Tuesday, November 1, 2011

CUKUPKAH DENGAN SEKADAR BERTUDUNG?

video


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga urusan duniawi kita di permudahkan oleh Allah hendaknya serta dikurniakan kesihatan yang baik. InsyaAllah.

Apa pandangan dan reaksi anda setelah menonton video yang dipaparkan? Apa? Anda belum tonton lagi? Sila lah menonton dahulu video tersebut sebelum anda terus mambaca tampalan ini.

Tahniah. Anda merupakan salah seorang insan yang dikurniakan anugerah yang berharga oleh Allah. Anugerah untuk menerima pendapat, anugerah untuk menapis pandangan dari insan lain serta anugerah untuk meneruskan niat serta melaksanakan perintah Allah supaya menutup aurah.

Islam itu indah. Indah melalui cara penyampaian dan cara melaksanakan sesuatu yang dituntut oleh syarak.

Tidak sukar menjadi seorang Muslim yang hebat sebenarnya. Anda hanya perlu melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah serta menjauhi laranganNya. Itu sahaja. Asas kepada terjerumus ke jalan yang diredhai ialah dengan mempunyai akhlak yang mulia.

Bertudung. Tudung yang bagaimana? Jenis fabrik, jenama, mahupun corak yang menjadi pilihan wanita Islam buat masa kini? Anda renungkan sebentar dan cuba layarkan ingatan anda terhadap apa yang anda tonton sebentar tadi dan cuba bandingkan dengan kehidupan realiti.



*Yahoo*
Siapakah gerangan gadis ini? Sungguh mendamaikan hati sanubari jika semua wanita berpakaian sebegini.


Dewasa kini, kebanyakan tudung yang dijual, adalah lebih menjurus ke arah fesyen. Jangan salahkan fesyen. Tetapi cuba selami diri anda sendiri. Berapa helai tudung yang anda punya merupakan tudung yang tidak mengikut arus fesyen semasa? Tidak perlu jawab cukuplah sekadar anda sedar. Labuhkah tudung yang anda pakai? Cukupkah syarat bagi pemakaian tudung? Paling penting menutup dada kah?

Niat asas bagi wanita bertudung adalah untuk menutup aurah yang terdiri daripada rambut, leher, dan sekaligus menutupi bahagian dada. Tidak ketinggalan juga menutup bahagian belakang yang kadangakala saya sendiri perhatikan bahagian belakang kurang dijaga rapi penutupannya oleh para wanita. Ini adalah asas.

Merujuk kepada tajuk tampalan, cukupkah sekadar bertudung? Tidak cukup sebenarnya. Syarat yang perlu diikuti semasa pemakaian tudung wajib kita ikuti. Wajib. Tiada pilihan. Kerana apa? Kerana kita adalah hamba Allah dan kita tiada hak untuk mempertikaikannya.



*Yahoo*
Sempurnakan dirimu melalui cara berpakaian dan sempurnakan juga akhlakmu selaras dengan penampilanmu, wahai sang bidadari.


Bagi insan yang cukup syarat bertudung mengikut tuntutan Islam, sila pertahankan cara pemakaian tudung anda. Tahniah diucapkan. Bagi insan yang tidak sempurna mengikut tuntutan agama pula, sila lakukan transformasi diri anda sekarang. Kita tidak punya masa. Kerana ajal serta maut tidak mengira usia. Berubahlah. Sebelum ajal menjemputmu.

Siapa kata bertudung labuh tidak boleh berfesyen? Boleh tetapi perlu lebih mengutamakan apa yang utama.

Kini, sudah terdapat banyak lambakan kedai-kedai yang menjual pakaian bagi Muslimah. Tidak sukar untuk memilih tetapi sukar untuk melakukan perubahan bagi yang belum berubah.

Manusia secara amnya, lebih 'takut' apabila mendengar sindiran dari masyarakat. Hal ini terutama bagi insan yang berubah secara mendadak. Tidak mengapa. Anda tidak perlu 'takut' atau malu dengan sindiran mereka kerana mereka juga makhluk Allah yang Allah jadikan mereka sebagai medium untuk menguji sejauh mana perubahan kita. Samaada kekal atau sebaliknya. Takut dan malu dengan Allah itu yang lebih utama.

Baiklah, perubahan fizikal telah memenuhi tuntutan agama. Mari kita lakukan perubahan dalaman kita pula.

Transformasi dan pengubahsuaian dalaman juga adalah perlu. Anda ingat hanya bangunan sahaja yang perlu diubah, dicantikkan mahupun ditambah seri? Dalaman kita juga perlu begitu.

Dalaman yang cantik dan telah ditambah seri tidak perlu kita tunjukkan untuk tatapan manusia lain. Tidak perlu bukti. Ia akan datang sendiri dengan cara semulajadi. Itu hakikatnya.

Dalaman yang baik mampu dilihat oleh insan lain melalui cara mempertontonkan diri, cara mengekspretasikan raut wajah serta melalui cara-cara kesopanan yang dipamerkan. Sopan tetapi tegas itu lebih dihormati.


*Yahoo*
Bersihkan tangan pakai sabun, bersihkan hati pakai apa? 


Jangan lupa untuk mempamerkan senyuman kerana ini juga merupakan medium untuk kita menyalurkan tekanan yang kita tempuhi seharian. Mudah, bukan? Mudah sudah semestinya tetapi perlaksanaannya yang perlu selalu dipratikkan supaya melancarkan lagi kebaikan dalaman kita. 

Tidak cukup sekadar perapian dari segi luaran sahaja, dalaman juga kita perlu rapikan.

Perindahkan, perelokkan dan pertontonkan dengan cara yang tidak terlalu melampaui batas. Tidak perlu bertatarias dengan berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar bersederhana dalam segala aspek. Tidak lupa pertontonkanlah senyuman manis anda. Tetapi jangan pertontonkan kepada insan yang tidak layak seperti bukan mahram. Pahala entah ke mana, mata si dia entah ke mana.

Secara tuntasnya, marilah kita berpesan-pesan kearah kebaikan dan menjauhi laranganNya. Kita perlu sering ingat-mengingatkan kerana kita adalah manusia yang dijadikan Allah untuk saling berpesan-pesan.

Buatlah perubahan seikhlas hati. Bab menutup aurah ini, bukan untuk dipermainkan. Ianya wajib. Jika tiada keihklasan lakukan juga dan keikhlasan itu akan datang secara perlahan-lahan. Percayalah.   


*Yahoo*
Siapa setuju dengan kenyataan di atas sila kenyit mata anda. Boleh?


Ketulusan hati: Sudah cantik luaran, perbaiki dalaman secara berperingkat-peringkat. Kita bersama-sama melakukan perubahan untuk menjana insan yang hebat di mata kita sendiri bukan orang lain. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda membaca tampalan ini. Di lain waktu, boleh lah datang selalu.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: