Saturday, September 24, 2011

TRANSFORMASI & PERUBAHAN DIRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


*Google*


Transformasi. Ya, saya kini dalam proses transformasi. Baik dari segi fizikal mahupun mental. Semoga diri ini tetap tabah dan bersemangat untuk menempuhi ranjau-ranjau dalam kehidupan.

Saya manusia biasa yang datang dari keluarga yang biasa. Tetapi, saya juga mahu menjadi yang luar biasa.

Luar biasa yang mampu memberi tenaga yang dalaman kepada akal untuk berfikir. Berfikir tentang kehidupan dan berfikir tentang manusia yang ternyata mempunyai ragam tersendiri. Berfikir serta mendalami.

Saya akui diri ini pernah dicerca, dimaki... Tetapi saya dapat merasakan tenaga dalaman saya tetap utuh dan kuat. Terima kasih, Ya Allah... Boleh dikatakan saya seorang insan yang mempunyai ragam yang ringkas. Saya bukanlah seorang yang memandang masalah yang hadir dalam hidup sebagai masalah. Itu adalah ujian . Ujian yang memperkasakan diri dan akal. Serta hati, mungkin?

Masalah. Apabila kita selalu berfikir tentangnya, menyebabkan kita telah membuang masa. Kerana apa? Mengapa perlu berfikir, termenung, berdukacita tentang masalah tetapi, tiada penyelesaian? Benar, bukan?

Saya bukanlah sesiapa yang bijak menterjemahkan apa yang saya fikir. Bagi saya, saya lebih mudah untuk menikmati hidup yang saya ada sekarang. Saya tetap rasa tenang dengan apa yang saya ada.

Menikmati hidup dengan apa yang ada adalah lebih baik. Bagi saya, mengapa kita perlu membandingkan diri kita dengan orang lain? Allah menjadikan manusia dengan ragam yang tersendiri. Serta dengan bentuk fizikal, cara penampilan, dan sebagainya. Mengapa kita sentiasa membandingkan sesuatu yang dijadikan Allah? Siapa kita untuk 'mengata' tentang ciptaaNnya? Bersyukur dengan apa yang ada, itu sudah memadai. Transformasi perlu dilakukan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Perlu atau tidak, terpulang kepada individu itu sendiri.

Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman saya tentang sekeliling. Kebanyakan manusia lebih mementingkan luaran dari dalaman. Gemuk, kurus, tinggi, rendah, cantik, hodoh...Itu adalah luaran. Allah tidak pandang apa yang terpamer dari segi luaran. Benar, bukan?

Manusia yang berlebih-lebih untuk memandang kecantikan luaran. Cuba ambil masa untuk kenali seseorang itu. Kemudian, baru kita ambil keputusan sama ada untuk menyatakan 'kecantikannya'. Kecantikan dari segi dalaman dan luaran. Baru adil, kan?

Kadangkala, dalam masyarakat, kita lebih mempercayai apa yang orang lain perkatakan. Bagi saya, adalah tidak adil untuk kita percaya bulat-bulat apa yang disampaikan. Allah beri akal untuk berfikir. Ada akal fikir, ada masa hayati.

Saya pernah mengalami situasi di mana ada manusia yang mengatakan bahawa manusia lain itu perangainya adalah tidak senonoh. Yang peliknya, setiap kali saya berjumpa dengan manusia lain itu, perangainya begitu berhemah. Atau mungkin manusia yang memberitahu saya tadi mengenai ragam manusia lain itu ingin memberitahu mengenai dirinya, barangkali? Mungkin Allah melindungi saya. Terima kasih, Ya Allah.

Masyarakat kita sering menyampai-nyampai sesuatu berita tanpa usul periksa. Kadangkala, cerita yang diceritakan itu adalah hasil tokok tambah dari orang yang bercerita agar memperoleh cerita sesedap rasa.

Bagi saya, golongan sebegini kita tidak dapat mengubahnya. Boleh berubah, tetapi agak lama memakan masa.

Oleh itu, sekiranya datang golongan sebegini kepada anda, jauhilah. Jauhi dengan penuh berhemah. Jangan sesekali menjatuhkan maruah orang itu. Ya, walaupun dia sebegitu, itu adalah urusan dia dengan Allah. Siapa kita untuk menghukumnya? Walaupun ada cerita yang disampaikannya, jika kita tidak sempat untuk menjauhkan diri, beri sedikit teguran sekadar kiasan yang lembut. Atau kita jangan ceritakan kepada orang lain mengenai apa yang disampaikan. Mudah, bukan? Dengan itu cerita yang dijaja tidak akan ditokok tambah. Barangkali, mungkin akan terhenti sehingga di situ. Ya, terhenti di situ. Barangkali.

Saya adalah manusia biasa yang menjadikan kehidupan sebagai mata pelajaran wajib untuk hidup. Ya, itulah saya. Mungkin anda juga sama seperti saya? Alhamdulilllah, Ya Allah dengan mata pelajaran ini. Saya rasa ini merupakan mata pelajaran yang paling saya gemarkan. Lihat, fikir, dan ambil iktibar. Jadikan sempadan.

Manusia mampu hidup harmoni dengan berfikiran positif, tidak mengata di hadapan mahupun di belakang, dan tidak membanding-bandingkan diri, atau orang lain dengan manusia yang lain. Itu pendapat saya. Anda pula, bagaimana?

Ketulusan hati: Saya sekadar berkongsi dan meluahkan apa yang saya dapat kutip di sepanjang perjalanan kehidupan saya. Kehidupan mematangkan seseorang. Benarlah...Life is hard, so be strong with it...Kuat dengan iman, InsyaAllah..



*Google*

      

No comments: