Monday, October 31, 2011

MATANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua dicucuri rahmat dari Allah serta dimurahkan rezeki hendaknya.

Serdang, sejak seminggu yang lalu, hujan turun membasahi bumi. Hujan rahmat dari Allah ini turun lagi buat hari ini. Terasa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul untuk melawan kerenah mata ini.

Memang saya sudah lama tidak tidur di kala hujan turun di waktu petang kerana hati kata lain, tubuh kata lain serta akal kata lain. Akhirnya, saya berjalan-jalan mencari pengalaman hidup insan lain di alam maya untuk dijadikan pedoman dan sempadan dalam hidup saya dan niat tidur itu telah terbabas di tengah jalan. Mungkin kali ini, apabila mata tidak dapat bertahan lagi, saya bakal pasrah dalam panggilan tilam. Boleh?


*Yahoo*
Hujan yang turun seakan-akan mahu menggoda mata penulis.


Tampalan saya pada kali ini adalah berdasarkan tajuk tampalan di atas. Sila semak sekali lagi. Bagus dan terima kasih kerana berbuat demikian. Saya suka insan yang mendengar kata. Sekali lagi, terima kasih. Banyak kali, anda ulangilah sendiri.

Matang. Satu perkataan yang cukup mendatangkan simbolik kepada diri seseorang.


*Yahoo*
Selamat datang ke Matang.


*Yahoo*
Perjalanan menyusuri Hutan Paya Bakau Matang. Memang indah dan segar kerana saya telah merasai pengalaman berada di sini. Kerana saya membesar di persekitarannya.


*Yahoo*
Pokok bakau.


Saya akui pasti anda terasa hati kerana saya tidak meletakkan lebih banyak lagi gambar yang terdapat di Matang. Mungkin jika ada kelapangan, saya akan berkunjung ke sini dan menghidangkan gambar untuk semua sahabat saya yang membaca. Saya tidak berjanji. Tapi pasti. Boleh ke macam ini?

Tetapi, tahukah anda Matang itu adalah nama sebuah pekan kecil yang terletak di negeri Perak?  Tidak mengapa jikalau anda tidak tahu. Untuk lebih informasi, sila anda cari sendiri sekiranya anda tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh penulis.

Simpang juga adalah nama tempat. Sila lah percaya. Kerana saya membesar di sini. Biasanya, apabila segelintir insan yang tidak suka atau cuba menjauhkan sesuatu daripada berlaku ke atas dirinya mahupun orang lain, ayat yang biasa dituturnya adalah "Simpang malaikat empat puluh empat".

Kadangkala saya tertawa sendiri apabila melihat insan yang gemar menyatakan frasa di atas. Ayat yang jauh terlontar dari logik akal. Apa yang cuba disampaikan? Nama tempat kah? Malaikat kah? Atau apakah? Saya sendiri tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Anda pula, bagaimana?

Berbalik kepada tajuk tampalan, sebenarnya saya ingin merungkaikan mengenai sikap matang seseorang. Bukan merungkai sejarah tempat Matang dan Simpang tersebut. Harap maklum. Sekiranya anda berminat, anda pasti tahu mana arah yang perlu anda tuju, bukan?

"Saya tidak matang"

"Ada rakan yang katakan saya sememangnya tidak boleh menjadi matang"

"Nantilah matang. Sekarangkan muda lagi?"

"Saya memang matang. Saya kan anak sulung"

"Matang? Itu nama tempat tinggal saya lah"

Matang dari segi pemikiran, penampilan mahupun cara pembawakan diri di tempat-tempat tertentu mengikut situasi yang tertentu sememangnya menjadi impian setiap insan.

Siapa yang tidak mahu kelihatan 'kena pada tempatnya', bukan? Kalau anda tidak mahu, terserah.

Cara seseorang itu adalah berbeza. Ada segelintir manusia yang berjaya mengubah diri dari malu berada di khalayak ramai, malu berucap, malu dalam hal yang tidak bertentangan dengan agama Islam, berjaya mengubah diri mereka menjadi lebih berkeyakinan dengan diri sendiri. 

Faktor asas untuk mematangkan seseorang itu adalah masa. Ya. Waktu. 


*Yahoo*
Waktu memainkan peranan penting dalam mematangkan seseorang. Penulis pilih jam sebegini seperti tidak sesuai untuk menggambarkan matang, bukan?


Selama mana mereka berada dan berhadapan serta bergaul dalam masyarakat dapat mematangkan diri mereka? Ini juga memerlukan masa. Tanpa masa siapalah kita. Itu sebabnya masa selalu dikaitkan dengan emas kerana ia amat berharga.  

Secara realistiknya, anda tahu untuk membawa watak anda sewajarnya apabila 'kena pada tempatnya' itu sudah dikira matang. Tetapi, janganlah pula apabila pembawakan watak itu sudah sesuai, suara anda pula yang merosakkkannya. Kes ini tidak termasuk pesakit yang mempunyai sakit tekak. Sudah tentunya suara akan lain dari kebiasaan. Saya tidak maksudkan yang itu.

Anda sendiri boleh bayangkan, apabila seseorang itu luarannya sudah lengkap dan bertindak profesional, tetapi nada serta lenggok suaranya manja atau mengada-ngada, secara tidak langsung kredibiliti matang seseorang itu sedikit sebanyak tercalar. Benar, bukan?

Jikalau boleh, dalam sesuatu majlis itu, seseorang itu perlu tegas. Tegas apa? Tegas untuk melontarkan pendapat, tegas mengalunkan nada suara. Sesuai dengan penampilan yang ditonjolkan. Barulah terserlah kematangan anda. Tidak, begitu?

Secara konklusinya, jadilah diri sendiri. Itu yang lebih penting. Kematangan yang ada dalam diri tercipta dengan masa. Percayalah. Gilaplah sifat kematangan itu seiring dengan usia anda. Bertindak rasional dan berfikiran positif itu adalah paling wajar untuk membentuk jati diri menjadi insan hebat.

Ketulusan hati: Saya merasakan apa yang saya coretkan di sini tidak cukup dan tidak puas untuk saya kupaskan. Walaupun hujan sudah berhenti , otak masih kaku untuk melontarkan taringnya.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.



No comments: