Thursday, October 20, 2011

AYAH DAN IBU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar anda semua? Apa khabar akal, tubuh serta emosi anda? Baik-baik sahaja hendaknya.

Di hari yang mulia ini, saya ingin berkongsi dengan anda sebuah video yang telah mengusik hati sanubari saya sendiri. Saya bawakan anda untuk menyaksikannya.


video


Bagaimana? Terkesankah anda dengan video tersebut. Saya bawakan anda kepada rentetan kepada peristiwa ini. Tulisan yang berwarna kuning di bawah, bukan coretan hasil jari-jemari saya. Harap maklum.

Sepasang suami isteri bertindak memarahi dan memaki hamun ibunya hanya kerana ibunya berasa takut akibat kereta yang dinaiki mereka perlu menyusuri bukit untuk ke bengkel berkenaan.

Ibunya yang nekad keluar dari kereta itu dimarahi depan khalayak ramai sehinggakan wanita tua itu menggigil dan menangis ketakutan dan tidak dihiraukan anak mereka. Malah, pasangan suami isteri itu mencerca dan meninggalkan wanita tua itu bersendirian setelah kejadian itu dileraikan anggota polis yang bertugas berdekatan dengan tempat kejadian.

Akhirnya, wanita tua berkenaan dibawa ke balai polis berdekatan oleh seorang peniaga yang berjaja di kawasan itu.

Ya Allah apalah salah dan dosa di ibu sampai sanggup diperlakukan sebegini!!!
Orang ramai yang menyaksikan drama anak derhaka berkenaan, terkesima dengan tindakan pasangan suami isteri itu sehingga ada yang merakam kejadian terbabit dan melahirkan rasa tidak puas hati dan marah dengan tindakan pasangan suami isteri itu di laman sosial, Facebook.

Ia bertajuk Kami benci pompuan gemuk dan suami dia yang maki mak dia di pusat komersial

Hanya kerana ibunya takut, terus habis dimakinya. Sepatutnya jika ibu itu takut, maka kitalah yang sepatutnya menemaninya dalam kereta. Pasti ibu akan tenang kembali.
Ingat, kita cuma ada seorang sahaja ibu di dunia ini. Jangan sampai apabila ibu sudah tiada, barulah kita hendak menangis. Si anak dan menantu ini memang berlagak belum pakai BMW atau Mercedes MayBach dah hidung tinggi mendongak langit.

Dia lupa ke yang kalau tiada ibu dia, jangan kata kancil matahari pun dia tidak dapat lihat? Perasan nak mampus. Yang bini dia si gemuk tu pun lagilah aku geram
Hati aku ini sangat sayu dan sungguh sebak. bila melihat badan dan tangan ibu tua ini menggigil ketakutan kerana di marahi oleh anak sendiri di hadapan khalayak ramai (cuba lihat betul-betul semasa si ibu tua ini menggigil).

Ya Tuhan, engkau berkatilah ibu dan ayah aku. Jauhkanlah aku dari sifat derhaka seperti ini.
Dan kita pula, tidak payahlah hendak memaki hamun anak derhaka ini. Kalau kita makin hamun, kita sama seperti mereka berdua. Yang penting, kita jaga ibu masing-masing itu lebih baik.


Apabila saya membaca rentetan peristiwa di atas, hanya satu yang terucap oleh jiwa saya. Sebak.

Bagaimana seorang anak sanggup berbuat begitu kepada insan yang melahirkannya? Sanggupkah anda membiarkan peristiwa tersebut begitu sahaja sekiranya ia berlaku di depan mata anda? Tidak perlu memberi jawapan tetapi cukuplah sekadar kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.

Manusia apabila tidak dapat mengawal marah, buruk impaknya. 

Manusia yang tidak dapat menghiasi peribadinya, sangat buruk tingkahlaku serta perlakuannya.

Berdasarkan pendapat saya, manusia seringkali berasa malu di hadapan khalayak. Tetapi apabila sebaliknya adakah perasaan malu itu tidak terasa lagi? Malu biar bertempat. 

Memarahi ibu sendiri samaada di hadapan, di belakang, mahupun di tepi khalayak itu adalah perkara yang tidak wajar. Mungkin si ibu juga punyai kesilapan, tetapi jika teguran juga tidak jalan, biarkanlah. Jangan sesekali memarahi mereka kerana setiap insan pasti mempunyai perasaan. 

Tidak perlu untuk menengking, menempeleng, mahupun menggunakan anggota badan untuk menyelesaikan masalah. Tidak perlu memecahkan pintu serta merosakkan harta benda sebagai protes untuk menunjukkan rasa marah. Allah telah memberi kita akal. Jadi, gunakanlah sebaik-baiknya. Kuasa akal itu sebenarnya penyelesaiannya.

Fikir, selami lautan dalam, eh, bukan. Ini bukan pertandingan Maharaja Lawak kumpulan Jozan itu.

Selami akal fikiran. Ha, ini baru betul. Kemudian, ambil tindakan sewajarnya.

Warga tua, jiwanya sensitif.

Warga muda, jiwanya agresif.

Kita boleh bersatu sebaik-baiknya dengan mereka kerana tanpa mereka siapalah kita. Hargai, layani, dan hormatilah mereka. Jangan pinggirkan mereka.

Saya ada terbaca mengenai satu artikel mengenai penyakit Alzheimer's. Dalam bahasa sedikit kurang ajar serta kurang didikan disebut nyanyuk. Lebih didikan serta adab disebut penyakit kurang daya ingatan.

Pesakit yang mempunyai penyakit ini adalah digalakkan supaya orang yang berada di sekelilingnya agar sentiasa bergaul, berbual-bual serta melayani mereka. Hal ini adalah kerana untuk menyebabkan otak mereka bekerja keras menjana memori ingatan. Apabila otak bekerja keras, perkara ini dapat mengembalikan ingatan mereka secara perlahan-lahan tetapi harus diingat keajaiban itu akan berlaku dengan kehendak Allah.

Jika cara ini tidak berkesan, harus diingatkan bahawa Allah ingin menguji sejauh mana kita dapat bertahan dengan ujian yang diberikan olehNya kerana Allah lebih mengetahui apa yang tersirat mahupun yang tersurat.

Ini lah sedikit sebanyak perkongsian saya mengenai penyakit ini. Untuk makluman lanjut, sila lah merujuk dengan doktor anda, bukan doktor saya, kerana saya adalah doktor mesin bukan doktor anatomi manusia. Harap maklum.

Selain itu, sebagai manusia, tidak perlu lah kita membentak-bentak manusia lain. Berdasarkan hemat saya ketika  membaca rentetan kisah tersebut (rentetan yang tulisan berwarna kuning), saya mendapati terdapat segelintir manusia yang berkongsi kisah ini melalui Buku Wajah (Facebook). Tetapi mereka boleh pula menyediakan kumpulan sebagai tanda protes mereka terhadap kisah ini. Apakah ini?

Berkongsi itu boleh. Tetapi cukuplah sekadar memberi pengajaran kepada kita semua. Tidak perlu lah mengutuk rupa paras, wajah luaran mahupun saiz badan seseorang. Allah yang menciptakan manusia tersebut dengan sedemikian rupa, tetapi apa hak kita untuk mempertikaikan ciptaan dan kejadian Allah? Siapa kita untuk berkata sedemikian?

Ingat, kita hanya hamba. Hamba Allah Yang Maha Esa. Ingat itu sahaja sudah mencukupi dan kita tidak perlu membuat perbandingan fizikal luaran seseorang insan itu kerana ini bukan lah pertandingan mencari ratu cantik kerana sememangnya pertandingan tersebut adalah haram di sisi Islam. Maafkan saya sekiranya pernyataan ini tiada kaitan tetapi hanyalah sekadar ingatan untuk mengurangkan risiko penyakit kurang daya ingatan. Penulis terpesong dari landasan sejenak.

Sebagai penjelasan, hormatilah dan layanilah ibu bapa anda sewajarnya. Biar apa pun yang mereka lakukan walaupun sehingga menyinggung perasaan kita, maafkanlah kerana kemaafan itu adalah pemangkin kita untuk merasa nikmat ketenangan. Percayalah. Ini bukan tajuk lagu Siti Nurhaliza. Harap maklum. Ini formula awet muda daripada saya: Kemaafan = Ketenangan = Awet muda. Siapa tidak mahu, bukan?

Sesungguhnya tiada manusia yang benar-benar sempurna selain para Nabi dan RasulNya. Oleh itu, perlahan-lahanlah kita pupuk dan tanamkan peribadi kita untuk menuju ke arah kesempurnaan itu.

Ketulusan hati: Ujian satu esok pengakhirnya. Ujian kedua tidak tahu bila. Untuk ujian esok, walaupun boleh bawa buku "AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN DAN PERATURAN-PERATURAN EDISI 2011", perasaan gemuruh itu tetap ada. Doakan saya. Kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

No comments: