Saturday, October 22, 2011

KESIBUKAN DUNIAWI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar anda semua? Sihat secara luaran serta dalaman? Alhamdulillah. Saya mendoakan agar anda semua diberkati dan dirahmati Allah hendaknya.

Pasti ada yang merindui sang penulis, bukan? Walaupun penulisan saya adalah biasa-biasa sahaja tetapi saya dapat membaca isi hati anda agar menggerakkan hati saya untuk menyambung penulisan saya. Benar, bukan?

Kesibukan duniawi. Ungkapan yang benar-benar sesuai untuk menggambarkan keadaan saya pada masa ini. Tidak dapat saya nafikan menjadi pelajar tahun akhir bagi jurusan kejuruteraan amat mengajar saya erti kesibukan.


 
*Yahoo*
Sibuk yang bukan merujuk kepada sibuk menjaga tepi kain orang lain. Ini bukan laman untuk mengajar anda untuk menjadi seorang yang sibuk dari sudut itu.  

Sesibuk mana pun, saya sempat untuk berhibur bersama rakan-rakan. Peristiwa ini mungkin akan coretkan di masa akan datang kerana kesibukan duniawi yang melanda.

Oh, saya ingin memberitahu bahawa sekarang adalah cuti pertengahan semester. Terkilan serta cemburu saya terhadap insan yang sedang berada di rumah untuk menikmati cuti sebegini. Anda pasti boleh bayangkan cuti bermula pada 22 Oktober 2011 sehingga 30 Oktober 2011. Seminggu, tahu? Kepada para pelajar yang tidak berada di tahun akhir, nikmatilah cuti yang dibekalkan kepada anda dengan sewajarnya. Kerana apabila anda berada di tahun akhir, cuti mahupun tidak, hal itu adalah sama sahaja. Ini adalah pendapat saya sahaja. Terpulang kepada anda untuk menerima ataupun menolaknya.

Allah telah menetapkan saya untuk menghadiri bengkel yang dipanggil "Bengkel Sekolah Penamat". Anda ketawakan saya? Untuk lebih mengetahui maksud bengkel tersebut, saya ingin mengajak anda menggunakan perkhidmatan terjemahan daripada Google. Sila berbuat demikian. Mungkin anda dapat mengenali saya dengan berbuat demikian. Apakah yang cuba disampaikan oleh penulis ini? Terbabas sudah.

Bengkel tersebut bermula 22 Oktober 2011 sehingga 23 Oktober 2011. Ya. Sememangnya dua hari tetapi pada hari Isnin, saya ditakdirkan untuk bertemu pensyarah FYP saya pula. Kini, saya dapat merasai bahawa anda pasti memahami apa yang tersurat serta tersirat.

Ini bermakna cuti saya telah dipendekkan. Tetapi segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya masih lagi teragak-agak samaada mahu pulang ataupun tidak. Bagi saya, kesibukan sebagai pelajar tahun akhir adalah sekali seumur hidup. Bila lagi Allah menjodohkan saya untuk berasa sibuk sebegini? Benar, bukan?

Sebelum sibuk untuk melangkah ke alam pekerjaan, adalah lebih baik saya memanfaatkan kesibukan sebagai seorang pelajar. Ingat, belajar itu merupakan salah satu jihad.

Secara tiba-tiba saya merasakan bahawa tampalan ini adalah untuk mengungkapkan kesibukan semata-mata. Saya sekadar berkongsi kesibukan dengan anda semua kerana saya pasti anda akan meluangkan masa untuk membaca walaupun sesibuk mana pun anda. Syabas, kerana anda berjaya mengawal tahap kesibukan anda. Tahniah diucapkan.

Perhatian kepada anda, sila baca pernyataan di bawah dengan sekali nafas sahaja. Ingat itu.

Berbalik kepada bengkel yang saya hadiri sebentar tadi yang bermula pada pukul 8.30 petang sehingga 5.30 petang, serta dihidangkan bihun goreng dan air teh o untuk sarapan pagi, nasi putih, ayam kari, ikan masin, serta sayur kobis goreng sebagai pelengkap makan tengahari serta kuih karipap dan kuih gelang bersama air teh o sebagai alas perut selepas waktu 5.30 petang, saya juga bertuah kerana pensyarah yang menguruskan bengkel tersebut adalah seorang yang sangat peramah serta kelakar.

Bagaimana? Tahniah diucapkan kepada anda sekiranya anda berjaya membaca dalam nada senafas. Kepada yang tidak berjaya sila cuba lagi kerana usaha itu adalah tangga kejayaan.



 
*Yahoo*
Tangga itu adalah simbolik kepada usaha. Tiada objek lain kah yang bisa menjadi simbolik kepada usaha? Musykil saya dibuatnya. Anda pula bagaimana?


*Yahoo*
Beginilah wajah insan yang berjaya menaiki tangga. Memang penat, tetapi puas kerana kita berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa menggunakan lif. Apakah? Biasalah apabila zaman moden, teknologi selaras dengan perkembangan zaman. Tidak begitu, para pembaca sekalian?


Terima kasih Professor di atas lawak yang disajikan yang telah membuatkan perasaan mengantuk tidak sempat singgah di tubir mata kami semua.

Sudah lah beliau ada gelaran Professor, Ir juga disandangnya. Hebat, bukan?  Sememangnya beliau adalah bukan calang-calang insan kerana sikap rendah diri beliau terpamer melalui tingkah lakunya. Saya kagum itu.

Anda bayangkan, beliau tanpa menyuruh sesiapa, terus mengambil kerusi dan diletakkan di hadapan semata-mata untuk menyuruh pelajar duduk sementara wakil seorang pelajar membentangkan mengenai topik yang diberikan. Setelah tamat pembentangan, beliau sendiri yang meletakkan kerusi-kerusi tersebut di tempat asal mereka. Eh, kerusi bukan manusia lah mahu menggunakan istilah mereka. Penulis, sila mantapkan penggunaan dan penguasaan anda terhadap bahasa ibunda anda. Tidak mengapa jikalau anda tidak mengagumi, tetapi tidak saya.

Itulah sedikit sebanyak yang berlaku sepanjang hari ini. Kisah yang tidak sempat saya coretkan akan saya curahkan di tampalan yang akan datang. Tunggu (sila baca dengan nada gosip hiburan sebuah televisyen swasta itu). Anda pasti tahu, bukan?

Ketulusan hati:  Alhamdulillah. Keputusan ujian peperiksaan satu saya adalah amat memberangsangkan. Terima kasih atas doa kalian. Jikalau begini keadaannya, boleh lah setiap kali ujian saya meminta tolong anda untuk mendoakan saya. Boleh ke tidak? Jumpa lagi di tampalan yang akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca coretan yang yang tidak seberapa ini.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: