Saturday, December 17, 2011

MANUSIA BISA BERUBAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda ceria selepas makan tengah hari hendaknya walaupun sebenarnya hampir masuk masa untuk makan petang pula. Makan, makan juga, solat perlu sentiasa dijaga. Barulah peribadi tidak hanya seindah fantasi. he...he...


*Yahoo*
Ais pun boleh berubah fizikalnya, apatah lagi manusia. Walaupun fizikal manusia yang berubah, tetapi hati, siapa yang dapat menjangkakan detik perubahan itu.


Perubahan atau perkataan yang lebih gah lagi disebut transformasi. Bukan revolusi mahupun demokrasi. Nanti, secara tidak langsung isu politik pula yang dipertikaikan. Disebabkan ini adalah laman peribadi, jadi isu politik tolak ke tepi. Boleh dicoretkan tetapi sang penulis lebih gemar menyimpan isu sebegini seorang diri kerana isu sensitif sebegini pasti mengundang kenaikan trafik tinggi di luar jangkaan kelak. Boleh?



*Yahoo*
Hati wanita seringkali dikaitkan dengan kerak nasi. Oh, ini bunga kerak nasi. Tersalah pula, ingatkan kerak nasi tadi. Boleh?



*Yahoo*
Ini baru betul gambar kerak nasi. Sang penulis kurang pasti sebenarnya kaitan kerak nasi dengan hati wanita. "Hati wanita ibarat kerak nasi. Lama-lama lembutlah", ayat drama televisyen. Ya, lembut setelah dibiarkan rendam di dalam air, tetapi tidak boleh dimakan lagi kerana nasi tadi sudah rosak. Basi barangkali. Mahu buat nasi goreng pun tidak boleh. Bedak sejuk lagilah. Jauh panggang dari api.



Apa pendapat pembaca sekalian? Formula baru barangkali:

Hati wanita = Kerak nasi

Boleh gunakah formula sebegini? Mungkin ya, mungkin tidak. Kerana hati wanita tidak sama. Ada wanita mudah memaafkan, tetapi setelah berkali-kali di sakiti, minta maaflah. Tiada maaf bagimu. Ayat drama televisyen lagi. Biasalah.

Perubahan yang baik amatlah digalakkan. Tetapi penghijrahan ke nilai yang negatif adalah tidak sewajarnya.

Pasti tuan hamba iaitu pembaca sekalian berasa pelik dan berasa aneh mengenai tampalan ini. Bukan apa, sang penulis sebenarnya ingin melakarkan cerita rakan-rakan lama yang dahulunya di sekolah kelihatan ganas, kini, setelah matang dari segi usia, kelihatan lebih baik akhlaknya. Alhamdulillah. Teruskan penghijrahan tersebut, wahai sahabat.

Ada juga yang sentiasa melakarkan madah-madah dakwah di Buku Wajah, tetapi realitinya tidak seindah penulisan fantasi. Manusia bisa berubah. Mungkin apa yang disampaikan tidak menusuk kalbu rakan tersebut, tetapi menusuk kalbu insan lain pula. Paling kurang pun rakan tersebut, berpesan-pesan walaupun sepotong ayat. Semoga berhijrah ke lapangan yang lebih baik sahabatku.

Baik kita, seringkali tidak dipandang walaupun sebelah mata. Tetapi, apabila kejahatan yang belum tentu dilakukan oleh kita pasti membuka mata-mata insan lain untuk terus mengutuk kita. Tidak begitu? Bukan setakat sebelah mata sahaja, terjojol juga lagaknya.



*Yahoo*
Saudara, Ariff Alfian Rosli, berubahlah ke jalan Allah selagi ada peluang untuk berbuat demikian. Ada insan yang menegur di dunia ini, jadi insaflah. Jikalau anda tiada belas ihsan, paling minimum pun kasihanilah kedua ibu bapa anda. Pengorbanan mereka terlalu besar untuk anda dan berhijrahlah ke landasan agama Allah, Islam selamanya. Berubahlah sebelum anda ditarik dari peluang itu dari Allah Ta'ala. Keseronokan di dunia bukanlah lambang kebahagiaan di akhirat.


Ketulusan hati: Sekadar teguran dari sang penulis yang tidak lah sempurna akhlaknya. Tetapi, sentiasa berusaha untuk menyempurnakan diri ke jalan Allah yang satu. Terima kasih kerana membaca. Dan saudara di atas, tidak fasal-fasal terkenal di laman ini. Sila jangan ambil hati, sekadar gurauan di petang hari. Assalamualaikum.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: