Sunday, September 25, 2011

ANTARA ADAT, BUDAYA, DAN AGAMA


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga dipermudahkan segala urusan olehNya serta dikurniakan kesihatan yang baik dari segi mental, emosi mahu pun fizikal.

Saya mendapati masyarakat Melayu kini masih lagi 'kuat' mengamalkan adat mereka. Adat serta budaya. Amalan sopan-santun masih lagi diterapkan di kalangan anak-anak.

Misalnya, apabila berjalan di hadapan orang tua-tua yang lebih berusia, membongkok serta menghalakan sebelah tangan ke bawah masih lagi diamalkan. Mungkin. Mengapa saya berkata demikian? Kerana kini rumah-rumah banyak yang mempunyai sofa, tidak seperti zaman dahulu kala orang tua-tua hanya duduk di bawah. Berborak, bersembang, bergosip, barangkali sambil duduk bersimpuh bagi golongan wanita manakala bersila bagi golongan lelaki.

Saya berasa agak pelik dan janggal . Mengapa adat dan budaya kita junjung daripada agama. Kenyataan ini mungkin tidak menyeluruh. Tetapi segelintir sahaja mungkin berbuat demikian.

Agama melarang lelaki dan gadis yang belum bernikah, untuk keluar berdua-duaan. Untuk mengelakkan fitnah serta menjaga kehormatan masing-masing. Tetapi ibu bapa kini mengizinkan anak-anak mereka keluar berdua-duaan.

Bagi saya, tidak salah sekiranya pasangan remaja terbabit membawa salah seorang adik-beradik atau sahabat yang lain untuk menjadi peneman pasangan tersebut. Tetapi, peneman tersebut perlulah mendengar setiap hal yang dibicarakan. Kenapa? Kerana syaitan berada di mana-mana. Di setiap penjuru.



*Google*

Dalam agama Islam, tiada istilah girlfriend (gf) atau pun boyfriend (bf). Tetapi remaja pada masa kini saya lihat ramai yang tanpa segan silu berpegangan tangan dan berjalan berdua-duaan seperti belangkas. Adakah ini yang dikatakan meletakkan agama di tempat yang sewajarnya?

Saya amati setiap peristiwa di sekeliling saya. Saya mempunyai sahabat yang sudah 'berteman'. Saya lihat mereka tanpa segan silu menunggang motorsikal atau menaiki kereta bersama. Bergurau senda bersama. Tidak malu kah atau buat-buat tidak sedar yang mana salah dan yang mana betul? Yang salah tetap salah. Itu yang sebenarnya. Benar, bukan?

Salah satu sikap masyarakat, apabila ditegur, dikatakan dengki. Jika berdiam diri, dikatakan 'sporting'. Saya hanya insan biasa yang hanya mampu mencegah perbuatan mereka itu dengan hati. Agak sukar bagi saya untuk menghalang mereka dengan cara ini. Langkah yang bukan berhadapan.

Saya juga manusia. Hanya manusia biasa. Apabila datang godaan dunia, saya cuba tangkis. Saya tidak mahu tersesat dari jalan Allah. Bukan untuk menggelarkan saya insan yang sempurna tetapi itu adalah hukum Allah. Tidak berani saya melanggarnya.

Pelik tetapi benar. Ada salah seorang sahabat saya mengatakan bahawa saya tidak seperti mereka. Pakaian kami sama, cuma selebihnya, saya menutup apa yang perlu ditutup bukan hanya mengalas.

Saya merasakan itu satu tuntutan bukan paksaan. Ianya lahir dari diri saya. Saya rasa segan apabila mempamerkan apa yang tidak sepatutnya. Malu pada Allah, ikuti suruhannya. Tidak sukar untuk melakukannya. Anda akan berasa tenang, aman, dan berlapang hati. Cubalah. Ini juga merupakan salah satu langkah untuk menjadi manusia yang hebat. Anda mahu, bukan?

Bertudung memang wajib. Tetapi,cara kita menggayakannya itu perlu mengikut suruhanNya. Bertudung labuh menutup dada bagi wanita. Itu yang pasti. Tetapi, apabila hanya bertudung, itu tidak cukup syarat. Pakaian perlulah longgar. Barulah memenuhi syarat.


*Google*


Bagi lelaki, aurat terdiri dari pusat sehingga lutut. Tetapi, saya lihat ada sahabat saya yang masih lagi memakai seluar pendek di atas lutut ketika mahu bermain bola atau bersukan. Mengapa, adakah mereka merasakan mereka adalah lelaki, tidak perlu malu kepada kaum Hawa atau dengan memakai seluar panjang 'performance' mereka di atas padang akan terganggu? Hukum tetap hukum. Itu yang pasti. Malu kepada Allah, itu lebih baik.



*Google*


Remaja. Merupakan satu fasa untuk mengenal kehidupan. Merupakan satu fasa sebelum melangkah ke alam dewasa yang sebenar-benarnya. Bagi saya, tidak salah membentuk jati diri sejak usia masih muda. Kerana melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Ketulusan hati: Saya menulis apa yang terlintas di fikiran. Mungkin ada sahabat yang ingin berkongsi pengalaman hidup, barangkali. Tidak perlu segan untuk mencoret kerana malu biar bertempat.

No comments: