Tuesday, October 25, 2011

BERSANTAI DI S & M DAN JUST K

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua sahabat yang masih mempunyai ruang dan detik waktu untuk singgah di laman peribadi saya ini. Saya mendoakan agar anda semua dilimpahkan kasih sayang daripadaNya serta dikurniakan kesihatan yang baik agar memudahkan kita semua untuk menjalankan kewajipan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Pada hari Jumaat yang lalu, setelah berhempas pulas mengetahui markah bagi ujian satu yang sangat-sangat memerlukan penjelasan yang terlalu mendalam serta seusai menemui pensyarah yang menguruskan subjek bagi Projek Ilmiah Tahun Akhir (sebenarnya saya dan rakan saya sempat berjumpa selama sepuluh minit sahaja kerana kelewatan pihak pejabat jabatan yang berehat terlalu lama dan pada pukul 2.50 petang pintu tersebut dibuka dan kami diarahkan untuk bertemu sekali lagi pada hari semalam 24 Oktober 2011 pada pukul 2.00 petang untuk membincangkan tugasan kami dan mengetahui tarikh keramat membentangkan subjek tersebut. 11 November 2011 tarikh keramat dan InsyaAllah saya pasti berkongsi dengan anda dan saya berharap agar anda sanggup menunggu sehingga tarikh itu). Tahiah kepada anda telah berjaya membaca ayat yang panjang dengan kadar satu nafas sahaja. Benar kata penulis, usaha tangga kejayaan.

Setelah mukadimah yang terlalu panjang untuk anda dan saya dapat merasakan bahawa langsung tiada isi-isi penting yang saya telah huraikan dalam dua perenggan di atas, kini saya pasti anda ternanti-nanti apa kaitan tajuk dengan tampalan pada hari ini.

Pada 21 Oktober yang juga merupakan tarikh dalam sejarah hidup saya yang selama ini tidak pernah keluar dari kolej pada waktu malam telah memecahkan rekodnya yang tersendiri. Saya dan rakan-rakan saya menunggu bas dari kolej dan ditambah pula hujan turun dengan agak lebat, akhirnya pukul 9.00 malam kami berjaya sampai di The Mines.

Tiada tempat yang lebih dekat melainkan tempat ini dari kolej saya. Bukan apa, pergi lambat akan mengundang balik lambat. Masa itu emas dan emas itu berharga, maka kami tidak mahu membuang masa.

Setelah sampai dengan jayanya, langkah pertama adalah perkara yang saya dapat rasakan semua insan pasti menyukainya.

S & M Food Court menjadi pilihan kami untuk bersantap. Hujan yang turun mengaktifkan asid sulfurik di dalam perut dan hal ini tidak bagus untuk kesihatan kerana boleh mengundang penyakit gastrik.  Seperti biasa, untuk penjelasan yang lebih mendalan sila bertanya dengan doktor anda, bukan doktor saya (pasti ada segelintir yang memahami kerana saya pernah mencoretkan frasa ini di tampalan yang terdahulu).


Claypot Chicken Rice yang berharga RM 5.00 serta air strawberi Mirinda yang berharga RM 2.00 menjadi santapan saya pada hari itu. Saya adalah seorang insan yang apabila bersantap di mana-mana sekalipun akan tetap memilih nasi sebagai santapan kerana saya merasakan nasi membuatkan perut saya berasa 'kemas' dan kenyang tanpa perlu membeli makanan lain pula sebagai makanan tambahan. Ini merupakan cara yang berkesan untuk berjimat-cermat. Bagi anda, silalah cuba tips yang tidak seberapa ini.


Biasalah, sejak saya mempunyai kamera, saya rajin mempotretkan apa yang berada di sekeliling saya. Sambil menikmati hidangan, saya mempotretkan imej di bawah bagi tatapan anda semua serta tatapan saya juga sebagai mengingati bahawa saya pernah sampai ke tempat tersebut untuk hari-hari yang mendatang.


Dekorasi yang disediakan di tempat kejadian persantapan. Saya tertarik pada tempat membasuh tangan yang disediakan serta disesuaikan dengan latar cat di dinding. Salah satu idea untuk kediaman saya pada masa akan datang. Berangan seorang pelajar, biasalah. Insan mana yang tidak pernah berangan, benar bukan?


Keadaan sekeliling. Cantikkan lampu yang diberi idea sebegitu?


Sebenarnya pada waktu ini, kebanyakan kedai dalam proses penutupan. Itu yang tiada banyak imej manusia yang lain yang dipaparkan. Seronok juga sebenarnya apabila kurang manusia. Tidaklah nanti dikatakan saya seperti tidak pernah sampai di sini atau saya adalah jurugambar yang sedang mencari kawasan pengiklanan. Imaginasi saya, tinggi sungguh.


Pemandangan di sudut lain pula. Sila abaikan sebatang kayu tersebut. Untuk pengetahuan, itu adalah batang mop. Adalah tidak berkenan di hati ini, untuk menonjolkan objek tersebut sebagai rakaman.


Telah selesai segala-galanya.

Sebenarnya, hanya saya yang memesan nasi sebagai santapan, manakala rakan saya memesan mee sup dalam claypot juga. Tetapi malang tidak berbau. Yelah, jikalau malang itu berbau, pasti kita akan cegahnya kerana kita dapat menggunakan indikator bau untuk mengelakkannya. Terbabas sudah.

Mee tersebut tidaklah sesedap pandangan mata. Rasanya adalah seperti mee maggi perisa ayam. Anda pernah rasa? Harga mee tersebut adalah RM 4.80. Jika membeli mee maggi adalah lebih berbaloi kerana harganya adalah lebih murah. Jadi makanan saya menjadi santapan semua rakan saya. Tidak mengapa, apa yang penting? Kerjasama untuk menghabiskan makanan. Tetapi mee tersebut, sangat kasihan melihatnya. Hanya bahan-bahan yang dihabiskan tidak mee tersebut. Oh, sungguh kasihan jikalau saya mengingatinya lagi. Tetapi tidaklah perlu menangisi mee tersebut. Ambil ikhtibar dari apa yang terjadi. Tidak mahu memesan mee itu lagi. Selamat tinggal mee. 

  
Ini lah mee yang saya katakan hanya sesedap mata memandang tidak sesedap lidah merasa. Kasihan kau mee, sememangnya kau tidak bersalah. Tukang masak itu yang bersalah atau memang rasa mee itu sedemikian rupa. Tetapi boleh tidak jikalau kita dibenarkan merasa sesuatu makanan itu dan kemudian baru buat pilihan untuk memesannya atau tidak. Boleh atau tidak?

Sekian sahaja saya mencoretkan apa yang berlaku di S & M Food Court. Tetapi, tampalan saya tidak habis lagi. Sekarang, saya akan mencoretkan aktiviti selepas aktiviti bersantap tersebut. 

Karaoke. Kami telah menjejakkan kaki buat kali pertama ke Just K. Ia terletak di tingkat lima di kawasan The Mines juga. Tempat yang agak terlindung sebenarnya. 


Pintu karaoke bilik kami. Tetapi tidak terasa peribadi kerana dinding yang diperbuat daripada cermin tersebut.


Bakal jurutera yang tidak mengenal pasti apakah ini. Mungkin kegelapan boleh disalahkan barangkali.


Kertas dinding. Cantik juga setelah dilihat kembali.


Tidak lah begitu kebulur untuk kami berkaraoke selama tiga jam.

Tetapi saya tidak puas hati kerana masa yang digunakan tidak selaras dengan masa yang ada di alam realiti. Untuk memudahkan pemahaman anda, masa yang tercatat di skrin telah dipercepatkan. Saya syorkan kepada anda untuk tidak menghabiskan masa untuk berkunjung ke sini tetapi carilah tempat lain untuk berkaraoke. Sekarang ini, saya masih tidak puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Kadar yang dikenakan adalah RM 27.00 untuk bilik ini selama satu jam. Medium saiz kata pekerja tersebut.


Sekejap hijau.


Sekejap biru.


Sekejap merah.
                                                                   
Sekian sahaja daripada saya untuk coretan kali ini. Sebagai pengguna, kita hendaklah sedar dan tahu tanggungjawab kita. Selain dapat berjimat-cermat, kita juga boleh memaksimumkan penggunaan sesuatu produk mahupun perkhidmatan.

Oleh itu, marilah kita menjadi pengguna yang bijak supaya kita tidak sesekali mahupun berkali-kali tertipu dengan helah yang digunakan oleh peniaga semata-mata untuk menguntungkan mereka.

Pengalaman yang saya coretkan pada kali ini, saya berharap agar anda juga dapat mengambil pengajaran yang sewajarnya kerana sebagai pengguna kita hanya dapat belajar helah peniaga apabila kita telah terpedaya dengan mereka. Biar terpedaya hanya sekali, jangan berulang-ulang kali.

Ketulusan hati: Bukan niat di hati saya untuk mengajar anda. Tetapi saya berharap pengalaman yang saya kutip sedikit sebanyak kita bersama-sama dapat belajar darinya. Hampir pukul 12.00 tengah malam juga rasanya, kami sampai di kolej. Allah mempermudahkan urusan kami kerana walaupun terpaksa berjalan kaki agak jauh kerana kami sebenarnya telah keluar dari The Mines melalui pintu belakang, masih ada teksi yang memberi perkhidmatan. RM 15.00 untuk teksi bahagi tiga insan, relevenlah bagi saya seorang RM 5.00. Rakan saya terlalu mendesak untuk mengetahui laman ini, tetapi saya tidak pernah menyatakan saya mempunyai laman peribadi ini kepada mereka. Apa lagi, setiap kali pertanyaan dari mereka, saya hanya mendiamkan diri atau menukar topik perbualan kami. Nakal tak saya?  Terima kasih dari saya kepada anda kerana sudi membaca sehingga ke akhirnya.

"Silalah klik saya," Iklan ini berkata.

No comments: