Wednesday, October 5, 2011

HATI YANG DISENTUHI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setelah berjalan-jalan dan merantau mencari bahan, saya terjumpa video di bawah dan di harap agar para sahabat mengikuti video tersebut dari permulaan sehingga pengakhiran.

Jiwa itu lembut sebenarnya. Jika anda berjaya menyentuhnya, bermakna anda masih mempunyai nilai perikemanusiaan yang tinggi. Jangan sia-siakannya. Bentuklah ia menjadi satu medium yang dapat mengajar erti kasih sayang, rindu dendam serta erti bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah. Kasih sayang Allah tidak terbatas kepada makhlukNya.




video

Apa perasaan anda setelah menonton video ini? Menangis, ternangis, atau saja-saja tidak menangis kerana malu atau segan dengan insan yang berada di sekitar anda? Tetapi tunggu dahulu. Kesat air mata anda kerana anda perlu membaca tampalan ini sehingga ke penghujungnya. Jikalau anda menangis, siapa yang ingin membaca coretan saya ini? Nah, ambil tisu. Kesat air mata anda. Sekarang.

*Yahoo*
Saya tahu anda berkata "Comelnya, pemilik laman ini. Eh, kotak tisu ini lah". Jangan buat-buat terlupa. Kesat hingus anda juga.


Hargailah mereka sebaik-baiknya walaupun berkemungkinan mereka tidak menganut agama yang sama dengan kita serta berkemungkinan kita bukan anak yang mereka harapkan. Kerana jauh di sudut hati setiap manusia itu Allah limpahkan mereka dengan sifat saling kasih-mengasihani sesama makhluk. Mungkin mereka tidak sedar kewujudan kita, tetapi layanilah mereka selayaknya. Kerana mereka ibu dan bapa kita.

Tiada dua, tiada tiga, serta tiada pengganti sampai bila-bila. Terimalah mereka seadanya. Jangan berdendam walaupun mereka mempunyai sikap yang menyakitkan hati kita mahupun terdapat segelintir ibubapa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka seperti mana yang Allah amanahkan. Biarkanlah, itu perihal mereka dengan Allah. Kita sebagai anak hanya mampu berdoa agar di lembutkan hati mereka supaya ikhlas menyayangi kita dan sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan. Kerana setiap manusia itu tidak sempurna. Berdoalah kerana doa itu merupakan senjata orang-orang mukmin. Jangan berhenti berdoa.

Ikuti video kedua di bawah ini pula.


video


Setelah menyelami jiwa ibubapa, kini kita cuba merenangi gelora anak-anak pula. Manusia, tiada yang sempurna. Dalam menangani masalah, satu perlu saya ingatkan. Masalah yang dihadapi, jangan cuba menunding jari kepada siapa yang bersalah dan siapa yang menyebabkan sesuatu masalah itu berlaku.

Tidak perlu mengungkit akan sesuatu perkara yang telah terjadi. Biarkan ia menjadi salah satu sempadan dalam hidup kita.

Selesai secara baik, hati tidak sakit.

Selesai secara baik, itu menandakan seseorang manusia itu berfikiran matang dalam kehidupannya.

Selesai secara baik, anda adalah pemenangnya.

Kerana anda berjaya mengawal sekeping hati itu berlandaskan akal, bukan nafsu.


Ketulusan hati: Jiwa bergelora, akal rileks sahaja. Mana satu yang perlu diutama? Tanya iman di dada, mungkin itu penyelesaiannya. 

No comments: