Friday, December 16, 2011

APABILA ADAB DIPANDANG RINGAN, BELUM TENTU ORANG AKAN PANDANG KITA BERHEMAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung laman ini. Semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik dan ketenangan untuk menempuhi hari ini dan seterusnya hari-hari yang mendatang.

Panjang bukan, tajuk tampalan pada kali ini? Ya, penulis juga akui (sambil mengangguk kepala tanda setuju) perkara ini.

Adab. Sedikit perkongsian hidup dari insan yang bergelar sahabat menyatakan ketidakpuasan hati mengenai adab seorang insan yang lain. Lihat, sememangnya penulis adalah pendengar yang baik. Oh, pujian untuk diri sendiri sekali sekala. Boleh?

Alkisahnya, terdapat seorang insan yang menumpang di bilik rakan saya. Menumpang. Tanpa tahu apa objektif insan tersebut berbuat begitu sedangkan insan tersebut menyewa di luar kawasan kampus.

Ya, apabila seseorang insan menumpang, adab sebagai tetamu dan tuan bilik haruslah di hormati. Nilai mulia idaman kalbu apabila adab yang asas tetapi selalu dipraktikkan. Barulah keikhlasan hormat-menghormati itu akan menjadi lebih jitu dan padu.

Tersebutlah kisah, sang penulis sekali-sekala memartabatkan bahasa dahulu kala dan diharapkan tuan hamba sebagai pembaca tidaklah mengambil hati mahu pun jantung akan cara penulisan yang sebegini.

Kita sambung kisah ini. Insan yang menumpang itu tadi melampaui batas, lebih kuah dari sudu. Harta benda sahabat saya digunakan seperti dia yang punya. Anda sendiri pasti boleh bayangkan dengan lebih jelas sekiranya anda yang berada pada tempat sahabat saya tadi. Menyirap darah dibuatnya.

Perkakasan mandi, makanan adalah antara yang diambil secara sewenang-wenangnya. Bayangkan, apabila sahabat saya masuk ke bilik, insan tadi yang berada di tengah-tengah kawasan bilik beliau. Untuk makluman, insan tersebut adalah langsung tidak rapat dengan sahabat itu tadi. Bertegur sapa adalah jauh sekali walaupun berada di kelas yang sama. Dahsyat, bukan? Selain itu, insan tersebut juga mempunyai raut wajah yang sukar untuk melemparkan senyuman dan setiap kali memandang wajah tersebut, wajah masam yang seringkali menjadi tatapan.

"Tadi, kita dah makan makanan itu. Awak tak makan ke makanan tersebut? Kalau kita, pasti makanan tersebut akan dihabisi", lebih kurang ucapan insan tersebut berdasarkan apa yang diceritakan oleh sahabat saya kepada saya.

Kasihan. Kasihan kepada sahabat itu tadi dan juga kepada tetamu yang tidak diundang tersebut. Di sinilah peri pentingnya adab dalam kehidupan seharian.

Beritahu sebelum mengambil barang insan lain. Bawalah keperluan sendiri jikalau berhijrah ke tempat lain. Senyum itu perlu.

Untuk memberi teguran kepada insan sebegini adalah kurang berkesan kerana dia merasakan dirinya sahaja yang betul. Entahlah.

Secara konklusinya, andai anda mahu orang beradab dengan anda, perlulah amalkan adab dahulu. Walaupun anda telah beradab dan insan lain yang tidak beradab dengan anda, mungkin ini adalah ujian dari Allah untuk anda. Ujian untuk insan yang terpilih.

Ada orang, kita langsung tidak boleh sentuh atau perbetul akhlaknya, ada insan tegur sekali akan terus ambil teguran sebagai panduan. Manusia, rambut sama hitam, tetapi, hati lain-lain.


Ketulusan hati: Sahabat saya juga diberi ceramah percuma mengenai produk pelangsingan badan yang dijual oleh insan tersebut. Penulis tidak mahu promosi di laman peribadi ini. Untuk makluman, sekiranya meminum produk tersebut, perut perlulah dikosongkan tiga jam sebelum dan tiga jam selepas produk itu diminum. Mana tidak kurus, makanan tolak tepi, air yang menjadi pengganti. Bagus, buat dua kerja dalam satu masa. Menumpang dan memberi ceramah percuma. Macam-macam kan, kerenah manusia? Kepada kalian, terima kasih kerana membaca.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: