo*
Pekasam yang diperam. Bahan-bahannya adalah beras yang digoreng tanpa minyak sehingga berwarna keperangan. Sebelum itu, lumurkan garam pada ikan yang telah disiang (bukan di malam ya, harap maklum. Tahu, tidak lawak bukan?) dan dibersihkan. Setelah itu, kisar beras yang telah berwarna keperangan tadi dan campurkan dengan ikan yang telah dilumurkan dengan garam. Biarkan sehingga anda terasa ingin makan pekasam ini. Sekiranya anda tidak sabar, esok pun sudah boleh untuk menggoreng ikan tadi. Terasa seperti laman berkongsi resepi pula. Oh, saya bukanlah seorang insan yang begitu mahir dalam bidang masakan seperti mak long kesayangan ini. Mak long, penulis sebenarnya sangat mengagumi kehebatan mak long di dapur. Ini bukan bodek, tetapi ini adalah hakikat. Mak long, sila percaya.


 

*Yahoo*
Beginilah rupa paras (eh?) ikan pekasam yang telah digoreng dan sedia untuk dimakan. Oh, lazatnya. nyum...nyum... Untuk anda yang telah mencuba resepi saya yang entah betul entah tidak, apa rasanya? Eh, baru sahaja mengarang tampalan ini, penulis ada hati untuk mengajak anda mencuba resepi di atas. Nampak sangat menipunya. Memang mudah untuk membuat pekasam. Untuk anda yang menggemarkan tulang ikan pekasam yang lebih lembut, anda boleh biarkan pekasam anda selama seminggu untuk proses pemeraman mengambil waktu yang secukupnya untuk melembutkan tulang ikan yang telah anda peram tadi. Tadi? Ya. Tadi. Sekiranya selepas anda membaca tampalan ini, anda terus membuat resepi ikan pekasam ini. Selamat mencuba. Sekiranya tidak berjaya, sila jangan salahkan penulis kerana resepi ini penulis pun tidak pernah mencuba lagi.



Oh, sungguh panjang penjelasan untuk menjelaskan gambar-gambar di atas. Perkongsian yang bermanfaat pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja untuk dikongsi. Bermanfaat ke? Mungkin, bagi saya. Bagi anda, terpulanglah. he...

Lihat, dari tampalan yang telah lama disimpan, secara tiba-tiba telah bertukar ke topik pekasam pula. Memang tiada perkaitan. Tetapi, penulis ingin mengarang juga. Boleh? Kerana tugas anda adalah membaca apa yang dikarang oleh penulis. Itu sahaja. Sebarang ketidakpuasan hati, sila ideakan di kotak idea anda. Harap maklum.

Berkaitan dengan tajuk tampalan yang entah bila ingin dihuraikan oleh penulis, secara tiba-tiba perasaan cemburu ke arah kebaikan tersemat di kalbu di sudut hati sang penulis. Tersemat sahaja. Cemburu pun sedikit sahaja. Boleh?

Untuk pengetahuan, terdapat rakan-rakan saya yang akan melangsungkan perkahwinan pada hari cuti sekolah kini. Tahniah diucapkan. Oh, kalau tidak salah, Miss Jieja, sahabat laman saya ini juga bakal mempersiapkan apa yang patut untuk majlis beliau nanti. Betul ke Jieja? Tahniah. Semoga berbahagia sehingga ke syurga Allah hendaknya, jodoh anda dan si dia. Amin.

Mengundur bendul. Wujud kah frasa ini? Selama ini kita seringkali disogokkan dengan frasa melangkah bendul.

Apabila seorang manusia itu yang lebih muda dari segi usia ingin melangsungkan perkahwinan dari insan yang masih tidak bertemu calon atau pasangan hidup, pasti di panggil langkah bendul. Betul atau tidak? Sukar mahu menjelmakan apa yang ingin disampaikan ke dalam bahasa yang lebih sesuai. Dan saya berharap agar anda faham apa yang cuba disampaikan. he...he...

Mengundur bendul. Itu frasa saya sendiri. Asyik mengggunakan frasa melangkah sahaja. Apa kata kita cuba ubah suasana frasa. Boleh?

Masyarakat Melayu sememangnya penuh dengan adat dan budaya. Sopan-santun dan budi pekerti kita telah dididik sejak kecil lagi. Hal ini termasuk juga buah tangan sebagai tanda melangkah bendul. Saya tidak pasti sama ada masih lagi diamalkan mahu pun tidak pada masa kini.

Misalnya, apabila si adik (perempuan) ingin melangsungkan perkahwinan, pihak lelaki perlu menyediakan buah tangan untuk si kakak yang tidak lagi bertemu sang penakhluk hatinya. Kenapa perlu memberi penghargaan sebegini? Untuk mengambil hati kah atau sebagai tanda penghargaan kerana memberi laluan kepada si adik untuk bernikah?

Adakah pihak lelaki terasa beban atas perkara sebegini? Adik yang ingin dikahwini, si kakak pula yang turut mendapat penghargaan. Ikhlas kah pihak lelaki untuk memberi? Tepuk dada, tanya sama pokok. Eh, tanya sama hati lah.

Adat untuk memberi sesuatu kepada si kakak sebagai tanda melangkah bendul ini, adakah diterima sepenuhnya dengan ikhlas oleh si kakak? Mungkin ya, mungkin tidak. Ya atau tidak? Ini adalah tajuk lagu Erra Fazira, jika saya tidak salah.

Cuba anda yang menjadi si kakak. Cuba bayangkan. Ada kala berasa gembira apabila adik anda ingin berkahwin. Mungkin juga adakalanya anda terasa dengan adat ini. Mugkin, mungkin, dan mungkin. Kerana kita manusia yang berbeda dari sudut pandangan dan lontaran pendapat.

Apa pendapat dan lontaran idea anda bagi topik tampalan ini? Mungkin boleh kita kongsikan apa yang kita rasa sebagai si kakak? Mungkin.

Sekian sahaja dari saya. Sudah lama idea ini terperuk di sudut tubir hati yang ingin dikongsi. Terima kasih kerana membaca. Saya sayang anda semua. Boleh? Ya, boleh. Kerana kita sebagai manusia perlu ada sifat berperikemanusiaan sesama mkhluk. Sifat asas untuk kita saling sayang menyayangi.

Anak ikan berenang-renang,
Anak kucing berlari-lari,
Jikalau saya bersenang-senang,
Mungkin akan ada bingkisan di lain hari.




*Yahoo*
Anak ikan.



 
*Yahoo*
Anak kucing.


Apa motif meletak gambar?
Oh, sekadar perhiasan mata.

Assalamualaikum.


"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: